Pandemik COVID-19 yang mula melanda dunia termasuk juga penularannya di Malaysia bermula pada akhir Disember 2019 hingga sekarang akan terus diingati. COVID-19 bukan sahaja mendedahkan kita kepada norma baharu seperti penjarakan sosial, pengasingan, kuarantin dan pematuhan terhadap pelbagai operasi piawai (SOP) tetapi tanpa disedari ianya juga berjaya membangkitkan tekanan terhadap psikologi seperti perasaan atau emosi yang berkaitan dengan kesedihan, kemarahan, ketakutan, kekecewaan, rasa bersalah, putus asa, rasa bersendirian, kerisauan, kerinduan, pengabaian dan kecelaruan.

Akhirnya, berlakulah sesuatu yang dipanggil sebagai tekanan psikologikal (psychological distress) yang mana secara umumnya ianya boleh digambarkan sebagai satu perasaan dan emosi yang tidak menyenangkan. Ianya akan mula mempengaruhi cara pemikiran, tingkahlaku, aktiviti harian dan kefungsian hidup seseorang individu. Tekanan psikologikal boleh mengakibatkan seseorang individu itu mempunyai pandangan negatif terhadap diri sendiri, orang lain atau pun persekitaran mereka. Kemurungan, kegelisahan, kegagalan memberikan tumpuan, kesukaran untuk tidur tidak selera makan, tidak berminat untuk melakukan aktiviti biasa yang sering dilakukan (dikenali sebagai anhedonia) dan dalam keadaan yang paling ekstrem sekali ialah keinginan membunuh diri adalah merupakan antara akibat dari tekanan psikologikal.

Di Malaysia, pelbagai platform telah diwujudkan bagi menyediakan perkhidmatan sokongan emosi, psikologi dan kaunseling sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Peningkatan panggilan kepada kesemua agensi berkaitan menunjukkan bahawa gangguan terhadap emosi dan perasaan bukanlah sesuatu yang asing di waktu pandemik ini berlaku.

Antara perkara yang menimbulkan tekanan terhadap perasaan dan emosi penduduk di Malaysia adalah seperti:

  1. Kehilangan pekerjaan akibat dari penutupan dan pengecilan beberapa sektor seperti perniagaan, pelancongan, perhotelan dan sektor-sektor lain di Malaysia. Sehingga Jun, lebih dari 600 ribu rakyat Malaysia telah hilang pekerjaan akibat dari kesan COVID19. Manakala sebanyak 79 peratus kehilangan pekerjaan berlaku di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Kedah dan Pulau Pinang.
  2. Peningkatan kes keganasan rumah tangga telah dicatat sebanyak 44 hingga 57 % seperti yang telah diadukan kepada Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berikutan mangsa dan pelaku mempunyai lebih banyak masa berada di rumah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
  3. Pesakit COVID-19 pula mengalami kebimbangan terhadap ketidaktentuan penyembuhan, perasaan bersalah kerana mungkin menjadi punca penyakit ini tersebar kepada orang lain dan dikuarantin jauh dari keluarga dalam jangkamasa yang tidak diketahui. Tekanan psikologikal juga boleh berlaku terhadap ahli keluarga terdekat pesakit yang meninggal dunia akibat COVID19 dan juga yang menjadi penjaga mereka.
  4. Pesakit yang mengalami posttraumatic stress disorder (PTSD) akibat peristiwa lampau seperti kehilangan orang tersayang, peperangan, bencana alam yang teruk, kemalangan dan serangan peribadi atau perkara-perkara yang lain mungkin merasakan tempoh PKP memberi lebih banyak masa untuk mereka mengingati perkara-perkara yang lepas.
  5. Pesakit obsessive compulsive disorder (OCD) akan menimbulkan simptom yang lebih ketara waktu ini. Mereka amat mudah untuk merasa ketakutan terhadap jangkitan, mudah menjadi bimbang dan was-was dengan kesempurnaan mereka membersihkan diri, seperti membasuh tangan berulang kali kerana tidak yakin dengan tahap kebersihan basuhan terdahulu. Mereka juga mula memikirkan bahawa kemungkinan merekalah yang menjadi pembawa COVID19 yang boleh menjangkiti orang lain. Kekeliruan antara ketakutan mengatasi COVID19 dan kecelaruan akibat OCD mungkin boleh menimbulkan tekanan yang lebih dalam jiwa mereka.
  6. Petugas-petugas barisan hadapan di hospital dan juga perkhidmatan di tempat-tempat lain yang bertungkus lumus memerangi COVID dan membantu orang awam masih ada yang merasa ketakutan, kerisauan, mengalami insomnia dan ada yang rasa bersalah terhadap keluarga kerana pengabaian seketika mereka terhadap keluarga akibat tugas.
  7. Mereka yang mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa yang tua, uzur, anak-anak yang baru lahir, anak-anak yang kurang upaya yang memerlukan persekitaran yang sangat bersih dan yang tinggal bersama dengan mereka yang berkeperluan khusus, akan sentiasa berasa risau dan curiga tentang tahap kebersihan diri sendiri dan orang sekeliling.

Dalam keadaan para doktor dan penyelidik masih lagi mengkaji sudut-sudut yang kurang difahami mengenai COVID-19, masyarakat mula mencari maklumat sendiri dan menghadam informasi mengenainya dari pelbagai sumber. Terdapat sesetengah individu, akibat didorong oleh perasaan takut dan kebimbangan berlebihan terhadap COVID-19 sehingga akhirnya mereka tenggelam dalam emosi yang terlalu kuat dan mendalam terhadap COVID-19 (situasi overwhelmed). Lebih parah jika ada di antara pembaca memperolehi ilmu dari bahan bacaan tanpa sumber dari internet. Sehingga kadangkala mereka sukar untuk memastikan kesahihan informasi dan membezakan keadaan yang mana informasi yang diperolehinya itu betul-betul diperlukan atau pun cukup sekadar disimpan sebagai pengetahuan tambahan.  Keadaan ini sekali lagi meletakkan mereka sentiasa dalam keadaan takut, tidak yakin, terlampau sensitif dengan persekitaran, terlalu memikirkan orang disekeliling, panik, dan mempunyai perasaan untuk menyalahkan diri sendiri atau orang lain.

Dalam pengajian akademik di universiti, staf dan pelajar tidak terlepas dari menghadapi situasi-situasi seperti ini dan mempunyai keresahan mereka yang tersendiri. Penggunaan teknologi dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran seperti kelas maya, peperiksaan, persidangan, penilaian projek kursus, sarjana muda atau viva bagi pelajar sarjana dan PhD semuanya di atas talian bagi menggantikan mod pembelajaran secara bersemuka. Walaupun tidak bersedia, pelajar khasnya perlu menghadapi semua kekurangan seperti ketiadaan atau ketidakstabilan talian internet, kekurangan dana bagi pembelian talian, kekurangan gajet yang bersesuaian seperti komputer atau telefon pintar atau keadaan di rumah yang tidak kondusif untuk pembelajaran maya.

Bagi pelajar pascasiswazah dalam bidang penyelidikan, selain dari kemungkinan gangguan emosi dan perasaan di atas, mereka juga amat bimbang mengenai kajian yang tidak dapat dijalankan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sedang dalam fasa akhir penyelidikan. Ujian makmal yang terhenti dan pergerakan yang terbatas juga akan menjadi penyumbang terhadap ketidakstabilan emosi. Syukurlah kerajaan telah mempertimbangkan agar pelajar-pelajar ini boleh menyambung penyelidikan mereka di universiti dengan syarat mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Bagi menghindari tekanan psikologikal dan mengelakkan ianya dari terus berpanjangan sehingga cenderung mendapat kecelaruan mental dan pastinya akan mengambil masa yang lama untuk dirawat dan pulih, beberapa langkah harus dilakukan dengan segera. Teruskan amalan menjaga kebersihan diri, ikuti prosedur piawai (SOP) sepanjang masa, beri sokongan terhadap mangsa COVID-19 dan mereka yang terdekat yang dikesan sedang mengalami tekanan emosi dan perasaan, dapatkan informasi-informasi yang sahih dan terkini, teruskan hubungan kekeluargaan dan persahabatan yang baik, amalkan gaya hidup sihat dan hargai orang disekeliling. Bagi mereka yang sering merasa kebimbangan yang melampau, kurangkan menonton, membaca atau mendengar sesuatu berkenaan COVID-19 yang boleh menambahkan lagi kebimbangan dan ketakutan dalam diri.

Jika semuanya sudah dipenuhi maka selebihnya kita serahkan kepada tuhan. Bagi yang muslim, inilah masa untuk kembalikan pergantungan hidup kita kepada Allah melalui konsep tawakkal. Imam al-Ghazali menyebutkan bahawa tawakkal adalah menyandarkan diri kepada Allah tatkala menghadapi suatu kepentingan, bersandar kepada-Nya dalam kesukaran, teguh hati tatkala ditimpa bencana disertai jiwa dan hati yang tenang. Muslim mempunyai konsep untuk berdoa sepanjang masa dan bertawakkal kepada Allah setelah sepenuhnya berusaha kerana Rasulullah SAW juga melakukannya. Rasulullah SAW telah berperang dengan tombaknya dan memakai dua lapis baju besi dalam pelbagai peperangannya. Baginda Nabi SAW juga memakai topi besi pada kepalanya sebagai usaha baginda bagi mempertahankan diri.

Muslim juga wajib mentaati segala perintah pihak berkuasa yang bertujuan membendung wabak berjangkit wa’imah dalam urusan solat berjamaah dan pergi haji sekalipun. Dalam masa yang sama, Islam mengharamkan seseorang memudaratkan diri sendiri dan orang lain. Berdoa terus-terusan, sentiasa ingat bahawa tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Allah agar kita seiisi keluarga dan seterusnya seluruh Malaysia dan dunia terus dilindungi dan dijauhi dari wabak ini. Jika akhirnya kita yang menjadi mangsa serangan COVID-19 ini, yakinlah bahawa ianya ujian dari Allah dan terus kekal positif. Semoga dengan usaha bagi membendung penularan COVID-19 beserta dengan doa dan konsep tawakkal, tekanan psikologikal ini dapat dihindari dari diri seseorang individu.

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Nor Haslina Hashim

Ketua Unit Persekitaran

Pejabat Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan (OSHE) & Fakulti Teknologi Kejuruteraan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Kredit foto : FreeMalaysiaToday.com