Keratan Akhbar: Teroka potensi teknologi realiti lanjutan kepada pelajar

Berita Harian │5 November 2022:

Oleh Dr. Mazidah Mat Rejab bhrencana@bh.com.my

Realiti lanjutan (XR) menjadi antara topik paling hangat dibincangkan di semua platform media secara global, tetapi Malaysia belum lagi terdedah dengan teknologi itu sedangkan ia membolehkan pengguna meningkatkan pengetahuan dan tahap keyakinan dalam industri tertentu seperti kesihatan, pendidikan, pembuatan dan peruncitan.

XR membabitkan gabungan interaksi manusia-mesin dengan realiti diubah atau dibina oleh komputer. Ia juga merujuk kepada video 360 darjah, realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR) dan realiti campuran (MR) yang menggunakan peranti untuk menindih maklumat interaktif atau mempersembahkan maklumat maya dalam kapasiti 3D.

Kita melihat lebih banyak perkembangan dalam penggunaan VR dan peningkatan dalam pembangunan untuk program tambahan serta Metaverse. Hasilnya, lebih banyak alat wujud di pasaran, lebih ramai orang dapat menerima dengan teknologi itu, manakala kos atau cabaran penerimaannya semakin berkurangan.

Diakui fasa pandemik selama dua tahun menyebabkan persekitaran pekerjaan dan pendidikan jauh berubah sehingga lebih ramai orang bekerja dari jauh. Ini membuka peluang untuk kita melihat bagaimana XR dapat ‘menyatukan’ orang ramai dan meneroka cara mereka bekerja atau belajar sesuai dengan persekitaran semasa.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini menegaskan penggunaan teknologi 5G berkesinambungan pantas akan memungkinkan capaian kepada aplikasi VR, AR dan kecerdasan buatan (AI) yang sebelum ini tidak dapat dilakukan dengan 4G.

VR memberi peluang terbaik kepada pelajar untuk mempraktikkan kemahiran baharu. Pereka bentuk VR boleh mengubah suai dengan meletakkan pengguna atau pelajar ke dalam persekitaran realiti untuk mempelajari dan mempraktikkan sesuatu konsep.

Contohnya, pelajar perubatan boleh melakukan pembedahan secara VR, sekali gus menjadikan keberkesanan XR untuk pembelajaran sebagai dimensi baharu dalam dunia pendidikan perubatan.

Kesan lebih positif kepada pelajar

Kajian di Barat juga menunjukkan pelajar akan lebih terbabit secara terbuka dalam pembelajaran menggunakan VR dan lebih cenderung menyelesaikan sesuatu aktiviti hingga selesai.

Bagaimanapun, harus diingat program XR dalam konteks pembelajaran tidak boleh disampaikan dengan cara sama seperti e-Pembelajaran sedia ada seperti pelajar hanya mempunyai komputer riba atau komputer meja.

Bagi membolehkan program XR digunakan, pelajar perlu menyediakan beberapa komponen seperti set kepala (headset) dan komponen lain. Pelajar juga perlu belajar untuk mengorientasikan teknologi itu seperti mempelajari cara menggunakan pengawal tangan dan berasa selesa dengan set kepala.

Justeru, infrastruktur pembelajaran menggunakan XR sangat diperlukan seperti Makmal AI di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dilancarkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Bagaimanapun, masa depan pelaksanaan XR dalam sektor pendidikan di negara ini secara umumnya masih belum jelas, termasuk dari sudut penyediaan komponen seperti komputer riba dan set kepala VR. Namun, harus diakui, teknologi itu sendiri berkembang pesat dengan peranti lebih mampu milik dan kit alat AR sudah dibina dalam telefon.

Oleh itu, perlu ada perancangan untuk memastikan keupayaan pelajar menggunakan peranti berkenaan di tempat pengajian, iaitu peranti lebih inovatif dan mudah digunakan, sekali gus dapat diperoleh dan diedarkan.

Pada masa ini, kita masih berada pada peringkat awal XR dengan Malaysia masih lagi berada pada fasa melalui permukaan teknologi dan keupayaannya.

Persoalan perlu dijawab ialah bukan sama ada teknologi itu akan menjadi sebahagian persekitaran kerja atau pembelajaran, tetapi sejauh mana keberkesanan penggunaannya kepada corak pendidikan tanah air.

 

Dr. Mazidah Mat Rejab

Pensyarah Kanan

Fakulti Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Categories
Keratan Akhbar 2022