Oleh Mohd Hazrin Abd Rahman

BATU PAHAT Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan kejohanan silat MOHE-UTHM International Virtual Silat Tournament 2021 pada 16 hingga 20 November 2021 lalu secara maya.

Kejohanan kali ini menampilkan sedikit kelainan kerana ianya dijalankan secara dalam talian melalui aplikasi Google Meet dan disiarkan secara langsung di Facebook Live Pusat Sukan Tumpuan Silat KPT-UTHM sepanjang kejohanan berlangsung.

Walaupun terpaksa dijalankan secara dalam talian, kejohanan kali ini tetap mendapat sambutan meriah dari seluruh negara.

Kejohanan peringkat antarabangsa ini turut disertai negara lain seperti Indonesia, Jerman, Netherlands dan Thailand. Malaysia juga turut menghantar wakil atlet untuk dipertandingkan di bawah kategori universiti antarabangsa yang mempunyai tiga acara iaitu Acara Solo Kreatif, Acara Tunggal dan Acara Regu.

Bagi kategori universiti tempatan, lebih 10 universiti tempatan menyertai dua acara yang dipertandingkan iaitu Acara Solo Kreatif dan Acara Tunggal.

MOHE-UTHM International Virtual Silat Tournament 2021 juga turut dibantu oleh 13 orang sukarelawan dari UTHM iaitu Muhammad Azrin Shafiq Azhan, Mohamad Afiq Izzuddin Mohd Sulaiman, Nur Amalina Arshad, Amirah Eitqan Ezaiyuddin, Yusra Solehah Suwandi, Ahmad Haikal Mohd Fauzi, Wan Muhd Waiz Zaqwan Wan Zaidi, Nur Ain Rustam, Wan Amsyar Hadie Wan Mahadi, Meor Luqman Nur Haqeem Mohd Asri, Muhammad Syahmi Jerferi, Amirah Rasyidah Azhar dan Ahmad Daniel Mohd Razif.

Mereka diselia oleh Pengarah Sukan Universiti, Azli Pudin dan dibantu oleh Pegawai Belia dan Sukan Kanan, Jasnizam Sami dan Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Mohd Hazrin Abd Rahman.

Kejohanan ini melabuhkan tirainya pada 20 November lalu diakhiri dengan majlis penutupan yang disempurnakan dengan pengumuman pemenang bagi setiap acara kejohanan tersebut.