BANTING – Pasukan MEDSAT dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya meraih naib johan dalam Malaysia Siswasat Competition 2019 sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM5000 dan trofi. Malaysia Siswasat Competition 2019 merupakan pertandingan ajuran Agensi Angkasa Negara (MySA).

Penganjuran program reka bentuk dan pembangunan model nano satelit atau Siswasat 2019 peringkat siswazah diadakan sebagai platform memberikan graduan gambaran sebenar pembangunan dan operasi satelit.

Dalam pertandingan ini peserta dikehendaki mereka bentuk, membina dan menguji satelit bersaiz kecil yang melaksanakan tugas-tugas asas, serupa dengan satelit tiruan.

Menurut penasihat pasukan MEDSAT, Dr. Faiz Asraf Saparudin pertandingan ini melibatkan menulis cadangan misi, menghasilkan dokumentasi reka bentuk, persembahan dan melancarkan dan melepaskan SiswaSat dari ketinggian yang tertentu dengan menggunakan dron.

“Pertandingan inovasi ini memerlukan peserta menyediakan reka bentuk satelit bersaiz nano (cansat) di dalam beberapa fasa pertandingan dan pada peringkat akhir, cansat tersebut dilancarkan dari altitud setinggi 200m,” katanya.

Dalam fasa mereka bentuk, peserta diberikan masa selama tujuh bulan iaitu dari bulan Februari hingga September 2019 untuk menyelesaikan beberapa fasa reka bentuk  antaranya analisis misi, reka bentuk awal, reka bentuk kritikal dan ujian.

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah telah diadakan pada 17 September 2019 bertempat di Pusat Angkasa Negara. Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC), Dr. Mohd Nor Azman Hassan dan Ketua Pengarah MySA, Tuan Haji Azlikamil Napiah. Turut hadir tetamu-tetamu industri dari SAPURA, DEFTECH dan Malvus Sense Sdn. Bhd. selaku penaja utama pertandingan ini.

Pertandingan ini bermula dengan 17 penyertaan dari pelbagai institut pengajian tinggi (IPT) dan hanya sembilan pasukan bertanding di peringkat akhir. Keputusan pertandingan menyaksikan pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) meraih johan diikuti dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meraih tempat ketiga.