Majlis Perwakilan Pelajar UTHM sesi 2021/2022 terima watikah pelantikan

Barisan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022.

Oleh Ahmad Khirul Nizam Ali

BATU PAHAT –  Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi, pelajar dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2021/2022 ketika berlangsungnya Mesyuarat Pembentukan Kabinet yang diadakan pada 16 Januari lalu.

Rentetan itu, satu Majlis Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar sesi 2021/2022 dan Penyampaian Sijil Penghargaan Pelajar telah diadakan di Hotel Summit Signature, Batu Pahat pada 12 Februari lalu.

Majlis ini bertujuan untuk menyerahkan watikah Pelantikan kepada Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2021/2022 yang baharu sahaja dipilih semasa pemilihan MPP yang diadakan pada 12 Januari 2022 lalu.

Pada majlis tersebut, mantan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2020/21 dan barisan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2021/2022 juga turut diberikan sijil penghargaan.

Hadir sama, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Sr. Ts. Dr. Hj. Lokman Hakim Ismail dan Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Haszrinaz Husain @ Hashim.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan daripada kumpulan Tarian Irwana Tari gabungan bersama Alumni UTHM dan QustiQ Buskers, gabungan bersama staf Pusat Kebudayaan UTHM.

Ketika proses pemilhan MPP berlangsung, seramai 10,138 pelajar iaitu 63.36 peratus daripada keseluruhan 16,330 pelajar yang layak telah mengundi secara dalam talian.

Manakala 73 calon telah bertanding untuk merebut 34 buah kerusi, yang mana sembilan kerusi adalah bagi kerusi ‘Umum’ dan 25 adalah kerusi ‘Fakulti.’

Kesemua kerusi yang dipertandingkan meliputi kampus induk Parit Raja dan kampus cawangan Pagoh.

Sementara itu, Datuk Wahid dalam ucapannya berharap barisan Majlis Perwakilan Pelajar UTHM sesi 2021/2022 yang baharu ini dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan sebelumnya, sekali gus mampu mengukir kejayaan yang lebih bermakna buat universiti.

“Ini kerana mereka merupakan mata dan telinga pihak pengurusan universiti terutamanya dari segi kebajikan dan kesejahteraan pelajar yang mana mereka perlu bersama-sama terlibat dalam urus tadbir universiti (co-manage),” katanya.

  *Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly berucap ketika majlis berlangsung

*Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi, pelajar dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan dilantik sebagai Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi 2021/2022.

 

Berita ini juga telah diterbitkan dalam :

1. sinarbestari.sinarharian.com, 17 Februari 2022 : https://sinarbestari.sinarharian.com.my/ipt/mpp-uthm-sesi-2021-2022-terima-watikah-pelantikan-teruskan-kesinambungan-kepimpinan-terdahulu/

 

Categories
Hal Ehwal PelajarKeratan Akhbar 2022
Subscribe