Oleh Farah Deena Md Rapee

PUTRAJAYA – Sekretariat Rukun Negara (SRN), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan program Dialog Perpaduan bersama Dato’ Hajah Norison Ramli, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) bertempat di Kompleks Persekutuan Putrajaya pada 24 Februari 2023 lalu.

Sesi dialog tersebut bertujuan untuk membentangkan hala tuju dan sasaran kerja SRN UTHM bagi tahun 2023 di samping berkongsi idea serta cadangan penambahbaikan program SRN UTHM pada masa akan datang.

Pertemuan itu turut membincangkan perancangan program-program kolaborasi berimpak tinggi yang akan dilaksanakan bersama pihak JPNIN nanti.

Delegasi yang diketuai oleh Penasihat SRN UTHM, Farah Deena Md Rapee itu dihadiri seramai 30 wakil pelajar dalam kalangan Majlis Tertinggi dan Exco SRN UTHM.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPNIN, Zulkifli Hashim dan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Mohd Fardhi Ahmad.

SRN UTHM berterima kasih kepada pihak JPNIN kerana menyokong penuh cadangan program yang dibentangkan agar agenda perpaduan negara dapat direalisasikan.

Sesi dialog itu juga diharap dapat mencapai objektif dan hubungan baik antara SRN UTHM dengan JPNIN, sekali gus menggalakkan lagi sebarang bentuk kerjasama pada masa akan datang.