Keratan Akhbar: Skop peluang kerja STEM kecil

PELUANG kerja yang terhad dalam bidang STEM dipercayai menjadi punca ramai pelajar kurang berminat menceburi bidang tersebut.- GAMBAR HIASAN

Mingguan Malaysia | 25 September 2022 :

Oleh AHMAD FADHLULLAHADNAN

PETALING JAYA: Hanya 49,887 atau 24.7 peratus tawaran kerja dalam bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) daripada 202,102 kekosongan jawatan, iaitu antara yang terendah menyebabkan bidang berkenaan kurang mendapat sambutan pelajar.

Laporan Landskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia Suku Kedua 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Ogos lalu menunjukkan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merekodkan tawaran kekosongan pekerjaan tertinggi dengan 140,104 kekosongan.

Ia merangkumi aspek perindustrian dan pengeluaran, keusahawanan, teknologi bahan, fesyen dan pakaian, kecantikan, kulinari serta pertanian.

Senarai pekerjaan kritikal pula mencatatkan 101,423 kekosongan antaranya akauntan dan juruaudit, profesional pengiklanan dan pemasaran serta pengarah urusan dan ketua eksekutif.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Rosmamalmi Mat Nawi berkata, peluang pekerjaan yang tidak terjamin dilihat menjadi antara faktor graduan tidak menjadikan bidang STEM sebagai sasaran punca pendapatan utama mereka.

 

“Walaupun kita berjaya pupuk minat dari sekolah menengah sehingga ke institusi pengajian tinggi, dengan bidang STEM yang agak sukar dan (pengaruh) faktor peluang pekerjaan, (boleh) menyebabkan masalah keciciran pelajar (dalam bidang itu).”

ROSMAMALMI MAT NAWI

 

Beliau berkata, perkara itu mempengaruhi pelajar dalam meneruskan pengajian dalam bidang berkenaan terutamanya di peringkat tertinggi.

“Kebanyakan pelajar bidang STEM, walaupun sudah habiskan peringkat tertinggi tetapi tak banyak yang dapat (pekerjaan) apabila mahu mohon pekerjaan dalam bidang itu.

“Walaupun kita berjaya pupuk minat dari sekolah menengah sehingga ke institusi pengajian tinggi, dengan bidang STEM yang agak sukar dan (pengaruh) faktor peluang pekerjaan, (boleh) menyebabkan masalah keciciran pelajar (dalam bidang itu).

“Sebab itu kita dapat lihat ramai berpendidikan tinggi tak dapat peluang pekerjaan dan terpaksa pergi bidang lain di luar,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

Selasa lalu, media melaporkan, kerajaan akan bertindak menangani isu kekurangan bilangan pelajar dalam bidang STEM di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sentiasa berusaha memperkasa bidang sains, teknologi, dan inovasi (STI) kerana ia dianggap sebagai pemboleh daya kepada pemantapan sosioekonomi negara.

Disebabkan itu, katanya, Petronas menjadi penyokong kuat kepada usaha tersebut dan melaksanakan pelbagai inisiatif serta program bagi memupuk minat pelajar dalam bidang STEM bermula dari sekolah rendah.

Justeru Rosmamalmi berkata, usaha kini terletak kepada kerajaan untuk meluaskan peluang pekerjaan supaya kepakaran mereka tidak menjadi satu kerugian.

“Kita ada genius tetapi tak dapat teruskan sebab kurang berkemampuan. Walaupun ada program, tetapi kalau tak ada usaha perkenalkan mungkin mereka tercicir juga, ujarnya.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Amin Senin berkata, kerajaan perlu memberi sokongan yang penuh kepada mana-mana program yang dicadangkan terutama oleh National STEM Movement sebelum ini.

Katanya, sokongan sama ada berbentuk kewangan mahupun kajian perlu diperkukuh dalam usaha meningkatkan lagi jumlah pelajar dalam bidang berkenaan. “Jadi perlu perkukuh program-program yang membantu yang sudah dicadangkan sebelum ini. “Kini pelaksanaan saja yang main peranan, tetapi kita kena maklum yang ia juga mengambil masa,” jelasnya.

Berita ini juga diterbitkan di :

1. utusan.com, 25 September 2022 : https://www.utusan.com.my/nasional/2022/09/skop-peluang-kerja-stem-kecil/

2. melaysiakini.com, 25 September 2022 : https://www.melaysiakini.com/skop-peluang-kerja-stem-kecil-57331.html

Dr. Rosmamalmi Mat Nawi

Pensyarah Kanan

Jabatan Keselamatan Maklumat dan Teknologi Web

Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
Keratan Akhbar 2022
Subscribe