SUNGAI PETANI –  Siri Bengkel Usahawan eBay & Amazon anjuran Syarikat Terbitan Universiti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (STU UTHM) didapati berjaya melahirkan usahawan Malaysia yang mampu menembusi pasaran luar negara.

Pengarah Spin Off STU UTHM, Dr. Zul Ariffin Maarof yang juga merupakan Penyelidik Utama Kumpulan Integrasi Oases (OIG) dan Pensyarah Pusat Pengajian Diploma, UTHM berkata program yang diadakan semenjak tahun 2016 sehingga kini berjaya melahirkan ramai usahawan Malaysia yang mampu bekerja secara dalam talian (online) dari rumah dan menghasilkan pendapatan dalam USD.

“UTHM sentiasa melakukan aktiviti pemantauan dan lawatan, bertemu dengan para peserta bagi melihat perkembangan perniagaan mereka,” katanya.

Terkini, Mohamad Nor Ishak, salah seorang peserta program Bengkel Usahawan eBay di Alor Setar berjaya menghasilkan jualan sebanyak $132,685 setahun, bersamaan dengan RM590,053 pada tahun 2021 hanya daripada satu akaun eBay.

Mohamad Nor berkata, hasil pembelajaran dan bimbingan yang berterusan dari STU UTHM telah berjaya membantu beliau mendapatkan pelanggan dari luar negara melalui eBay.

“Majoriti pelanggan adalah 90 peratus dari negara Amerika Syarkiat, Eropah dan United Kingdom dan 10 peratus adalah dari negara-negara lain.

“Kebanyakan barangan yang dijual adalah produk-produk dari Malaysia seperti produk kecantikan, produk kesihatan dan produk alat ganti basikal dan kereta,” jelas beliau.

Tambah Mohamad Nor, sebelum ini beliau telah mencuba pelbagai jenis perniagaan secara fizikal dan online, tetapi tidak ada satupun yang serasi dan berjaya dilakukan seperti apa yang dinikmatinya hari ini.

Pada asalnya, perniagaan eBay yang dijalankan adalah hanya secara separuh masa.

Lama kelamaan perniagaan Mohamad Nor semakin membesar dan menuntut beliau untuk berhenti kerja dan melakukannya secara sepenuh masa.

Tahun ini merupakan tahun keempat Mohamad Nor menjalankan bisnes eBay secara sepenuh masa hanya dari rumah.

Akaun eBay beliau juga telah mendapat status tertinggi iaitu akaun Top Rated Seller dan diberikan Account Manager yang mempunyai selling limit jualan sebanyak RM20 juta sebulan.

Hasil dari perniagaan secara online sebagai Usahawan eBay, beliau berjaya menjana pendapatan bersih sebulan sekitar RM12,000 sehingga RM20,000 sebulan.

Kini, beliau lebih selesa untuk bekerja dari rumah dan mempunyai masa yang lebih fleksibel bersama keluarga.

Mengulas lanjut, Zul Ariffin berkata inisiatif UTHM menganjurkan program seperti ini bagi membantu melahirkan lebih ramai usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS), ibu tunggal dan graduan yang tiada pekerjaan untuk melibatkan diri sebagai usahawan eBay dan Amazon.

Usahawan baharu yang berminat untuk belajar memasarkan produk di platform eBay dan Amazon boleh mengunjungi laman sesawang exportoversea.com/ebay dan mamabaryani.com.

 

 

 

Berita ini juga telah diterbitkan di :

1. malaysiagazette.com, 14 Ogos 2022 : https://malaysiagazette.com/2022/08/14/uthm-lahirkan-usahawan-iks-tembusi-pasaran-global/

2. sinarbestari.sinarharian.com, 18 Ogos 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/uthm-lahir-usahawan-iks-tembusi-pasaran-global/