BATU PAHAT – Bersempena 30 tahun penubuhan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Institut Ahli Sunnah wal Jamaah (iSWAJ) telah menganjurkan simposium antarabangsa iaitu International Symposium on Education and Economic Development Plan for the Young Muslim 2023 pada 28 dan 29 Januari 2023 bertempat di Dewan Al Farabi Masjid Sultan Ibrahim dan Auditorium Al Jazari, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Simposium yang bertemakan “The role of education in bringing transformational change within the Myanmar Muslim community living in the ASEAN region” tersebut merupakan anjuran bersama International Institute of Islamic Thought (IIIT) Myanmar, The International Institute of Islamic Thought (IIIT) East and Southeast Asia, United Nations High Commissioner for Refugees (UNHCR-Malaysia) dan Myanmar Muslim Intellectual Forum (MMIF).

Simposium itu disertai 100 peserta terdiri daripada pelajar, guru, pendidik dan penyelidik dari Malaysia, Singapura, Myanmar dan Indonesia, termasuk Pertubuhan Kebajikan Cahaya Surya Bakti (CSB) iaitu satu Pusat Pembelajaran Rohingya yang menempatkan 700 pelajar melalui lima buah sekolah kanak-kanak dan remaja pelarian yang terletak di sekitar negeri Johor.

Ketua Jabatan Akidah dan Pendidikan, iSWAJ UTHM, Dr. Halimi Mohd Khalid merangkap ketua penyelidik dalam pembangunan indeks paradigma tauhid berkata penganjuran simposium bersempena sambutan 10 tahun iSWAJ itu juga bertujuan membina jaringan hubungan kerjasama dengan beberapa organisasi peringkat antarabangsa khususnya dalam meningkatkan kefahaman dan kualiti pendidikan yang berpaksikan Ahli Sunnah wal Jamaah dan Paradigma Tauhid.

Turut hadir, Prof. Dr Ismail Abdul Rahman, mantan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM, Dr. Muhammad Suhaimi Datuk Haji Sulong, Ketua Jabatan Ekonomi dan Perundangan Islam, iSWAJ UTHM merangkap pengarah program, Profesor Dr. Dato’ Fauzan Norrdin, Pengarah IIIT, East and Southeast Asia, Profesor Emeritus Dr. Dato’ Wira Jamil Osman, Lembaga Pengarah IIIT, East and Southeast Asia, Profesor Madya Dr. Maulana Akbar Shah @ U Tun Aung, IIIT Representative Myanmar dan Soraya Alkaff, Pengarah Eksekutif dan Pengasas CSB.

ISWAJ turut menjemput Profesor Omar Hasan Kasule, Secretary General of IIIT bersiaran secara dalam talian secara live dari Riyadh, Saudi Arabia.

Hasil penganjuran simposium antarabangsa itu, UTHM bakal mewujudkan satu cawangan iaitu IIIT Chapter di bawah pengurusan iSWAJ, UTHM bagi mengekalkan kerjasama dengan pihak terbabit pada masa hadapan.

Kerjasama tersebut juga akan membuka ruang dan peluang besar demi manfaat bersama, melalui elemen latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dengan melihat bagaimana konsep pengintegrasian bersama paradigma tauhid dilaksanakan dalam bentuk pratikal.