KUALA PILAH: Kerajaan dalam peringkat cadangan bagi memperluaskan Wireless Bridging System (sistem tanpa wayar) di perkampungan Orang Asli atau kawasan penempatan yang bermasalah mendapat liputan internet.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, projek di bawah proof-of concept bagi sistem tersebut kini dijalankan Akademi Sains Malaysia bersama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Kampung Kuala Pajam, Beranang, Selangor bermula pada Februari 2022. 

Menurut beliau, projek tersebut sudah siap dan dalam peringkat dimuktamadkan sebelum laporannya diedarkan kepada semua pihak berkepentingan.

“Matlamat projek ini untuk memanfaatkan sambungan internet dan menunjukkan kebolehlaksanaan teknologi  kepada usahawan kecil serta pelajar luar bandar,” katanya  sempena Program Motivasi dan Anugerah Cemerlang untuk Pelajar Anak Orang Asal di Balai Raya Kampung Air Rengas, Johol, di sini hari ini.

Dalam program anjuran Pertubuhan Warisan Alam NS tersebut, seramai 23 pelajar cemerlang sekolah rendah dan menengah di perkampungan berkenaan menerima sumbangan.

Sementara itu, Ahmad Amzad yang juga Pengerusi Lajnah Tanah, Perumahan dan Orang Asal Pas pusat berkata, pihak kementerian turut menerima beberapa permohonan bagi menggunakan teknologi tertentu untuk menggantikan rangkaian fiber optik bagi meningkatkan kebolehcapaian internet di kawasan tersebut.

“Ini termasuklah penggunaan Wireless Bridging System bagi menggantikan fiber optik.  Permintaan ini banyak diterima khususnya di negeri Sabah dan Sarawak,” katanya.- UTUSAN

AHMAD Amzad Hashim (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada pelajar sempena Program Motivasi dan Anugerah Cemerlang untuk Pelajar Anak Orang Asal di Balai Raya Kampung Air Rengas, Johol, Kuala Pilah hari ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH

Sumber : https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/perluaskan-capaian-internet-di-perkampungan-orang-asli/

Berita ini juga diterbitkan dalam :

1. malaysiakini.com, 25 Julai 2022 : https://www.melaysiakini.com/perluaskan-capaian-internet-di-perkampungan-orang-asli-51072.html

MOSTI cadang perluas ‘Wireless Bridging System’

2. sinarharian.com, 24 Julai 2022 : https://www.sinarharian.com.my/article/212861/EDISI/MOSTI-cadang-perluas-Wireless-Bridging-System

3. malaysia MSN.com, 24 Julai 2022 : https://www.msn.com/en-my/news/berita/mosti-cadang-perluas-wireless-bridging-system/ar-AAZUGxJ