Oleh Norfauzan Md Sarwin

BATU PAHAT, 15 Nov 2022 – Bersempena ‘World Sandwich Day’ yang disambut 3 November setiap tahun, Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) telah menganjurkan Sandwich Day@PTTA di bawah Program Pemerkasaan Budaya Ilmu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 30 November 2022 ini.

Pelbagai aktiviti menarik telah disusun sempena sambutan hari tersebut sesuai dengan tema program iaitu memperkasakan ilmu pengetahuan.

Antaranya ‘Bicara Kesihatan’ oleh Dr. Muhammad Faizuddin Ahmad, Doktor Perubatan Pusat Kesihatan UTHM dengan topiknya ‘Sandwich, Sihat atau Sebaliknya?’.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran chef jemputan, Abdul Wafi Abdul Rahman dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) yang juga merupakan Pensyarah Subjek BBK 37603 Culinary Arts Professional.

Beliau dalam slotnya telah berkongsi ilmu dan demonstrasi berkaitan penyajian sandwich menggunakan pelbagai bahan berserta dekorasinya.

Turut diadakan, pertandingan mereka cipta sandwich yang disertai oleh pelajar dan staf UTHM. 

Pertandingan yang dinamakan ‘Chef Sandwich UTHM’ itu dimenangi oleh staf dari Yayasan UTHM, Wan Shahira Mardhiah Wan Zahari dan regunya Nurul Syafiqah Musleh.

Selain itu, program itu juga berjaya menambat hati warga kampus apabila penganjur turut mengedarkan lebih 450 pek sandwich percuma hasil sumbangan Yayasan UTHM dan sebahagiannya disediakan sendiri oleh para pelajar FPTV Kohort 14. 

Ketua Pustakawan PTTA, Zaharah Abd Samad yang juga Ketua Fungsi UTHM Prihatin berkata pihaknya berbesar hati menganjurkan program yang dapat memberi manfaat kepada seluruh warga kampus.

Terdahulu, PTTA turut mengadakan Majlis Pelancaran Pertandingan Reading Corner@Fakulti/PTJ serta Perasmian Program Pemerkasaan Budaya Ilmu UTHM pada 31 Oktober lalu.

Pada majlis tersebut, Ketua Pustakawan telah menyerahkan bahan bacaan buku sumbangan PTTA kepada lapan fakulti dan tiga pusat pengajian yang berada di bawah naungan UTHM sebagai simbolik pelancaran pertandingan. 

“Antara objektif pertandingan tersebut adalah untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dan sudut bacaan yang menarik untuk aktiviti mengalakkan penyebaran budaya ilmu dalam kalangan warga universiti,” katanya.

Sementara itu Pengarah Program, Norfauzan Md Sarwin pula berkata Program Pemerkasaan Budaya Ilmu UTHM akan melabuhkan tirai dengan pelbagai pengisian yang lebih “wow” dengan membawa elemen santai dan menyeronokkan. 

“Antaranya, pihak kami sedang merencana untuk menjemput selebriti Hawa Rizwana Ahmad Redzuan dalam sesi Book Talk@PTTA pada Majlis Penutup Program Pemerkasaan Budaya Ilmu UTHM yang bakal diadakan pada 29 November nanti.

“Justeru itu, PTTA amat berbesar hati menjemput semua warga UTHM untuk hadir memeriahkan lagi majlis tersebut,” katanya.