BATU PAHAT – Seramai lima Staf Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah memperolehi Sijil Kompetensi Kimpalan daripada Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pasir Gudang pada 17 September lalu.

Kelima-lima staf tersebut telah mengikuti Kursus Jangka Pendek di ILP selama hampir tiga minggu sejak Julai lalu dalam bidang kursus Pembangunan Kemahiran Kimpalan Shielded Metal Arc Welding (SMAW) kompetensi Certification Scheme for Welding and Inspection Personnel (CSWIP) Kedudukan 6G serta Kemahiran Kimpalan Lanjutan bagi Proses Gas Tungsten Arc Weding (GTAW), Gas Metal Art Wlding (GMAW), Flux Core Arc Welding (FCAW), Dan Non-Destructive Test (NDT) Inspection.

Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Vokasional, Ts Dr. Nizamuddin Razali, kursus tersebut diambil adalah untuk memberi latihan kepada staf di FPTV sekali gus meningkatkan tahap kemahiran dan kompetensi tenaga pengajar dan seterusnya dapat memastikan kelancaran dan kualiti perlaksanaan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang sedang berjalan di FPTV.

“Staf yang menjalani kursus bukan sahaja menjalani latihan bagi pelbagai proses kimpalan malah mereka juga turut menjalani ujian pra-pentauliahan yang dijalankan mengikut kod sewajarnya dan seterusnya menduduki ujian Welding Qualification Test (WQT) bagi Kedudukan 6G yang sebenar,”

Certification Scheme for Welding and Inspection Personnel (CSWIP) merupakan satu skim persijilan kompentensi bagi pekerja kimpalan di peringkat antarabangsa yang berpusat di United Kingdom dan pengiktirafan ini bertaraf piawaian antarabangsa yang diiktiraf oleh industri kimpalan di seluruh dunia” katanya.

Sementara itu, majlis penyerahan sijil telah berlangsung di Bilik Diskusi ILP Pasir Gudang. Pengarah ILP Pasir Gudang, Haji Sarman Rawan turut merakamkan perasaan gembiranya terhadap staf-staf FPTV yang berjaya menamatkan kursus pembangunan kemahiran tersebut.

Hadir sama dalam majlis itu, Timbalan Dekan (Akademik & Antarabangsa) FPTV, Ts. Dr. Mohd Hasril Amiruddin dan pihak TWI-ABM Training & Certification Sdn. Bhd. serta Fiscal Digest Sdn. Bhd.