SINAR HARIAN | 13 Oktober 2022 :

Oleh : ROSHLAWATY RAIEH

Kebanyakan universiti di negara ini mula menerima kedatangan pelajar baharu bagi sesi 2022/2023.

Pelajar baharu yang mendaftar itu terdiri daripada lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); Matrikulasi; Asasi; Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan juga pelajar antarabangsa.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) misalnya, seramai 4,166 pelajar baharu yang layak dan dipilih menjadi sebahagian daripada warga universiti.

Manakala di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula, mereka menerima kemasukan pelajar seramai 4,576 orang bagi kemasukan sesi 2022/2023.

Bagi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), seramai 2,300 pelajar baharu pengajian peringkat ijazah sarjana muda mendaftar bagi kemasukan semester satu sesi 2022/2023.

Melihatkan kepada jumlah ribuan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading, maka ia telah membuktikan yang negara Malaysia sememangnya memiliki ramai anak-anak yang bijak.

Berbalik kepada pelajar yang layak ke universiti, ingin penulis jelaskan bahawa kehidupan di kampus bukanlah semudah belajar di sekolah rendah dan menengah.

Ini kerana, pelbagai cabaran yang perlu anda tempuhi sehinggakan ada antaranya seakan menyesal dan mahu pulang ke rumah kerana terlalu rindukan keluarga.

Bagaimanapun, tidak semua pelajar baharu bersikap sedemikian. Mungkin hanya segelintir sahaja kerana tidak pernah berjauhan dengan ibu bapa dan adik beradik yang lain.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts Dr Ruzairi Abdul Rahim dalam satu kenyataan berkata, pelajar yang terpilih ke universiti sepatutnya gembira dan merasakan diri bertuah kerana berjaya menjadi sebahagian daripada keluarga kampus.

Naib Canselor UniSZA, Profesor Dr Fadzli Adam pula turut menitipkan pesanan kepada pelajar baharu yang mendaftar di universiti itu.

“Selamat menempuh kehidupan kampus yang penuh dengan cabaran. Semoga anda semua dapat mengikuti pengajian dan menjaga nama universiti dengan baik,” katanya.

Sementara itu, dalam kemeriahan proses pendaftaran pelajar baharu ke universiti, penulis tertarik dengan kisah pelajar bernama Lau Lai Kiat yang berjaya menyambung pengajian ke Universiti Malaya (UM) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan.

Dia yang hanya menunggang motosikal sambil mengendong sebuah beg pakaian dan juga peralatan pengajian, tetap hadir ke UM untuk mendaftar walaupun tidak ditemani ahli keluarga seperti pelajar lain.

Kesungguhan, kekuatan, kecekalan dan semangat yang ada pada pelajar ini wajar dicontohi oleh semua pelajar lain. Penulis salute.

Satu lagi kisah yang penulis rasakan mampu memberi inspirasi kepada generasi hari ini. Cerita tentang dua pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) yang diterima masuk ke Universiti Utara Malaysia (UUM) membuktikan bahawa kekurangan diri mereka bukan halangan untuk ke menara gading.

Anis Aqilah Za’aba, 21 dan Nur Irdina Fatini Rosli, 20, masingmasing yang diuji dengan buta sebelah mata kanan akibat penyakit ‘Sistemik Lupus Eritematosus’ (SLE) dan menghidap penyakit ‘Autism Asperger Syndrome’ tetap berharap mereka dapat belajar dengan sebaik mungkin sekali gus menimba pengalaman berharga di UUM.

Bagi pasangan kembar tiga beradik lelaki yang telah menerima tawaran menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia (USM) pula, melahirkan rasa gembira apabila kesemuanya berjaya ke universiti yang sama.

Mohamed Azmin Dawlath Mohamed, Mohamed Azwan Dawlath Mohamed dan Mohamed Azrul Dawlath Mohamed yang masing-masing berusia 22 tahun tidak pernah berpisah sejak zaman persekolahan lagi dan peluang belajar ke USM bagaikan satu kenangan terindah buat mereka.

Akhir sekali, penulis ingin mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menyambung pengajian ke universiti. Selamat menempuh pengalaman baharu di kampus dan belajarlah bersungguh -sungguh demi membanggakan ibu dan bapa.

Kepada yang kurang bernasib baik pula, jangan bersedih dan berputus asa kerana kegagalan bukanlah satu pengakhiran tetapi ia satu permulaan menuju kejayaan.

Teruskan melangkah kerana sudah pasti kejayaan menanti kelak, insya-ALLAH.

Berita ini juga diterbitkan di ;

1. sinarharian.com, 13 Oktober 2022 : https://www.sinarharian.com.my/article/225677/suara-sinar/analisis-sinar/kagum-semangat-mahasiswa-baharu

2. sinarbestari.sinarharian.com, 20 Oktober 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/komuniti/kagum-semangat-mahasiswa-baharu/