Seiring dengan pembangunan inovasi dalam penyelidikan, inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran juga perlu dibangunkan. Perkembangan pesat pembelajaran digital bukan sahaja perlu diadaptasi oleh para siswazah, malah hal ini turut menguji kreativiti para pensyarah dalam mempelbagaikan kaedah penyampaian ilmu supaya lebih berkesan dalam apa jua keadaan.

Para pensyarah dan siswazah di UTHM amat bertuah kerana pihak universiti telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi menyokong kaedah pembelajaran secara jarak jauh dengan memperkasakan sistem pengurusan pembelajaran dalam talian seperti AUTHOR yang lebih sistematik dan mesra pengguna, pelayan internet yang lebih pantas, bantuan dana data internet kepada pelajar dan memberi latihan berterusan kepada staf akademik bagi meningkatkan kemahiran dalam pembelajaran digital terutama pada era pandemik COVID-19 ini.

Lebih daripada 35 peratus keseluruhan struktur kurikulum bagi Program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi dan Pemuliharaan) dengan Kepujian adalah berorientasikan amali seperti kerja lapangan dan makmal. Pandemik COVID-19 sudah tentu memberi impak yang besar terhadap kaedah penyampaian, pentaksiran bagi elemen psikomotor dan seterusnya hasil pembelajaran program ini apabila aktiviti amali tidak dapat dijalankan secara kebiasaan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Oleh yang demikian, tenaga pengajar program telah menghasilkan pelbagai panduan amali gaya baharu bagi membolehkan pelajar meneruskan pembelajaran secara jarak jauh dan pada masa yang sama masih mengekalkan kualiti pembelajaran. Tenaga pengajar bukan sahaja bergantung kepada video demonstrasi yang bersifat komunikasi sehala tetapi melaksanakan amali yang  bersifat lebih interaktif.

Slogan “Biodiversity is around us

Dengan slogan “Biodiversity is around us“, pelbagai panduan amali direka dengan menggunakan bahan dan alatan ‘home-based‘ yang mudah didapati dengan kos yang murah, serta sumber semulajadi yang ada di persekitaran kediaman pelajar dimanfaatkan sepenuhnya.

Contohnya, bagi kursus Etnobiologi BWJ30103, projek bertajuk “Home gardens: a promising approach to enhance household food security and wellbeing” memerlukan pelajar membuat aktiviti persampelan di halaman rumah, membuat herbarium, mengenal pasti spesies tumbuhan, dan menemuramah ahli keluarga berkaitan kegunaan tumbuhan. Hasilnya, para pelajar dapat menghayati bahawa pemuliharaan kepelbagaian hidupan itu tidak terhad di hutan atau kawasan perlindungan sahaja tetapi boleh bermula di rumah.

Penggunaan “Online tools

Pelbagai ‘online tools‘ atau ‘data set’ yang percuma dari laman internet turut dimanfaatkan sepenuhnya khususnya bagi membantu pelajar dalam menganalisis data. Contohnya penggunaan aplikasi Google Earth, 360o Virtual Tour, National Geographic Explorer Classroom, Global Biodiversity Information Facility (GBIF), Malaysian Biodiversity Information System (MyBIS), Global Information Hub On Integrated Medicine (Globinmed) dan ArcGIS Online dalam tugasan atau amali. Hasilnya, pelajar berpeluang meneroka dan menggunakan  teknologi terkini dalam bidang kepelbagaian biologi dan pemuliharaan.

Pentaksiran alternatif

Pentaksiran bagi amali bukan lagi diukur berdasarkan tugasan laporan sahaja tetapi juga berdasarkan penulisan saintifik atau umum di majalah dan jurnal, penghasilan video pendek/dokumentari, e-portfolio dan lain-lain yang bersesuaian.

Contohnya, kursus Ekologi Daratan BWJ20503, pelajar telah menggunakan aplikasi Google Earth dan menghasilkan video lawatan secara maya ke kawasan perlindungan di Malaysia dan dimuat naik di saluran YouTube. Hal ini dapat meningkatkan kemahiran saintifik, digital dan komunikasi pelajar dalam pelbagai medium dengan lebih berkesan.

Enquiry-based learning vs. Experiential learning

Pelbagai kaedah telah digunakan sebagai alternatif kepada amali kerja lapangan yang bersifat pembelajaran berasaskan inkuiri (enquiry-based) kesan daripada pandemik COVID-19. Namun begitu, amali secara langsung yang bersifat ‘hands-on’ bagi pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential) adalah elemen utama yang perlu dititik beratkan. Diharapkan para pelajar dapat kembali mengadakan kerja lapangan di lokasi yang sebenar supaya khazanah alam semulajadi sentiasa terpelihara.

Tahun 2021 ini adalah tahun kedua kita menjalani pengajaran dan pembelajaran dalam suasana pandemik COVID-19. Hikmahnya, sejumlah 10 e-modul pembelajaran amali merangkumi topik ekologi haiwan dan sains herba telah berjaya dihasilkan yang setiap satunya mengandungi panduan kepada pengajar, pelajar dan rubrik pentaksiran. Diharapkan e-modul ini dapat digunapakai bagi pembangunan pembelajaran jarak jauh pada masa akan datang.

 

Contoh virtual tour menggunakan aplikasi Google Earth dan dimuat naik di YouTube

 

 

SITI FATIMAH SABRAN

Pensyarah/Ketua Program

Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM

 

DR. NOR ATIQAH NORAZLIMI

Pensyarah

Jabatan Teknologi dan Sumber Semulajadi

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM