Mohd Raimi A. Samat

BATU PAHAT – Sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Nor Zelawati Asmuin berjaya meraih pingat perak ketika menyertai Malaysia Technology Expo 2021 (MTE 2021) COVID-19 International Innovation Awards II yang telah berlangsung pada 14 hingga 18 Jun 2021 lalu.

Penyelidik yang juga pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, (UTHM) telah mewakili universiti ini dengan mempamerkan produk mereka yang diberi nama AerospaAcer For Asthma And COVID-19 Patient bagi kategori “Treatment.

AerospaAcer direka untuk memudahkan lebih banyak ubat masuk ke paru-paru bagi pesakit yang mengalami masalah pernafasan. Alat tersebut mempunyai keupayaan yang tinggi dalam memasukkan ubat ke paru-paru berbanding dengan alat komersial lain, mengikut kelajuan magnitud dan memperkemaskan zarah ubat.

Bentuk dinamik model AerospaAcer mengurangkan peredaran semula aliran dan pemendapan sisa di ruang spacer. Alat itu juga membantu memudahkan pesakit asma dan Covid-19 untuk mengoptimumkan pengambilan ubat dari Pressured Metered Dose Inhaler (pMDI).

Ekspo kali kedua yang berlangsung secara maya sejak tahun lalu ini diadakan bagi mengiktiraf dan meraikan hasil inovasi penyelidikan sebagai tindak balas kepada  penularan pandemik Covid-19 yang masih membelenggu dunia ketika ini.

Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Persatuan Pencipta Persekutuan Antarabangsa dan Persatuan Parasitologi dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM).

Lebih 100 penyertaan produk inovasi diterima oleh penganjur termasuk dari Ukraine, India, Iran, Kuwait, Taiwan, Hong Kong, United Kingdom dan Thailand. 85 daripada jumlah tersebut telah disenarai pendek untuk dinilai mengikut 17 kategori merangkumi keseluruhan spektrum iaitu dari pencegahan hingga pengesanan, teknologi dan idea individu hingga kumpulan, konsep perniagaan hingga usaha kemanusiaan.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim turut serta merasmikan majlis pembukaan acara anjuran PROTEMP Exhibition and Conferences Sdn. Bhd. (PROTEMP Group) tersebut yang berlangsung pada 16 Jun 2021 secara dalam talian.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Professor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, merangkap Pengerusi Jawatankuasa MTE 2021:COVID-19 International Awards Committee mengucapkan tahniah kepada semua penerima pingat ketika berucap di majlis pembukaan anugerah inovasi antarabangsa yang berprestij itu.

Beliau yang mewakili Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UTHM dan UiTM, turut berbesar hati kerana dapat bersama memainkan peranan sebagai rakan kongsi dalam memimpin jawatankuasa bebas anugerah, sekali gus memudahkan lagi proses penilaian demi memastikan penyertaan dinilai dengan piawaian yang berkualiti tinggi.

Beliau berharap penganjuran anugerah inovasi seumpama ini dapat merapatkan lagi hubungan antara inovator dengan industri, terutamanya sektor kesihatan awam dan swasta.

*Produk inovasi AerospaAcer untuk pesakit Asthma dan Covid-19