BATU PAHAT, 9 Mac – Pemberian bantuan kebajikan mahasiswa menerusi program Sabil Al-Hikmah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diteruskan lagi bagi Semester II Sesi 2019/2020 tahun 2020 yang melibatkan seramai 200 pelajar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan B40 di UTHM Kampus Induk Parit Raja dan UTHM Kampus Pagoh.

Pengedaran sumbangan berbentuk makanan tengah hari telah dilaksanakan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) hari ini, yang diketuai oleh Pengarahnya, Puan Hawa Omar. Turut serta dalam tugasan tersebut Pengarah-Pengarah Hal Ehwal Pelajar dan Alumni  (HEPA) dan Ketua Bahagian Kebajikan dan Kesejahteraan Pelajar (BKKP), PHEP dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).  Pengurusan Sabil Al-Hikmah ketika ini dikendalikan oleh MPP dengan bantuan dan pemantauan PHEP.

Untuk rekod, sejak Sabil Al-Hikmah dilancarkan pada Mac 2016 hingga Disember 2019 seramai 1,438 mahasiswa telah menerima sumbangan berupa makanan tengah hari sepanjang semester pengajian dengan nilai terkumpul RM273,477.93.

Dalam memastikan program bantuan ini dapat berjalan dengan lancar, PHEP selaku pengelola program amat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak yang bermurah hati untuk menderma. Sumbangan boleh dibuat menerusi potongan gaji ataupun tunai.