BATU PAHAT – Dua atlet Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) iaitu Putra Syaid Hidayatullah Ramli berjaya meraih Pesilat Terbaik Putra Kategori institut pengajian tinggi (IPT) Tempatan dan Nur Adilah Muhamad Zamri meraih Pesilat Terbaik Putri kategori Antarabangsa ketika menyertai Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka edisi ke-10 yang berlangsung pada 25 hingga 30 November lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Manakala keputusan keseluruhan pula menyaksikan pasukan Pusat Sukan Tumpuan (PST) Malaysia dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Antarabangsa dengan pungutan 11 pingat emas, dua Perak dan dua Gangsa. Juara Keseluruhan IPT Tempatan pula diraih oleh UiTM Elit dari Universiti Teknologi MARA dengan pungutan 12 pingat emas, dua Perak dan dua Gangsa.

Kejohanan silat anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama UTHM selaku Pusat Tumpuan Silat IPT ini mendapat penyertaan sebanyak 70 pasukan iaitu 10 pasukan kategori IPT Antarabangsa, 27 pasukan kategori IPT Tempatan dan 37 pasukan lagi bagi Kategori Silat Seni Asli Terbuka, dengan pembabitan enam negara dari Thailand, Singapura, Indonesia, Belanda, Yaman dan Malaysia.

Majlis penyampaian hadiah dan penutup yang berlangsung pada hari terakhir kejohanan telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik. Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pendidikan, Mohamad Azhan Md Amir dan Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly.

Dr. Maszlee dalam ucapannya berkata bermula tahun hadapan seni silat akan diperluaskan di sekolah dalam aktiviti kokurikulum secara berperingkat dengan sasaran sekurang-kurangnya 5000 kelab silat diwujudkan di sekolah.

Katanya lagi bagi mengangkat martabat seni silat, KPM akan mencadangkan supaya silat dapat dijadikan sebagai subjek pilihan di universiti dengan sistem kredit yang boleh dipindahkan.

“Kementerian juga akan mencadangkan supaya silat dijadikan salah satu kursus dalam Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan boleh diberikan sijil TVET.

“Sijil ini boleh menjadi salah satu daripada keperluan untuk menceburi kerjaya dalam bidang keselamatan seperti pegawai keselamatan, pengawal peribadi dan anggota pertahanan,” tambahnya.