SAYA PANDAI!….SAYA BOLEH!….SAYA HEBAT!

Itulah antara kata-kata yang perlu dilafazkan pada diri sendiri dalam usaha untuk mencapai kejayaan.  Ramai yang tidak tahu memuji diri sendiri sebenarnya adalah satu bentuk motivasi kepada seseorang. Malah ramai yang lebih memilih untuk mengatakan pada diri sendiri kata-kata yang sebaliknya seperti ini:

SAYA TAK PANDAILAH!….SAYA TAK BOLEHLAH!….SAYA TAK BAGUSLAH!

Tanpa disedari kata-kata ini sebenarnya merupakan satu penghinaan pada diri sendiri.  Selalunya, kita akan merasa sangat marah apabila terdapat sesiapa sahaja di sekeliling kita sama ada yang rapat ataupun tidak melemparkan kata-kata seperti “engkau tulah yang bodoh.”  Kadangkala ada masanya, kita akan terus membalas dengan kata-kata kesat ataupun melakukan perkara yang tidak baik dalam usaha untuk melepaskan geram terhadap orang tersebut.  Ada juga segelintir dari kita yang mungkin akan menangis dan mengurung diri kerana tertekan dengan penghinaan itu.

Walaupun kata-kata itu terdengar hanya seketika, namun kesannya amat mendalam kerana kita percaya kita tidaklah bodoh sebenarnya.  Akan tetapi cuba kita bayangkan kata-kata seperti di atas keluar dari mulut kita sendiri.  Bukankah dengan mengatakan “Dia tu pandai bolehlah, aku ni tak pandai…” sebenarnya membawa pengertian bahawa kita ini serba kekurangan dan tidak pandai seperti dia ataupun secara kasarnya tidak pandai bermakna BODOH!

Apabila kata-kata penghinaan ini datangnya dari kita sendiri, sememangnya kita tidak boleh marah ataupun menyalahkan sesiapa.  Sebenarnya kata-kata penghinaan ini akan mendatangkan kesan yang mendalam terhadap diri kita sendiri dan akhirnya segala kata-kata itu akan membawa kepada kenyataan.  Paling teruk ia akan mendatangkan kesan yang buruk pada diri kita sendiri dan berakhir dengan kegagalan.  Kegagalan bukannya disebabkan sesuatu perkara itu susah atau kerana kita dilahirkan tidak sempurna tetapi disebabkan tanggapan diri kita sendiri.  Tanggapan ini yang akan membuatkan kita malas dan kecundang.  Sekali gus ini membawa ketidakadilan pada diri kita.  Oleh itu, elakkan daripada tanggapan buruk dan negatif terhadap diri sendiri.

Sebenarnya tiada istilah pandai atau bodoh pada diri seseorang.  Kita semua dilahirkan kaya kerana mempunyai potensi dan kebolehan tersendiri. Kebolehan yang kita miliki adalah hak kita sendiri dan orang lain tidak boleh menggunakan kebolehan itu selain daripada kita sendiri, pemiliknya. Namun, andai potensi dan kebolehan ini tidak digunakan sebaiknya, ia akan merugikan diri kita sendiri. Orang yang berjaya ialah orang yang sentiasa menggunakan potensi dan kebolehan yang ada pada dirinya dengan sebaik-baiknya.

Andai ditanya kepada sesiapa sahaja siapa yang mahukan kegagalan? Pasti tiada yang akan menjawab.  Ini adalah kerana kita tidak pernah membuat perancangan untuk gagal.  Jika ada sekalipun, orang ini mungkin sudah tidak waras atau sudah tidak boleh berfikir secara rasional.  Setiap orang akan merancang untuk berjaya walaupun ada kemungkinan tidak dapat mencapainya.  Walaupun sebenarnya kita sedar perancangan itu adalah penting, masih ramai yang gagal merancang.  Sikap acuh tak acuh, suka bertangguh dan tidak menepati masa akan mengarah kepada kegagalan.  Kesimpulannya, kita sendiri yang merancang untuk gagal walaupun pada dasarnya tiada siapa yang merancang untuk gagal.  Kegagalan merancang boleh mengakibatkan tekanan dalam hidup.  Oleh itu, kita harus bijak mengawal masa, jangan sebaliknya.  Ini akan memudahkan kita menyelesaikan pelbagai perkara dalam jangka masa yang ditetapkan.

 

kredit foto: mapleleafmommy.com

Kita sering mengeluh tentang perkara yang sebenarnya dalam kawalan kita. Kadangkala kita kekal dalam sesuatu situasi, walaupun kita tidak menyukainya, hanya kerana keadaan biasa itu sudah terlalu selesa untuk kita, tidak memerlukan pembelajaran dan tidak memerlukan kita untuk keluar dari zon selesa.  Kita sering menjadi tawanan pada rutin kita sendiri, terperangkap dengan tradisi dan dirantai dengan pengulangan. Apabila keadaan berubah, kita akan menjadi buntu dan tidak dapat melakukan apa yang sepatutnya.  Itulah keadaan biasa manusia yang paling malang dan ini menjadi masalah yang amat berat. Suatu hari kita akan mendapati diri kita tertinggal jauh ke belakang, tidak mampu dan tidak dapat bersaing dengan orang lain.

Kuncinya adalah jika kita mahukan sesuatu yang berbeza daripada hidup kita yang sedia ada, kita perlu meletakkan sesuatu yang berbeza ke dalamnya. Jika kita terus melakukan perkara yang sama, kita akan terus mendapat perkara yang sama.  Petikan kata-kata di atas melambangkan betapa perlunya kita melangkah keluar dari zon selesa kita. Kita perlu melakukan sesuatu yang berbeza untuk mendapatkan sesuatu pulangan yang berbeza. Kita perlu melakukan sesuatu yang kita pernah rasakan tidak selesa, ambil cabaran yang baharu dan mula bereksperimen dengan risiko.

Kita semua pasti mahukan sesuatu yang lebih daripada apa yang kita miliki sekarang kerana “hari ini sepatutnya lebih baik daripada hari semalam dan hari esok adalah lebih baik daripada hari ini.” Jika kita hendakkan sesuatu yang lebih baik, sudah tentulah perubahan perlu dibuat pada diri dan keyakinan adalah tonggak utama ke arah tindakan yang positif.  Apabila kita sudah sanggup untuk melakukan sesuatu tanpa paksaan, ia sudah menonjolkan sifat berani, berminat dan ikhlas dari dalam diri kita.

Sebarang tindakan perlulah dilakukan dengan positif kerana akhirnya ia akan mendatangkan hasil yang bermanfaat kepada diri. Gambaran yang positif apabila berhadapan dengan pelbagai situasi serta berani menempuh cabaran adalah rahsia kejayaan.  Dalam menuju puncak kejayaan, keyakinan diri amatlah penting.  Keyakinan diri harus terus menerus ditingkatkan dalam diri kita dengan pelbagai cara dan situasi.  Semangat serta keazaman yang gigih mampu menjadi benteng kepada unsur-unsur negatif.  Pelbagai cabaran sama ada disebabkan kelemahan diri atau yang berkaitan dengan persekitaran harus ditangani dengan bijaksana.

 

kredit foto: BrainyQuote

Semua orang boleh berjaya. Untuk berjaya kita perlu menggunakan atau memperkembangkan potensi yang ada dalam diri kita ke tahap paling tinggi.  Sesungguhnya tiada jalan pintas untuk berjaya dalam hidup.  Kejayaan adalah hasil dari usaha kita sendiri dalam melakukan apa sahaja baik dalam menuntut ilmu, dalam permainan atau dalam pertandingan. Orang yang berjaya bukannya tidak pernah gagal.  Namun, harus terus bangkit kerana kegagalan menjadi satu pendorong kepada sebuah kejayaan.  Kita perlu wujudkan rasa percaya pada diri sendiri.  “Jika orang lain boleh berjaya, mengapa tidak saya”. Kejayaan dan kegagalan adalah lumrah dan realiti kehidupan yang semestinya ditempuh oleh setiap manusia di atas muka bumi ini.  Pengalaman hidup ini yang mematangkan manusia.

Oleh itu, berhentilah membuat zalim pada diri sendiri.  Tanamkanlah dalam diri ini bahawa kita juga boleh berjaya seperti orang lain.  Setiap orang dilahirkan dengan potensi dan kebolehan diri. Kejayaan seseorang ditentukan oleh kemampuannya sendiri menggunakan kebolehan yang ada pada dirinya.  Kejayaan adalah untuk semua bukan hanya dikhususkan untuk golongan tertentu sahaja.

 

 

 

Thuwaibah Mohd Junaid

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)