Pencemaran alam merupakan satu cabaran serius yang dihadapi oleh negara kita dan banyak negara lain di seluruh dunia. Menurut data dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, sektor industri negara ini menyumbang sekitar 50 peratus kepada pencemaran udara, air, dan tanah. Faktor-faktor seperti pembangunan pesat, pertumbuhan industri, dan peningkatan aktiviti manusia telah memberikan kesan negatif yang serius terhadap persekitaran. Salah satu cara yang sedang diusahakan untuk mengatasi pencemaran alam adalah melalui penggunaan teknologi kilang hijau.

Teknologi kilang hijau merujuk kepada penggunaan teknologi inovatif dan proses yang meminimumkan kesan buruk terhadap alam semula jadi dan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Kerajaan dan sektor swasta kini semakin peka terhadap keperluan untuk melindungi dan mengekalkan kelestarian alam semula jadi. Melalui pelaksanaan teknologi kilang hijau, harapan untuk mengurangkan pencemaran dan meningkatkan kelestarian alam semula jadi dapat direalisasikan.

Teknologi kilang hijau mengamalkan amalan mampan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam semua aspek operasinya. Ia menerapkan teknologi dan proses yang efisien dan mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar. Oleh itu, perlunya penggunaan teknologi kilang hijau menjadi semakin mendesak untuk mengatasi pencemaran industri.

Sumber tenaga diperbaharui (RE)

Salah satu aspek utama dalam teknologi kilang hijau adalah peningkatan dalam penggunaan sumber tenaga diperbaharui (RE). Negara kita mempunyai potensi yang besar dalam penggunaan sumber tenaga diperbaharui seperti tenaga suria, angin, dan biojisim. Kilang hijau boleh memanfaatkan teknologi terkini untuk menghasilkan tenaga daripada sumber-sumber ini dan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga fosil yang mencemari alam sekitar. Selain mengurangkan pencemaran alam, penggunaan tenaga hijau juga membantu mengurangkan kos operasi jangka panjang dan meningkatkan kecekapan kilang. Berdasarkan statistik dari Suruhanjaya Tenaga Malaysia, penggunaan tenaga suria di kilang hijau telah meningkat sebanyak 50 peratus pada tahun 2022. Ini tidak hanya mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil, tetapi juga mengurangkan emisi gas pencemar seperti sulfur dioksida dan nitrogen dioksida.

Didapati banyak negara maju sudah beralih kepada tenaga alternatif secara besar-besaran, mereka melabur sejumlah wang yang banyak kerana menyedari bahawa mereka tidak dapat mengawal turun naik bekalan tenaga seperti minyak mentah dan arang batu. Pelbagai krisis global ini patut dipelajari dan negara boleh melaksanakan pelan strategik bagi mengelakkan tekanan terhadap ekonomi negara. Peralihan dan penumpuan kepada RE mestilah menjadi fokus negara dan kerajaan mungkin boleh memberikan insentif seperti pengecualian cukai pendapatan bagi sesiapa yang memasang unit solar di industri untuk menggalakkan pengurangan tenaga elektrik konvensional.

Proses kitar semula

Menurut Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Malaysia (JPSPN), pada tahun 2020, sebanyak 33.6 peratus sisa pepejal domestik telah dikitar semula, manakala 62.1 peratus telah diproses melalui kaedah seperti kawasan pelupusan terkawal dan pengkomposan. Teknologi kitar semula telah menjadi teras dalam operasi teknologi kilang hijau. Kitar semula membolehkan bahan buangan seperti kertas, plastik, logam, dan kaca dikumpul dan diguna semula, mengurangkan penggunaan sumber semula jadi dan mengurangkan penimbunan sampah di tapak pelupusan. Teknologi kilang hijau biasanya mempunyai pusat fasiliti kitar semula untuk memproses bahan buangan dan memastikan bahan-bahan berpotensi untuk dikitar semula dipisahkan dan dihantar ke kilang-kilang pemprosesan yang sesuai.

Menurut data Jabatan Alam Sekitar Malaysia, kilang hijau yang mengamalkan sistem kitar semula telah mengurangkan kuantiti sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sebanyak 40 peratus dalam tempoh dua tahun. Hal ini membantu mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan dan meningkatkan pengurusan sisa yang mampan.

Selain itu, kilang hijau juga menekankan penggunaan bahan mentah dan sumber daya secara efisien. Ini bermaksud bahawa kilang-kilang hijau mengamalkan proses pengeluaran yang mengurangkan pembaziran dan mencapai penjimatan sumber. Dengan memperkenalkan kilang-kilang hijau negara akan berjaya mengurangkan jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan akhir dan mengurangkan kos pembuangan sampah melalui pengitaran semula.

Teknologi rawatan air

Menurut Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), sebanyak 75 peratus daripada sungai di Malaysia dikategorikan sebagai tidak sihat untuk tujuan penggunaan manusia. Pencemaran air ini disebabkan oleh pelepasan bahan kimia beracun, limbah industri, dan pembuangan sisa yang tidak terkawal. Air sumber industri ini biasanya mengandungi pelbagai bahan cemar kimia, pepejal terlarut, pepejal terampai, sebatian organik dan mineral, logam, pelarut, garam, BOD, COD antara komponen lain yang berpotensi dalam pelbagai tahap ketoksikan.

Oleh itu, teknologi rawatan air sangat penting dalam kilang hijau. Air adalah sumber yang penting dalam operasi industri dan pemprosesan bahan mentah. Teknologi penapisan, penjernihan dan pemulihan air digunakan dalam kilang hijau untuk memastikan air sisa dari operasi kilang diproses secara berkesan sebelum dilepaskan semula ke persekitaran. Ini membantu mengurangkan pencemaran air dan memastikan bahawa air yang dibuangkan tidak mencemarkan sungai dan sumber air semula jadi yang lain.

Selain itu, kilang hijau juga menggunakan sistem pengurusan air yang cekap untuk mengurangkan penggunaan air yang berlebihan dan mengurangkan kesan pembuangan air sisa yang mencemar sungai dan laut. Contohnya, teknologi rawatan air dan penggunaan bahan kimia organik dapat menghasilkan air buangan yang bersih dan tidak berbahaya. Penyelesaian rawatan ini dapat disatukan ke dalam proses pengolahan air baru atau yang sudah ada untuk mengoptimumkan kualiti air untuk memenuhi keperluan melalui penapisan sentrifugal pembersihan diri, sistem electrocoagulation, proses pengoksidaan lanjutan dan reverse osmosis desalination.

Pengurangan emisi gas rumah hijau

Menurut data Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia (NRECC), mendapati 11 bandar utama di Malaysia menghadapi masalah pencemaran udara yang melampaui had yang ditetapkan oleh Piawai Kualiti Udara Malaysia. Menurut data, sektor industri adalah salah satu penyumbang terbesar kepada emisi karbon dioksida (CO2) global, yang merupakan gas rumah hijau utama yang menyumbang kepada perubahan iklim. Kilang hijau menggunakan peralatan dan teknologi yang canggih untuk mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang berbahaya seperti sulfur dioksida, nitrogen dioksida, dan karbon monoksida. Teknologi ini termasuk penggunaan teknologi penapisan, sistem pemurnian, dan pengurusan sisa yang efektif. Pengurangan emisi gas rumah hijau juga menjadi tumpuan dalam kilang hijau. Menurut data, kilang hijau yang menggunakan teknologi ini telah berhasil mengurangkan emisi gas rumah hijau sebanyak 30 peratus dalam tempoh lima tahun. Ini memberikan sumbangan yang signifikan kepada usaha mengurangkan kesan perubahan iklim di Malaysia. Dengan mengurangkan emisi gas rumah hijau, kilang hijau membantu mengurangkan kesan negatif kepada kualiti udara dan kesihatan manusia.

Pengurusan sisa pepejal

Selain itu, kilang hijau juga mengamalkan teknologi pengurusan sisa pepejal yang terkini untuk memastikan sisa pepejal dikeluarkan dengan cara yang selamat dan berkesan. Menurut kajian, banyak kawasan tanah di sekitar loji pembuangan sisa dan tapak industri telah tercemar dengan logam berat seperti timah, raksa, dan kromium. Pencemaran ini menyebabkan risiko jangka panjang terhadap kesihatan manusia dan kesuburan tanah. Teknologi seperti kitar semula, kompos, dan penggunaan biogas untuk penghasilan tenaga elektrik adalah teknologi yang digunakan dalam pengurusan sisa pepejal di kilang hijau. Selain itu, teknologi ini termasuk proses pengomposan untuk menguruskan sisa organik, dan penggunaan mikro organisma untuk memecahkan bahan kimia berbahaya. Dengan mengurangkan jumlah sisa yang dihantar ke tapak pelupusan akhir, kilang hijau membantu mengurangkan pencemaran tanah dan air. Selain itu, pengurusan sisa berat berjadual perlu diurus secara teratur dalam mengendalikan bahan buangan berbahaya seperti logam berat, bahan kimia toksik, dan bahan beracun lain. Ia melibatkan penentuan jadual dan kaedah untuk mengumpul, memproses, menyimpan, dan membuang sisa berat dengan mematuhi piawai keselamatan dan alam sekitar yang ditetapkan.

Prosedur keselamatan

Selain itu, penting untuk memperhatikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja dalam kilang hijau. Teknologi kilang hijau memastikan perlindungan pekerja dan masyarakat dengan melaksanakan prosedur keselamatan yang ketat dan mematuhi piawai kualiti alam sekitar. Ini termasuk penggunaan peralatan perlindungan diri, penilaian risiko, dan pelaksanaan latihan keselamatan yang berkala.

Teknologi pemantauan pencemaran

Selain daripada itu, teknologi pemantauan dan pemantauan juga penting dalam kilang hijau untuk memantau dan mengawal pencemaran industri. Kilang hijau dilengkapi dengan sistem pemantauan yang canggih untuk mengukur dan merekodkan parameter penting seperti emisi gas buang, kualiti air, dan kepekatan bahan kimia dalam proses industri. Data yang dikumpulkan dari sistem pemantauan ini membantu pengurusan kilang dalam membuat tindakan yang diperlukan untuk mengurangkan impak negatif kepada alam sekitar.Teknologi pendigitalan sistem pengurusan alam sekitar seperti menggunakan sistem grid dan sensor, pembangunan pangkalan data keadaan semasa kualiti air, udara, paparan elektronik untuk mempamerkan keadaan semasa kualiti air dan udara di kawasan industri, sistem pemantauan secara dalam talian menggunakan internet kebendaan, penggunaan satelit dan dron untuk pemantauan data semasa terutama di kawasan yang sukar dijejaki sumber pencemarannya.

Digitalisasi

Digitalisasi merujuk kepada penggunaan teknologi digital dan sistem berkomputer untuk memperbaiki operasi, pengurusan, dan proses dalam kilang hijau.

Melalui digitalisasi, kilang hijau dapat memperoleh data secara masa sebenar mengenai kegunaan tenaga, pengeluaran bahan mentah, dan sisa-sisa yang dihasilkan. Data ini dapat dianalisis untuk mengenal pasti kawasan di mana peningkatan kecekapan boleh dilakukan dan mengurangkan pembaziran sumber. Teknologi sensor dan internet kebendaan yang dipasang pada peralatan dan mesin membolehkan pengumpulan data secara automatik terhadap prestasi mesin. Data ini dapat digunakan untuk menjalankan pemantauan dan penjadualan penyelenggaraan yang lebih baik, membantu mengurangkan masa tidak beroperasi dan meningkatkan produktiviti. Selain itu, digitalisasi juga membolehkan penggunaan sistem automasi dan robotik dalam operasi kilang hijau. Robot boleh digunakan untuk mengendalikan tugas yang berulang secara tepat dan berkesan, mengurangkan risiko kesilapan manusia, dan meningkatkan keselamatan pekerja. Automasi juga membolehkan penjadualan pintar, penyesuaian permintaan, dan pengoptimuman tenaga, yang membantu kilang hijau mencapai kecekapan dan kelestarian yang lebih tinggi.

Kenderaan Elektrik

Kenderaan Elektrik (EV) memainkan peranan yang penting dalam teknologi kilang hijau dan usaha untuk mengurangkan impak negatif sektor pengangkutan terhadap alam sekitar. EV bebas daripada emisi gas buang langsung yang dihasilkan oleh enjin pembakaran dalam kenderaan konvensional. Ini membantu mengurangkan pencemaran udara dan kesan negatif terhadap kualiti udara. Dalam kilang hijau, penggunaan EV sebagai kenderaan pengangkut dan penghantaran membolehkan jumlah emisi karbon dikurangkan secara keseluruhan. Selain itu, dengan pemantauan dan pengurusan pengecasan yang pintar, kilang hijau dapat mengoptimalkan penggunaan tenaga dan mengurangkan beban grid elektrik.

Pelbagai insentif dan dasar-dasar

Pihak kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk menyokong perkembangan dan penggunaan kilang hijau melalui pelbagai insentif dan dasar-dasar. Ini termasuk pemberian insentif kewangan, sokongan penyelidikan dan pembangunan, serta peningkatan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat tentang kepentingan teknologi kilang hijau. Sebagai contoh, pada tahun 2022, Kerajaan Malaysia melancarkan Inisiatif Hijau Malaysia yang memberikan insentif dan sokongan kewangan kepada teknologi kilang hijau.

Cabaran

Walaupun terdapat pelbagai kebaikan dalam penggunaan kilang hijau, terdapat juga cabaran yang perlu diatasi. Salah satu cabaran utama adalah kos perlaksanaan kilang hijau yang kadang-kadang lebih tinggi daripada teknologi konvensional. Oleh itu, kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, dan penyelidik adalah penting untuk memastikan teknologi kilang hijau menjadi lebih berdaya saing dan lebih terjangkau. Program kerjasama dan inisiatif seperti Konsortium Hijau Malaysia yang melibatkan kilang, universiti, dan badan penyelidikan dapat mendorong pertukaran pengetahuan dan penemuan baharu dalam teknologi hijau. Ini memberikan dorongan untuk pengembangan dan penggunaan teknologi yang lebih efisien dan berkesan.

Kilang hijau memerlukan pelaburan yang besar dalam infrastruktur, peralatan, dan proses pengeluaran yang mesra alam. Oleh itu, sokongan kewangan dan insentif dari pihak kerajaan sangat penting untuk memudahkan pengusaha dalam melaksanakan teknologi kilang hijau. Selain itu, latihan dan pemantauan yang berterusan diperlukan untuk memastikan kilang hijau dapat dilaksanakan dengan berkesan. Penting untuk memastikan bahawa pengendalian kilang hijau mematuhi piawai dan peraturan yang ditetapkan untuk mengelakkan sebarang kesan sampingan atau pencemaran yang tidak diingini.

Secara keseluruhannya, teknologi kilang hijau merupakan penyelesaian penting dalam usaha mengurangkan pencemaran alam di negara kita. Dengan penggunaan teknologi ini, harapan untuk mencapai kelestarian alam semula jadi dan mengurangkan kesan negatif terhadap persekitaran dapat dicapai. Kerajaan dan sektor swasta perlu bekerjasama dalam melaksanakan teknologi kilang hijau dan menggalakkan kesedaran akan kepentingannya dalam usaha melindungi dan memulihara alam sekitar untuk generasi masa depan.

     

Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Profesor Dr. Abdul Talib Bon

Profesor Pengurusan Pengeluaran dan Operasi dan Pengarah Teaching Factory

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Bernama (bernama.com), 29 Januari 2024: TRANSFORMASI KE ARAH KILANG HIJAU, TEKNOLOGI MASA DEPAN ATASI PENCEMARAN 

https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2265223