Pada 2 Februari 1969, Menteri Pelajaran pada ketika itu Abdul Rahman Yaacob telah mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Pakaian Seragam Sekolah-Sekolah. Hasil penubuhan jawatankuasa tersebut, pada 29 Jun 1969, beliau telah mengumumkan pakaian seragam sekolah yang berkuatkuasa pada 1970 dan terpakai sehingga ke hari ini.

Pemakaian pakaian seragam sekolah di Malaysia mempunyai beberapa tujuan. Tujuan utamanya adalah bagi menggalakkan rasa kesaksamaan dalam kalangan pelajar dan menyelesaikan masalah yang mungkin timbul daripada pilihan pakaian atau fesyen yang tidak sesuai. Selain itu, pakaian seragam membantu dalam mengenal pasti pelajar bagi memudahkan kakitangan sekolah memastikan keselamatan di sekolah. Pakaian seragam juga merupakan pilihan yang lebih berpatutan berbanding dengan membeli pakaian harian berjenama dan mahal sebagai pakaian ke sekolah.

Malaysia berada dalam zon iklim panas dan lembap, suhu purata Malaysia meningkat daripada 26.3 °C kepada 27.8 °C dari 1968 hingga 2005. Sesetengah kawasan bandar pula mencatatkan kenaikan ketara 6.7 °C antara tahun 1998 and 2019. Kini suhu maksimum siang hari melebihi 30oC hampir sepanjang tahun. Gelombang haba yang melanda Malaysia dari April dijangka sehingga September 2023, telah membuatkan kita lebih sedar tentang kesan suhu udara yang tinggi terhadap kesihatan, kesejahteraan dan produktiviti. Suhu udara yang tinggi boleh menyebabkan ketidakselesaan, menyukarkan tugas harian dan dalam kes yang melampau boleh mengakibatkan strok haba. Kanak-kanak sekolah rendah khususnya, yang fisiologinya sedang berkembang adalah yang paling terkesan dengan impak ini.

Kebanyakan bilik darjah sekolah hanya bergantung kepada kipas siling dan pengudaraan semula jadi. Apabila kondisi persekitaran tidak dapat diubah, dua faktor lain yang boleh dikawal adalah kadar aktiviti dan pakaian. Kadar aktiviti pelajar di dalam bilik darjah adalah paling minimal dengan kebanyakan aktiviti adalah dalam keadaan duduk. Dari segi pakaian, orang dewasa bebas untuk menukar pakaian yang selesa mengikut keadaan cuaca semasa. Namun bagi pelajar sekolah, pemakaian pakaian seragam selama sekurang-kurangnya lima jam pada waktu siang menjadikannya mencabar untuk kekal selesa.

Justeru, pakaian seragam sekolah yang sesuai dengan iklim tempatan memberi perbezaan yang ketara dalam kesejahteraan pelajar. Pakaian sekolah yang terlalu formal seperti tali leher, blazer dan rompi tidak sesuai dengan cuaca panas di Malaysia kerana pakaian formal ini direka khusus untuk meningkatkan haba pada badan yang sesuai untuk iklim sejuk. Sebagai contoh, pakaian yang mempunyai pemotongan longgar dan berlengan pendek bagi pelajar lelaki amat membantu dalam meningkatkan pengudaraan. Sebagai cadangan, pemilihan pakaian yang lebih bersahaja seperti t-shirt yang tidak tebal dan seluar yang longgar dan selesa boleh memberi keselesaan kepada pelajar.

Warna pakaian juga memainkan peranan penting dalam penyerapan haba. Pakaian berwarna lembut seperti putih atau pastel boleh membantu mengurangkan penyerapan haba dan menjadikan pelajar lebih selesa. Walau bagaimanapun, sekiranya pakaian sekolah melibatkan penggunaan warna yang lembut, fabrik perlu dipastikan tidak terlalu jarang terutamanya untuk kegunaan pelajar perempuan muslim agar lebih sopan dan menutupi aurat dengan sempurna. Manakala fabrik berwarna putih juga mungkin agak kurang sesuai kerana mudah kotor.

Selain itu, pemilihan jenis fabrik untuk pakaian sekolah perlu diberi perhatian. Penggunaan kombinasi bahan yang sesuai dengan iklim dan aktiviti pelajar perlu dipertimbangkan. Pemilihan jenis fabrik yang mempunyai keupayaan menyerap kelembapan seperti “polyester blends” (campuran poliester)  sesuai digunakan dan lebih murah. Fabrik jenis ini direka bentuk untuk menarik kelembapan dari badan, memastikan pelajar berasa kering dan selesa walaupun dalam cuasa panas. Selain itu, fabrik jenis ini juga sesuai untuk aktiviti yang agak lasak, selain kurang berkedut. Sifat anti kedut sudah tentu menggembirakan ibu bapa dan anak-anak kerana tidak perlu memperuntukkan masa yang lama untuk tujuan menyeterika.

Gentian semula jadi seperti buluh, yang tinggi penanamannya di Malaysia, mempunyai kualiti unik yang menyumbang kepada keselesaan pemakai.  Manfaat gentian ini perlu diperluaskan dalam pengeluaran pakaian khususnya di Malaysia yang beriklim panas dan lembap. Gentian buluh mempunyai sifat kebolehnafasan yang baik, menyerap lembapan daripada kulit dan menyejatnya dengan cepat, keupayaan gentian buluh untuk mengekalkan badan yang sejuk walaupun dalam cuaca panas, mempunyai tekstur yang lembut, antibakteria dan tahan bau, sifat hipoalergenik selain sifat mampan dan mesra alam berbanding bahan tekstil yang lain.

Pemilihan fabrik daripada sumber gentian (fiber) selulosa yang dijana semula (regenerated cellulose fibre) seperti viscose rayon juga boleh diberi perhatian. Gentian ini dihasilkan sama ada dari sumber pulpa kayu atau sumber berasaskan tumbuhan lain yang telah melalui proses modifikasi yang dipanggil proses viscose atau proses rayon. Fabrik ini mempunyai tekstur yang lembut dan licin, berkeupayaan menyerap kelembapan serta memberikan keselesaan kerana mempunyai kebolehnafasan yang sangat baik. Fabrik dari jenis gentian ini juga mempunyai kekuatan yang baik yang membolehkan pengguna menggunakan fabrik ini berulang kali, tahan lusuh serta tahan kepada basuhan. Selain itu, fabrik ini dapat memberikan kesan penampilan pakaian yang elegan dan versatil kerana mempunyai sifat derap atau kebolehlenturan yang baik.

Gentian dengan struktur mikrofiber juga boleh menjadi pilihan yang baik untuk menghasilkan pakaian seragam sekolah. Mikrofiber merujuk istilah yang digunakan untuk menjelaskan sesuatu gentian yang dihasilkan secara sangat halus. Kehalusannya adalah 100 kali lebih halus daripada rambut manusia. Kelebihan gentian mikrofiber meliputi kelembutan yang memberi keselesaan, daya serapan peluh yang baik, ketahanan terhadap kekotoran, kekuatan yang baik, cepat kering apabila basah serta ringan.

Selain itu, adalah penting juga untuk kita memanfaatkan teknologi tekstil terkini dalam pemilihan bahan dan reka bentuk pakaian sekolah bagi memberikan keselesaan kepada pelajar. Antaranya inovasi fabrik penyerap peluh, perlindungan UV, keupayaan menahan kekotoran serta pelbagai lagi inovasi berkaitan tekstil pintar. Inovasi reka bentuk ergonomik pembuatan pakaian yang mampu meningkatkan kadar pengaliran udara yang baik dan mengurangi rasa tidak selesa juga perlu diberi perhatian.

Dalam keadaan cuaca panas di Malaysia, pakaian sekolah yang selesa sangat penting untuk memastikan pelajar dapat memberikan tumpuan yang optimum dalam pembelajaran. Oleh itu, adalah amat penting supaya piawaian seragam sekolah dikaji semula dan menjadikannya lebih mesra iklim untuk memastikan keselesaan terma, kesihatan dan kesejahteraan para pelajar.

 

 

Ts. Dr. Azrin Hani Abdul Rashid

Pensyarah Kanan / Penyelidik Utama

Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC)

Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Profesor Madya Ts. Dr Azian Hariri

Penyelidik Utama

Industrial Hygiene Research Group

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Artikel ini juga diterbitkan di :

1. Malaysiakini (malaysiakini.com), 22 Jun 2023: ULASAN | Pakaian seragam sekolah perlu dikaji semula

https://m.malaysiakini.com/news/669484

 

2. Malaysian Daily News (malaysiandailynews.com), 22 Jun 2023: Pakaian seragam sekolah perlu dikaji semula

https://malaysiandailynews.com/pakaian-seragam-sekolah-perlu-dikaji-semula/

 

3. Babab.net (babab.net), 22 Jun 2023: Pakaian seragam sekolah perlu dikaji semula

https://babab.net/out/pakaian-seragam-sekolah-perlu-dikaji-semula.html

 

4. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 2 Julai 2023: Kaji semula pakaian seragam sekolah

https://malaysiagazette.com/2023/07/02/kaji-semula-pakaian-seragam-sekolah/