Ali Hamsa tokoh pentadbir perkhidmatan awam

Kredit foto: Samadi Ahmad, Harian Metro

Pada 21 April 2022 bersamaan 19 Ramadan 1443H, Malaysia dikejutkan dengan pemergian Ketua Setiausaha Negara ke-13 iaitu Tan Sri Dr Ali Hamsa. Tokoh ini memulakan kerjaya seawal era Tun Hussein Onn (PM ke 3) serta membina kerjaya di era Dr Mahathir Mohamed (PM ke 4). Beliau mengukuhkan kedudukannya semasa era Tun Abdullah Ahmad Badawi (PM ke 5) dan berada di kemuncak kerjaya ketika era Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak (PM ke 6). Malah sempat di era Kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamed            (PM ke 7) selama 120 hari. Beliau juga KSN yang “menikmati” pengalaman bertukarnya kerajaan pusat serta tempoh ketiadaan seorang Perdana Menteri.

Menyorot kembali zaman kecilnya, Ali Hamsa dilahirkan di Hospital Kluang, Johor pada 29 Ogos 1955 bersamaan 10 Muharram 1374 Hijrah. Merupakan anak kedua daripada lapan orang adik beradik hasil perkahwinan pasangan Hamsa Moiden dan Mariamah Ali. Beliau pada awalnya di besarkan di Estet Washington (kini dikenali sebagai Ladang Simpang Renggam) sebelum berpindah ke Estet Lambak, Kluang. Di sinilah kehidupan awalnya terbina dan terbentuk. Pengalaman hidup serba kekurangan di ladang banyak mengajar erti sebuah kehidupan dalam menerbitkan rasa rendah hati dan kesederhanaan dalam diri.

Pada tahun 1962, Ali memulakan pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Bandar Kluang. Kemudian menyambung pelajaran menengah di Sekolah Tengku Aris Bendahara (Sekolah Inggeris) sehingga ke tingkatan 5 (1968 -1973). Minatnya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris banyak membantunya dalam memperbaiki mata pelajaran yang lain.

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterima telah melayakkan Ali menyambung pelajaran ke Tingkatan 6 di High School Batu Pahat (HSBP) Johor. Ketika inilah Ali terpaksa mencari tempat tinggal sendiri di tingkat atas sebuah kedai makan di Jalan Engan Batu Pahat. Selepas waktu sekolah dan di masa lapang, Ali akan membantu tuan kedai menyediakan minuman dan menyediakan roti canai pelanggan. Beliau juga mendapat sedikit duit kocek tambahan dengan membantu salah seorang penghuni kedai tingkat atasnya menjual kain di pasar-pasar sekitar daerah Muar dan Senggarang.

Ali pernah hampir mengalah dan mahu berhenti sekolah setelah permohonan kerjanya sebagai Hospital Assistant (HA) di Batu Pahat diterima. Cikgu Jabit yang merupakan guru Bahasa Melayu merangkap guru disiplin di HSBP telah berbincang panjang lebar dengan Ali akan baik buruk keputusannya. Atas inisiatif Cikgu Jabit, Ali menerima biasiswa sebanyak RM45 di bawah skim bantuan pelajar miskin yang diperuntukkan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1974. Bantuan yang diterima telah menaikkan semangat beliau untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak lagi menoleh ke belakang untuk terus melakar kejayaan pada masa hadapan.

Ketika di Tingkatan 6 Atas, Ali diberi kepercayaan sebagai pengawas sekolah. Ia memberi pendedahan awal kepada beliau dalam kepimpinan. Beliau juga aktif dalam sukan dan pernah menjadi penyerang bola sepak sekolah. Ali berpenampilan sederhana, pendiam, baik, tidak lokek senyuman serta rajin berjumpa dan bertanya guru. Setelah dua tahun, Ali berjaya memperoleh keputusan cemerlang Higher School Certificate (HSC).

Ali melanjutkan pelajaran ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1976. Beliau memperoleh bantuan kewangan MARA bagi menampung yuran pengajian di tahun pertama dan mendapat Dermasiswa Sultan Ibrahim Johor mulai tahun kedua. Setelah menamatkan pengajian, beliau telah ditawarkan jawatan Pengajar (Tutor) di bawah Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) namun beliau melepaskan jawatan tersebut setelah mendapat tawaran sebagai kadet Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) pada Januari 1980. Ali memulakan perkhidmatan di Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) di tahun 1981. Memiliki sarjana dalam bidang Ekonomi (1986) dan PhD Sains Persekitaran dan Ekonomi (1993) dari Oklahoma State University, Amerika.

Ketika di INTAN, Ali berpeluang menimba pengalaman menulis, menyebar dan menerbitkan buku “Dasar-Dasar Utama Kerajaan” dan “Malaysia Kita”. Buku yang mengandungi dasar-dasar utama terpilih seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Penswastaan, Dasar Persyarikatan Malaysia dan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Dalam Pentadbiran cukup popular ketika itu dikalangan penjawat awam mahupun pelajar universiti. Kemudian Ali bersama dua orang pegawai INTAN telah ke kampus-kampus INTAN dan pusat-pusat latihan perkhidmatan awam di seluruh negara – bergerak bagi menyebarkan kefahaman tentang Dasar-dasar Utama Kerajaan dalam kalangan penjawat awam (1988 hingga 1990).

Sekitar tahun 1997, Ali telah ditempatkan di Bahagian Pengagihan di Unit Perancang Ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri (JPN). Beliau dan rakan-rakannya telah menulis bab Pembangunan Mampan dalam Buku Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke Tujuh. Tugasan ini memerlukan beliau melihat sendiri realiti kemiskinan yang wujud dalam negara terutama di kawasan pedalaman. Beliau kemudiannya menyandang jawatan Pengarah Ekonomi Wilayah dan Pengarah Bahagian Pengagihan diikuti Timbalan Ketua Pengarah Program Transformasi dan Kemajuan Nasional. Seterusnya pada 22 April 2009, dilantik sebagai Ketua Pengarah yang pertama di Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri. Sebuah unit yang diwujudkan untuk mengetuai inisiatif Kerjasama Awam-Swasta (PPP) iaitu projek penswastaan, Inisiatif Kewangan Swasta, pembangunan koridor dan dana pemudah cara.

Akhirnya, Tan Sri Dr. Ali Hamsa telah dilantik sebagai KSN ke-13 pada 24 Jun 2012. Perlantikan ini menggantikan KSN yang terdahulu iaitu Tan Sri Mohd Sidek Hassan. Berdasarkan rekod pengalaman luas dalam sektor-sektor utama negara, beliau telah menjalankan tanggungjawab sebagai KSN dengan sangat luar biasa dan cemerlang.

Kepimpinan serta perjuangan beliau di sepanjang kerjayanya datang dari jiwanya yang sangat mendasar. Ianya diperoleh dari pengalaman kehidupan yang sebenar dari akar umbi rakyat khususnya di peringkat bawahan. Sehubungan dengan itulah maka “Merakyatkan Perkhidmatan Awam” menjadi gagasan besar beliau ketika dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara. Ia merupakan slogan yang menuntut sikap saling memerlukan antara rakyat dan penjawat awam. Pengalaman menjalani hidup serba kekurangan, mendapat sokongan dari insan-insan mulia dan pengalaman perkhidmatan awamnya selama lebih 37 tahun telah memperkukuhkan aspirasi ini. Ali selalu mengingatkan kepada setiap penjawat awam agar bersedia menggembleng segala sumber-sumber yang ada dan merasakan denyut nadi rakyat dalam bertindak memenuhi keperluan. Beliau juga sering mengingatkan bahawa setiap penjawat awam juga adalah rakyat yang menerima perkhidmatan di jabatan-jabatan awam lain.

Beliau sangat menekankan soal profesionalisme pada setiap diri penjawat awam. Profesionalisme menurut beliau ialah apabila kakitangan awam bekerja berdasarkan etika serta peraturan kerja yang telah ditetapkan. Keperluan terhadap profesionalisme hanya dapat dilaksanakan apabila setiap penjawat awam mempunyai disiplin diri yang tinggi, kemahiran yang mencukupi, kepakaran yang bersesuaian dan sahsiah individu yang mulia.

Menurut Ali, memberikan “signal” yang betul adalah penting dalam perkhidmatan awam. Penjawat awam yang cemerlang seharusnya diberikan penghargaan dan mereka yang terlibat dengan salah laku perlu diberikan tindakan setimpal dengan kesalahan. Hanya dengan cara itu, isu integriti dan rasuah dalam kalangan penjawat awam yang sering dimomokkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dapat diatasi. Di era beliau, pelbagai usaha telah dilakukan khususnya melalui Pelan Integriti Nasional (PIN) dalam membentuk penjawat awam yang kukuh ciri-ciri moral dan etika nya.

Ali sangat sinonim dengan gaya kerja “turun padang”. Beliau berpendapat hanya dengan cara tersebut, keperluan rakyat benar-benar boleh diketahui, difahami dan seterusnya diambil tindakan sewajarnya. Lawatan mengejut dan tidak rasmi sering kali dilakukannya. Ia tidak berniat apa-apa kecuali hanya mahu berjumpa para pekerja, beramah mesra dan mengambil sikap mendengar dan ambil tahu tentang apa yang berlaku dalam organisasi. Dalam beberapa keadaan tertentu, Town Hall diadakan untuk mengetahui denyut nadi kakitangan awam.

Ketika di era beliaulah, pejabat KSN memperkenalkan konsep Pejabat Terbuka. Ia berkonsepkan “klinik” perkhidmatan yang mana Ali akan meluangkan sebelah paginya kepada sesiapa yang mahu datang bertemu dan berbincang mengenai apa-apa juga isu berbangkit. Ini merupakan satu pendekatan berani orang nombor satu dalam  penjawat awam dalam menyelesaikan keperluan rakyat. Ali memberikan contoh nyata dalam mendekatkan diri pada masyarakat. Beliau menyampaikan mesej bahawa penjawat awam hanyalah pemegang amanah yang tidak perlu dilihat begitu berbeza. Pejabat Terbuka gaya Ali ini juga sebenarnya menyampaikan mesej bahawa setiap penjawat awam harus bersedia, berilmu, cepat dan cekap dalam memenuhi keperluan rakyat.

Ali agak sensitif dan begitu memahami perasaan seorang pelanggan dan rakyat. Beliau menegaskan agar setiap penjawat awam memberikan layanan terbaik kepada setiap orang awam yang datang sebagaimana yang mereka sendiri mahukan ketika mereka menerima khidmat dari orang lain. Jangan ada situasi “boss-kuli” dalam memberikan perkhidmatan. Ali menegaskan bahawa orang awam harus di layan sesuainya sebagai seorang manusia dalam erti persaudaraan. Untuk itu, penjawat awam perlu menjalankan kerja secara “multi-tasking” dalam memenuhi kepelbagaian tuntutan kerja.

Sepanjang kerjaya beliau sebagai KSN, Ali berbangga dengan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). Kejayaan program-program di bawah NBOS khususnya Pusat Transformasi Bandar (UTC) telah membuktikan pentadbiran awam di Malaysia bertaraf dunia. Pelaksanaan UTC menggambarkan bahawa di kalangan institusi kerajaan mampu bekerjasama, berganding bahu, berkorban dan bekerja dalam 1 pasukan besar.

Pelaksanaan UTC bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat malah memaksimumkan sumber kerajaan sedia ada. Konsep kerjasama dan guna sama ini menggalakkan pembuat-pembuat keputusan dalam perkhidmatan awam berfikir dan mengkaji sumber-sumber persekitaran sedia ada agar tidak membazir dan berlebih-lebihan.

Di era beliau juga, permasalahan keselamatan dalam negara ditangani dengan bijak melalui strategi baru yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan yang di ketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Anggota-anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama-sama membantu PDRM meronda di tempat yang sering berlaku jenayah (hot spot). Beliau telah membuktikan bahawa kerjasama dan bekerja dalam satu kumpulan besar bukanlah sesuatu yang mustahil. Ini adalah di antara usaha-usaha yang menjadi kebanggaan beliau di sepanjang perkhidmatannya.

Bersifat neutral dan serve the government of the day adalah penting bagi penjawat awam. Ini kerana tanggungjawab penuh penjawat awam ialah melaksanakan sesuatu dasar kerajaan. Melaksanakan dasar kerajaan bermakna penjawat awam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan. Ianya perlu dilakukan oleh penjawat awam dengan melakukan pekerjaan masing-masing dengan sepenuh kejujuran dan seikhlas hati.

Secara umumnya kesukaran hidup yang dilalui semasa kecil menjadikan Ali seorang yang memiliki nilai kemanusiaan yang tinggi serta jiwa yang mudah tersentuh terhadap kesusahan orang lain. Hening ciptanya yang tinggi menjadikan beliau seorang yang agak pendiam tetapi mempunyai pemerhatian yang sensitif dalam kehidupan. Ia sekali gus diterjemahkan kepada pelaksanaan yang baik dan berkesan dalam pentadbiran awam. Cabaran hidup yang dilalui banyak membentuk pemikiran dan pendirian beliau terhadap keperluan rakyat dan penjawat awam.

Ali sangat memahami kesusahan yang dialami oleh rakyat. Ini kerana kesusahan tersebut pernah menjadi kesusahannya suatu ketika dahulu. Pengalaman yang dilalui telah memberi inspirasi kepada beliau untuk merakyatkan perkhidmatan awam. Beliau mahukan setiap penjawat awam berjiwa rakyat bagi memastikan perkhidmatan yang diberi menepati kehendak rakyat. Ali juga mahukan penjawat awam meletakkan kedudukan mereka di tempat rakyat supaya mereka dapat merasai kesusahan yang dirasai oleh rakyat semasa berurusan dengan mereka.

Kini sudah selesai pekerjaan dan tanggungjawabnya di dunia ini. Beliau yang juga merupakan Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bertemu Ilahi dalam bulan Ramadan yang mulia – dengan meninggalkan pelbagai legasi dan sistem nilai untuk difikirkan oleh semua penjawat awam di Malaysia.

Al-Fatihah..

 

 

 

Dr. Lutfan Jaes

Pensyarah Kanan

Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe