PAGOH – Bagi menyokong usaha memperkasakan lagi program keusahawanan pelajar di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mengambil inisiatif mewujudkan ruang niaga “Students’ Barbershop & Students’ Minimart” di Kolej Kediaman Pagoh.

Menurut Yang Dipertua MPP sesi 2020/2021, Muhammad Faris Abdul Hadi merangkap pengarah program, UTHM banyak memainkan peranan dalam menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar melibatkan diri secara praktikal dalam aktiviti keusahawanan, selari dengan hala tujunya iaitu menjadi sebuah universiti teknopreneur bertaraf global menjelang 2030.

Setiap inisiatif yang diambil itu bertujuan untuk melahirkan mahasiswa yang selari dengan hala tuju di bawah Pelan Tindakan Keusahawanan 2021-2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu meningkatkan bilangan usahawan siswazah menubuhkan perniagaan mereka sendiri selepas bergelar graduan.

“Bagi menyokong inisiatif ini, MPP UTHM melalui Program Keusahawanan Mahasiswa: Students’ Barber Shop & Students’ Mini Mart telah membantu menyediakan ruang kepada para pelajar yang berminat menceburi perniagaan.

“Pihak MPP berhasrat ingin memperkasakan keusahawanan pelajar dengan menyediakan ruang perkhidmatan gunting rambut dan ruang niaga kepada pelajar supaya dapat memberi peluang dan pengalaman kepada mereka menguruskan perniagaan.

“Selain meningkatkan kemahiran dalam keusahawanan, aktiviti ini juga adalah sebagai usaha mewujudkan peluang pekerjaan kepada pelajar khususnya yang kurang berkemampuan untuk menjana pendapatan sendiri,” katanya.