Membeli belah dalam talian masa kini bukanlah sesuatu yang asing kerana ramai yang memilih untuk menggunakan kaedah sebegitu. Namun ada juga yang masih setia dengan cara yang lama sambil bersiar- siar bersama keluarga. Aplikasi membeli belah dalam talian tumbuh umpama cendawan selepas hujan. Ada yang berpandangan membeli belah dalam talian adalah suatu ancaman kerana duit simpanan boleh ‘menghilang’ tiba-tiba selepas gembira dan seronok  membeli belah. Sejauh manakah kemajuan teknologi ini memberi kesan kepada kita?Apa kesan baik atau buruk yang kita peroleh selepas menerima kemajuan ini? Sebenarnya semua persoalan ini kembali kepada diri kita sendiri yang menentukannya.

Carilah apa jua barangan yang kita mahukan baik dari kelengkapan dapur, kelengkapan rumah, kelengkapan diri, bayi malah aiskrim berperisa strawberi segar dari ladang Cameron Highland juga ada dijual dalam beberapa aplikasi membeli belah dalam talian. Menarik bukan? Ianya adalah antara usaha peniaga-peniaga yang patut kita sokong dan bantu bersama. Mengapa kita perlu menolak kemajuan yang baik seperti ini. Kita sebenarnya dapat belajar pelbagai cara bilamana melihat peniaga-peniaga ini berusaha keras dalam memastikan apa jua yang dibeli oleh pelanggan mereka terjamin daripada segi kualiti. Malah harga yang ditawarkan oleh penjual juga kebanyakannya jauh lebih rendah.

Aplikasi membeli belah dalam talian juga menyediakan kebaikan daripada segi penjimatan masa dan tenaga. Hanya dengan klik pada pilihan yang ada, dalam masa beberapa hari sahaja barangan yang kita beli akan sampai di hadapan pintu rumah tanpa perlu mengambil masa bersiap ke pasaraya, dan mengeluarkan wang untuk mengisi minyak kenderaan. Percaya atau tidak ada aplikasi beli belah yang menawarkan serendah hanya RM4.50 untuk harga servis penghantaran dan ada juga yang menawarkan baucar penghantaran percuma. Baucar ini ditawarkan dengan had limit penggunaan yang mana jika dilihat daripada sisi positif, ia secara tidak langsung mengawal kemahuan kita untuk terus membeli belah. Namun, dengan kemudahan yang ada, sudah pasti disiplin diri sangat diperlukan. Belilah barang yang kita perlukan mengikut kesesuaian bajet poket kita bukan berbelanja dengan boros.

Melalui pemerhatian penulis juga, didapati pengguna juga dapat menyertai jualan langsung yang disediakan dalam aplikasi-aplikasi ini. Kebiasaannya penjual akan menawarkan harga yang lebih rendah semasa jualan secara langsung diadakan. Pengguna juga boleh melihat dan bertanya tentang barangan yang sedang dijual. Menarik lagi ada di antara penjual yang menawarkan hadiah percuma semasa jualan langsung bagi menarik minat pembeli. Bayangkan kita hanya membuat bayaran untuk sehelai baju contohnya , namun apa yang ada di dalam bungkusan tempahan yang kita bakal terima lebih daripada sehelai baju.

Antara yang menarik juga, ada sebahagian penjual yang mengumpul pelanggan tetap mereka dalam satu aplikasi perbualan dalam talian, kita bukan sahaja membeli belah dan menerima hadiah percuma, namun kita juga dapat menambah kenalan usai jualan langsung ini tamat. Ada juga yang dilihat melakukan belian dan dihadiahkan kepada pembeli-pembeli yang sedang menonton sesi jualan langsung tersebut. Katanya  untuk berbahagi dan berkongsi rezeki sesama insan di samping sebagai tanda sokongan kepada penjual tersebut. Ianya sangat menarik bukan?

Aplikasi membeli belah juga dilihat memudahkan pembeli untuk mencari sesuatu  barangan yang pembeli tidak memerlukannya dengan kadar segera. Bayangkan sahaja, kadang-kadang kita mencari sesuatu barangan yang belum pasti ada di sesebuah kedai atau pasaraya. Apabila kita tidak menemui barang tersebut, kita mula bergerak dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Ini akan mengambil masa yang agak lama untuk mencari barang tersebut dengan harga yang kita rasa kita mahukan. Jika kita tidak menemuinya sudah pasti kita merasa kecewa seterusnya rasa sudah membuang masa dan tenaga yang kita ada. Melalui aplikasi membeli belah tersebut, pembeli hanya perlu menaip sahaja nama barang yang dimahukan. Nah seterusnya senarai barang tersebut mula terpampang di skrin kita. pembeli juga boleh menapis harga, kedai dari negeri mana, jenama barang, penilaian terhadap barangan dan kedai, kondisi barang, promosi yang diadakan dan banyak lagi.

Kadangkala pembeli juga tidak terlepas daripada ditipu atau mungkin menerima barangan yang kualitinya tidak seperti yang diharapkan.seperti contoh, pembeli membeli set telefon bimbit berjenama,namun apa yang diterima adalah lesung batu dan sebagainya. Pembeli harus bijak memilih saluran yang selamat. Elakkan membeli dari penjual yang dicurigai. Contohnya penjual yang tidak mempunyai status perniagaan yang jelas dan tidak berdaftar. Semak terlebih dahulu profil penjual yang kita jumpa terutamanya penjual-penjual yang menjual melalui saluran media sosial. Jika barang yang  ingin dibeli berharga atau bernilai, pastikan sebaiknya siapakah penjual kita terlebih dahulu. Digalakkan untuk terus membeli daripada syarikat yang mengeluarkan barangan tersebut. kebiasaannya  kita dapat lihat syarikat-syarikat ini mempunyai kedai rasmi atau ‘official store’ dalam aplikasi dalam talian.  Di samping keselamatan terjamin, pembeli juga akan menerima waranti yang sama seperti dibeli di kedai.

Ada sebahagian aplikasi membeli belah dalam talian yang menawarkan perkhidmatan ‘guarantee’ dalam aplikasi mereka. Perkhidmatan ini memberi lebih masa untuk pembeli memeriksa pesanan yang telah dihantar. Sekiranya pembeli menerima barang yang salah atau rosak, pembeli boleh memohon bayaran ganti rugi dalam tempoh yang telah ditetapkan. Selain itu juga kebiasaannya aplikasi ini akan mengawal bayaran daripada pembeli kepada penjual. Sebagai contoh, penjual tidak akan menerima bayaran daripada pembeli selagi mana pembeli tidak mengesahkan penerimaan pesanan. Di sini kita dapat lihat bayaran pembeli masih boleh dipulangkan kepada pembeli seandainya pembeli tidak menerima pesanan yang telah dibuat. Namun ianya tertakluk kepada sesuatu tempoh masa yang telah ditetapkan. Selain itu, sama seperti di pasaraya, terdapat kaunter khidmat pelanggan yang kita boleh salurkan pertanyaan, aduan dan sebagainya jika kita menghadapi masalah semasa membeli belah, di dalam aplikasi membeli belah dalam talian juga mempunyai bahagian khidmat pelanggan.

Apa jua aplikasi yang wujud, sekiranya digunakan secara berlebihan dan tidak pandai mengawalnya sudah tentulah ianya  mendatangkan keburukan. Jadi kita sebagai pengguna harus bijak dalam menggunakan sebaik mungkin kemajuan teknologi masa kini. Kita mungkin boleh merancang dengan menghadkan jumlah pembelian untuk setiap bulan. Sebagai contoh kita tetapkan rm100 daripada nilai pendapatan yang kita ada untuk nilai penghargaan penat lelah kita bekerja, lalu kita belanjakannya untuk  kehendak yang kita inginkan. Manakala, selebihnya kita gunakan sebaik mungkin untuk perkara-perkara yang kita perlukan. Berbelanjalah dengan berhemah dan terkawal, nescaya kemudahan seperti aplikasi membeli belah dalam talian ini tidaklah seburuk yang kita sangkakan.

 

 

 

Nurulisyazila Othaman

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)