Tarbiyyah Ramadan dalam membina sifat takwa seorang hamba

Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa di sisi Allah SWT. Ketibaan bulan Ramadan sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia dan pemergiannya sering kali ditangisi. Perasan gembira...
kredit foto: daily-sun.com

Bulan Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa di sisi Allah SWT. Ketibaan bulan Ramadan sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam di seluruh dunia dan pemergiannya sering kali ditangisi. Perasan gembira dan sedih ini lahir dari sebuah kefahaman dan penghayatan tentang kemuliaan bulan Ramadan yang menawarkan pelbagai bentuk kelebihan dan ganjaran istimewa yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Ramadan merupakan bulan kesembilan dalam takwim kalendar Islam. Ia adalah satu-satunya bulan yang telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam kitab suci al Quran al Karim menerusi ayat 185 surah al Baqarah yang bermaksud “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil”. Begitu banyak keistimewaan bulan Ramadan menyebabkan ia turut dikenali dengan beberapa nama lain. Antaranya, saiyyidus syuhur (penghulu segala bulan), syahrul syiam (bulan puasa), syahrul Quran (bulan al Qur’an), syahrul rahmah (bulan rahmat), syahrul maghfirah (bulan keampunan) dan syahrul najah (bulan kemenangan dan bebas dari api neraka).

Perbincangan tentang keistimewaan bulan Ramadan menemukan kita dengan satu pesanan penting yang ingin disampaikan oleh Allah SWT kepada seluruh umat Islam di setiap zaman. Menerusi ayat 183 surah al Baqarah, Allah SWT berfirman yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertakwa”.

Berdasarkan kepada maksud firman Allah SWT ini, dapat kita fahami bahawa pesanan yang ingin disampaikan ialah agar umat Islam menjadi insan yang bertakwa melalui mekanisme berpuasa yang diwajibkan ke atas seluruh umat Islam. Menurut Abdullah bin Mas’ud, “takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakanNya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari.” Takwa merupakan tingkatan darjat tertinggi yang mengangkat martabat seorang hamba di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud “…. sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah orang-orang yang bertakwa” (Q.S. Al-Hujurat [49]: 13).

Madrasah Ramadan mengandungi silibus dan manual khusus dalam kerangka membina sifat takwa seorang hamba. Selain perintah untuk berpuasa, bulan Ramadan turut menyaksikan dua peristiwa penting yang berlaku dalam bulan tersebut iaitu Nuzul al Quran dan malam Lailatul Qadar. Al Quran merupakan dustur (perlembagaan) yang menjadi rujukan utama bagi umat Islam. Membaca dan mentadabbur ayat-ayat al Quran, akan menghasilkan sifat takwa dan meningkatkan keyakinan serta keimanan terhadap Allah SWT.

Pembaca al-Quran yang memahami ayat-ayat Allah dikurniakan hati yang bersih,tenang dan hidup bersama al-Quran. Di samping itu,ganjaran yang dijanjikan oleh Allah kepada para pembaca dan pentadabbur al Quran khusus di bulan Ramadan bukanlah sedikit. Malahan ia adalah berlipat kali ganda sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan menyamai 10 gandaan. Tidaklah aku katakan yang ألم itu satu huruf. Bahkan Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf”. Riwayat At Tirmizi

Lailatul Qadar merupakan satu lagi kandungan yang terdapat dalam silibus bulan Ramadan. Allah SWT menceritakannya di dalam surat cintaNya yang terindah kepada umat manusia Menurut Ibnu Qudamah dalam kitabnya Al Mughni, malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Para ulama bersetuju bahawa beramal pada malam al qadr adalah saat yang mana seseorang itu beroleh keuntungan yang besar kerana ianya adalah menyamai dengan beramal selama seribu bulan sebagaimana yang firman Allah SWT dalam surah al Qadr yang bermaksud “Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan”.

Sembahyang sunat tarawih adalah satu lagi amal perbuatan yang sangat dituntut dan hanya dilaksanakan dalam bulan Ramadan. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud “Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu”. Imam an-Nawawi di dalam kitab beliau Syarah Al-Nawawi ‘Ala Muslim, yang dimaksudkan dengan “qiyam” di bulan Ramadan ialah solat tarawih.

Kandungan silibus Ramadan yang berikutnya ini ialah berkaitan mengeluarkan zakat fitrah. Mengeluarkan zakat merupakan rukun Islam yang keempat. Hukum mengeluarkan zakat fitrah adalah wajib dan difardukan ke atas setiap seorang diri umat Islam. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan rukuklah kamu bersama-sama orang yang rukuk”.

Kewajipan yang dilaksanakan di bulan Ramadan ini mempunyai dua matlamat utama. Pertama, bertujuan untuk membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia. Kedua, bagi penerima zakat yang terdiri daripada fakir dan miskin, mereka akan dapat membuat persiapan bagi menyambut hari raya Aidilfitri. Jelas bahawa zakat bukan sahaja menjelmakan rasa persaudaraan dan saling bantu membantu tetapi lebih jauh daripada itu iaitu mendidik diri supaya menjadi hamba yang muttaqin dan mukhlis terhadap rabbnya.

Tidak kurang pentingnya juga melakukan amalan bersedekah, infak dengan memberi makan orang yang berpuasa, iktikaf terutama di sepuluh malam terakhir Ramadan dan lain-lain lagi. Menurut Ibnu Abas Rasulullah SAW adalah teladan terbaik bagi kita kerana Baginda adalah orang yang paling dermawan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan. Selain itu, bersungguh-sungguhlah kita dalam menjauhi perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT seperti pembaziran masa sia-sia dan pembaziran makanan sewaktu berbelanja kerana membazir itu adalah amalan syaitan.

Begitulah hebatnya kasih sayang Allah SWT terhadap hamba yang taat kepada perintahNya. Segala bentuk amal kebaikan yang dilakukan oleh hambaNya itu tidaklah memberi keuntungan kepada Allah SWT melainkan segala bentuk keberuntungan itu kembali kepada hambaNya yang berjaya mengikuti tarbiah yang disediakan oleh madrasah Ramadan.

Oleh kerana itu, marilah kita bersama-sama menguatkan azam untuk sedaya mungkin meraih kelebihan dan kebaikan yang Allah SWT tawarkan di bulan Ramadan ini melalui berbagai-bagai bentuk amal kebaikan yang kita usahakan serta menjauhi segala larangan yang mengundang kemurkaanNya. Semoga Ramadan kali ini dan tahun-tahun yang berikutnya dapat membentuk kita menjadi insan yang muttaqin yang diredhai oleh Allah SWT.

 

 

Dr. Halimi Mohd Khalid

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Islam

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Categories
E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE