BATU PAHAT – Bagi menyokong usaha pemuliharaan gajah di negara ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) telah dilantik oleh Jabatan Perhilitan Malaysia sebagai rakan strategik projek Konservasi Gajah Asia di Semenanjung Malaysia.

Projek yang mempunyai ‘War Room’ khas itu berperanan menangani isu-isu berkaitan konservasi gajah di Ibu Pejabat Perhilitan Malaysia.

Pelantikan sebagai rakan strategik membolehkan UTHM turut sama menyumbang idea serta menganjurkan program-program berkaitan konservasi gajah secara bersama.

Ketua projek, Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah berkata sebagai langkah pertama beliau akan bekerjasama dengan rakan pensyarah daripada Jabatan Fizik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan serta Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, UTHM bagi menjayakan projek konservasi selain kumpulan fokus penyelidikan pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar (eNCORe) serta Pusat Penyelidikan Penggunaan Mapan Sumber-Sumber Semulajadi (SUNR).

“Ini rentetan daripada penerimaan satu kolar satelit gajah daripada Jabatan Perhilitan yang merupakan amanah kajian baharu yang bakal diusahakan.

“Kolar satelit gajah yang tidak aktif diterima pada 8 Mac 2023 daripada Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin susulan daripada perbincangan pertama yang diadakan bersama Pegawai Pakar Bidang Khusus (SME) Proboscidea, Salman Saaban merangkap Pengarah Bahagian Kawasan Perlindungan,” katanya.

Bagi memastikan kajian konservasi tersebut berjaya, pihaknya akan mengadakan beberapa siri perbincangan lagi bersama Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan Malaysia, Jabatan Perhilitan Negeri Johor dan Jabatan Perhilitan Negeri Pahang selepas ini.

Tambah Dr. Nazirah yang juga penyelidik utama Pusat Penyelidikan Geomatik Gunaan Untuk Pencegahan Bencana (CAGeD), kajian yang beliau lakukan selama ini adalah membangunkan model jajaran laluan baharu gajah serta penghalaan semula gajah ke arah pengurusan mampan bagi memulihara haiwan tersebut.

“Saya menggunakan teknologi geomatik dan geovisualisasi 3D daripada Sistem Maklumat Geografi (GIS) sebagai strategi untuk memulihara pengurusan gajah secara mampan dalam kajian,” jelas beliau.

Pihaknya berharap lantikan sebagai rakan strategik itu dapat membantu pentadbir pemuliharaan gajah membuat keputusan, perancangan dan penilaian kepada kesesuaian habitat gajah.

“Selain itu, jalinan kerjasama yang menggunakan kepakaran UTHM melalui gabungan dua bidang iaitu teknikal dan biologi gajah diharap dapat membantu meningkatkan bilangan populasi gajah di negara ini,” katanya.

 

Ketua projek, Sr Ts. Dr. Nazirah Mohamad Abdullah yang sebelum ini aktif membangunkan model jajaran laluan baharu gajah serta penghalaan semula gajah ke arah pengurusan mampan.

 

Ketua projek menerima kolar satelit gajah yang tidak aktif daripada Jabatan Perhilitan Johor untuk dijadikan bahan kajian.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Media Digital Johor (mediadigitaljohor.gov.my), 15 Mac 2023 : FAST UTHM jadi rakan strategik Projek Konservasi Gajah Asia

FAST UTHM JADI RAKAN STRATEGIK PROJEK KONSERVASI GAJAH ASIA