Industri pembinaan adalah antara pengerak utama dalam memberikan sumbangan besar terhadap ekonomi negara Malaysia. Menurut portal rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor pembinaan Malaysia mencatatkan nilai kerja pembinaan sebanyak RM37.4 bilion pada suku tahun pertama 2019. Ini menunjukkan industri pembinaan mengalami peningkatkan dan dijangkakan akan terus rancak dari semasa ke semasa melalui pelaksanaan projek swasta dan kerajaan seperti projek-projek infrastruktur dan perumahan. Walaubagaimanapun, terdapat pelbagai masalah yang wujud berkaitan dengan industri pembinaan di Malaysia seperti kekurangan kualiti dan produktiviti, kekurangan tenaga pekerja dan keselamatan pekerja terancam. Selain daripada itu juga, cabaran lambakan pekerja asing, keselamatan dan kesihatan di tapak bina, 3D (dirty, dangerous, difficult) dan bencana (banjir, gempa bumi, wabak penyakit) turut memberi kesan yang negatif kepada pengurusan aktiviti sesuatu projek pembinaan.

Senario terkini, negara Malaysia seperti juga negara-negara lain di seluruh dunia telah terkesan daripada penyebaran wabak Corona Virus Desease – 2019 (COVID-19) semenjak penularannya di Wuhan, China pada Disember 2019. Penularan wabak COVID-19 ini telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi, kewangan dan juga sosial. Industri pembinaan turut terkesan dan memberi impak yang negatif terhadap pengoperasian dan juga aktiviti projek pembinaan di seluruh Malaysia. Aktiviti projek pembinaan terpaksa dihentikan atau ditangguhkan kerana wajib mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia bermula pada 18 Mac 2020 iaitu pada PKP fasa pertama. Namun begitu aktiviti projek pembinaan dibenarkan beroperasi semula secara berperingkat semenjak PKP fasa ketiga tetapi dengan kebenaran bersyarat dan seterusnya dapat beroperasi sepenuhnya pada 4 Mei 2020 bersama-sama dengan sektor ekonomi yang lain dengan syarat perlu mengamalkan dan mematuhi Prosedur Standard Operasi (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Malaysia (MKN). Selain mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KKM dan MKN, penggiat industri pembinaan perlu mematuhi garis panduan sedia ada yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam pengoperasian aktiviti projek pembinaan.

Justeru itu, industri pembinaan perlu mengamalkan “norma baharu” dalam aktiviti pengurusan projek pembinaan yang sama sekali baharu dan perlu dipraktikkan dengan sebaik mungkin bagi membendung penularan wabak COVID-19. Penularan wabak COVID-19 merupakan sesuatu yang perlu diambil perhatian secara serius untuk semua sektor ekonomi termasuklah industri pembinaan. Sebelum penularan wabak COVID-19 melanda seluruh dunia dan tidak terkecuali Malaysia, industri pembinaan tidak lekang daripada meghadapi pelbagai masalah. Sebagai contoh masalah keperluan pekerja asing yang meningkatkan isu pendatang tanpa izin (PATI) memberikan kesan negatif terhadap sosial dan persekitaran. Selain itu juga, industri pembinaan tidak terlepas daripada isu 3D iaitu dirty, dangerous, difficult yang memerlukan perhatian yang khusus bagi memastikan pengurusan sesuatu projek pembinaan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Sebelum ini, pengiat industri pembinaan seperti klien, juru perunding (jurutera, arkitek, jurukur bahan), dan kontraktor perlu mengikuti syarat-syarat pematuhan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dalam melaksanakan aktiviti projek pembinaan di Malaysia. Bagi pencegahan COVID-19, pengiat industri pembinaan turut wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh KKM dan juga MKN bagi mengekang penularan wabak ini.

Amalan-amalan bagi pencegahan COVID-19 yang disarankan oleh KKM adalah merupakan “norma baharu” bagi aktiviti-aktiviti pengurusan projek pembinaan untuk dipraktikkan di tempat kerja sama ada di tapak bina ataupun di pejabat. Amalan seperti menyaring suhu badan bagi memantau kesihatan pekerja, memastikan para pekerja memakai pelitup hidung dan mulut dan penjarakan sosial bagi mengekang penyebaran wabak COVID-19 serta melakukan sanitasi bagi memastikan kebersihan pekerja, tempat kerja, kenderaan, tempat makan dan tempat tinggal pekerja hendaklah dipatuhi oleh setiap penggiat industri pembinaan dalam melaksanakan projek pembinaan. Oleh yang demikian, segala aktiviti projek pembinaan turut berubah daripada kebiasaan bagi memastikan semua pekerja dan juga sesiapa yang terlibat perlu patuh dengan SOP yang ditetapkan. Ini merupakan suatu cabaran yang perlu diatasi oleh semua pihak yang terlibat dalam industri pembinaan bagi memastikan SOP dipatuhi dan target projek boleh dicapai sebaik mungkin.

Antara cabarannya ialah “3S” (sesak, sempit, sembang dekat) bagi memastikan pekerja-pekerja dalam industri “3D” (dirty, dangerous, difficult) tidak menyumbang kepada penularan wabak COVID-19.  Cabaran seperti untuk sentiasa mengelakkan tempat yang sesak perlu dikawal dari semasa ke semasa di tapak bina dan hendaklah dipatuhi. Pekerja-pekerja hendaklah dipastikan tidak berkumpul beramai-ramai semasa melakukan kerja-kerja projek pembinaan. Di samping itu, hendaklah dipastikan tempat makan (kantin) di tapak bina juga tiada kesesakan dan memastikan penjarakan sosial dipatuhi serta bersih. Begitu juga tempat tinggal pekerja (kotai) di tapak bina hendaklah dipastikan tidak sempit dan tiada kesesakan di dalam tempat kediaman. Seterusnya, cabaran bagi sembang dekat semasa melakukan kerja-kerja projek pembinaan hendaklah dikawal sebaik mungkin bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi antara pekerja pembinaan. Disamping itu juga, pekerja-pekerja pembinaan juga hendaklah selalu memakai pelitup hidung dan mulut semasa melakukan kerja serta kerap membasuh tangan dengan sabun atau pun “hand sanitizer” bagi memastikan kebersihan kendiri yang pastinya merupakan cabaran yang amat sukar bagi industri pembinaan yang dilabelkan sebagai 3D ini.

Sesungguhnya tiada cabaran yang tidak dapat dibendung dan diatasi. Justeru itu industri pembinaan hendaklah memanfaatkan peluang-peluang sedia ada dan juga baharu bagi mengiatkan aktiviti pengurusan projek pembinaan agar seimbang dan selari dengan saranan kerajaan Malaysia untuk membendung wabak COVID-19. Industri pembinaan perlu memanafaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi yang berada di pasaran dalam membantu sesuatu pengurusan projek pembinaan. Sebagai contoh teknologi-teknologi sedia ada seperti Industrialised Building System (IBS), Building Information Modeling (BIM), teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 (seperti teknologi robotik, automosi, big data, Internet of Things (IOT), virtual reality (VR), artificial intelligent (AI), augmented reality (AR) dan lain-lain) adalah antara teknologi-teknologi yang boleh diadaptasi dalam aktiviti industri pembinaan di Malaysia. Namun yang penting adalah pengaplikasian optimum terhadap teknologi-teknologi yang ada hendaklah digiatkan dan diaktifkan. Antara peluang-peluang yang boleh diketengahkan dan dipraktikan oleh penggiat industri pembinaan dalam pengurusan projek pembinaan adalah melalui “3S” iaitu “Skil”, “Sistematik” dan “Selesa”.

  • Skil – Peluang bagi memantapkan skil penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan projek pembinaan. Penggiat industri pembinaan hendaklah mengambil peluang dengan meningkatkan skil pekerja-pekerja supaya berkemahiran dalam penggunaan teknologi terkini dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti projek pembinaan.
  • Sistematik – Peluang bagi memantapkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti pengurusan projek pembinaan dengan lebih sistematik melalui penggunaan teknologi terkini. Aktiviti sesuatu projek pembinaan dapat dijalankan secara teratur melalui penggunaan teknologi terkini dan mudah diaplikasikan.
  • Selesa – Peluang bagi memantapkan keselesaan tapak bina semasa melakukan aktiviti-aktiviti projek pembinaan melalui penggunaan teknologi-teknologi terkini bagi menggantikan kaedah dan juga peralatan yang biasa dipraktikkan bagi pengurusan projek pembinaan. Disamping itu juga dapat mengubah stigma industri pembinaan daripada 3D kepada sesuatu yang lebih lestari.

Secara kesimpulannya, pendamik COVID-19 yang sedang menular di Malaysia dan seluruh dunia ini memberikan impak yang besar terhadap proses kerja bagi setiap sektor ekonomi termasuklah industri pembinaan. Secara umumnya, kejayaan sesuatu projek pembinaan dipastikan melalui pengurusan projek yang berkesan dengan pencapaian kos, masa dan kualiti yang ditetapkan dalam kontrak pembinaan. Dengan pematuhan SOP yang dikeluarkan oleh KKM bagi membendung penularan COVID-19, industri pembinaan perlu menyediakan langkah-langkah yang agresif melalui “norma baharu” agar kejayaan sesuatu projek pembinaan dapat dicapai. Industri pembinaan sebenarnya boleh mengaplikasikan teknologi-teknologi sedia ada bagi membantu aktiviti projek pembinaan agar dapat dijalankan dengan lancar dan berkesan.

Justeru itu pihak pengiat industri pembinaan diharapkan agar lebih berinovasi bagi mengatasi cabaran dan membina peluang dalam melakukan kerja-kerja pembinaan. Ianya adalah melalui pengawalan cabaran dengan sebaik mungkin iaitu “3S – Sesak, Sempit dan Sembang Dekat”, dan memanfaatkan peluang ialah “3S – Skil, Sistematik, Selesa” melalui pengaplikasian teknologi terkini dalam aktiviti pengurusan projek pembinaan. Oleh yang demikian, keperluan teknologi-teknologi seperti IBS, BIM, AR, AI, Robotik dan lain-lain adalah berpotensi tinggi diaplikasikan dalam aktiviti pengurusan projek pembinaan bagi mencapai matlamat kelestarian industri pembinaan.

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Narimah Kasim

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)