Bagi mempelajari ilmu berkaitan pengaturcaraan dengan lebih mendalam lagi, Mohamad Syafiq Mohd Saffingi, pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil keputusan untuk bekerja sebagai Jurutera Sistem di sebuah syarikat yang terletak di San Diego, Amerika Syarikat.

Selepas tamat pengajian di UTHM pada 2019, anak kelahiran Muar ini telah ditawarkan bekerja di syarikat Hewlett-Packard, Singapura.

Hasil penglibatan aktifnya dalam inovasi semasa pengajian, Syafiq telah membangunkan beberapa sistem untuk syarikat tersebut antaranya Waste Monitoring System dan Computerized maintenance management system (CMMS).

Walaupun Syafiq melanjutkan pengajiannya di UTHM dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional, namun minat yang mendalam dalam bidang pengaturcaraan menyebabkan beliau banyak melibatkan diri dalam aktiviti dan pertandingan berkaitan bidang itu selain turut menyertai pertandingan berprestij seperti ROBOCON dan ROBOBATTLE.

Sementara itu, menurut pensyarah beliau, Ts. Dr. Tamil Selvan Subramaniam, UTHM akan meneruskan fokusnya dalam menghasilkan graduan profesional seperti mana yang telah digariskan dalam falsafah pendidikan universiti iaitu “Pendidikan dan latihan UTHM berteraskan paradigma tauhid bagi menghasilkan graduan kompeten, profesional dan berdaya keusahawanan dipacu teknologi termaju untuk pembangunan sejagat.”

Tambah beliau, pengajian TVET adalah tunjang pembangunan sumber manusia dalam memastikan tenaga kerja baharu yang berkemahiran tinggi dapat dihasilkan terutamanya dalam bidang-bidang baharu yang penting untuk pembangunan negara.

“Ini selaras dengan slogan UTHM Produces Professionals yang bertepatan dengan penghasilan ‘top talent’ yang mana kebolehpasaran graduan terserlah dan diterima di peringkat antarabangsa,” katanya.