PAGOH – Beberapa pelajar dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Fakultas Biologi, Universitas Gadjah Mada (UGM) telah terpilih mengikuti Program Pertukaran Pelajar 2018-2019 yang telah dan sedang dilaksanakan selama satu semester.

Program pertukaran pelajar ini merupakan salah satu aktiviti yang dirancang selepas kedua-dua universiti ini  menandatangani Memorandum of Agreement (MoA) pada September 2017 lalu bertempat di Yogyakarta, Indonesia semasa berlangsungnya program  International Conference on Biological Sciences (ICBS) 2017.

pertukaran pelajar 1lima pelajar program Sarjana Muda Sains (Kepelbagaian Biologi & Pemuliharaan) iaitu Hanis Azman, Mohd Amril Ramzi Mohd Rahim, Nur Raihan Maheran, Nurin Husnina Mohd Faid dan Nurul Afiqah Mohd Azman telah terpilih untuk ke kampus UGM setelah melalui saringan yang agak ketat yang diselaraskan oleh Pensyarah FAST, Dr. Furzani Pa’ee.

Terdahulu, tiga pelajar dari Fakultas Biologi, UGM juga dipilih mengikuti program ini selama satu semester di UTHM yang dijalankan pada September 2018 lalu. Jumlah bilangan kredit yang ditetapkan dalam program ini ialah sebanyak 17 kredit (outbound) dan 21 kredit (inbound).

Melalui program ini, lima pelajar UTHM terbabit berpeluang bergaul dengan pelajar UGM di sana sambil mempelajari bahasa, budaya dan adat resam negara tersebut. Bagi merealisasikan impian kolaborasi sulung ini, pelbagai cabaran dan pengalaman menarik berjaya dilalui oleh penganjur dan pelajar terlibat sekali gus menjadikan mereka lebih berdikari dan lebih daya tahan.

Untuk rekod, selain program mobiliti pelbagai aktiviti juga telah berjaya dilaksanakan oleh UTHM dan UGM. Antaranya pada Februari 2018 lalu, kedua-dua universiti ini telah bekerjasama menganjurkan 2nd Joint Seminar on Biodiversity & Conservation (JSBC) bertempat di kampus UGM. Penganjur seminar ini telah menjemput Profesor Datin Dr. Maryati Mohamed sebagai keynote speaker manakala Profesor Madya Dr. Alona Cuevas Linatoc pula dijemput sebagai invited speaker.

Selain seminar, pihak pengurusan FAST, UTHM dan Fakultas Biologi, UGM juga telah bersepakat merancang pelaksanaan beberapa aktiviti kerjasama yang lain antaranya penganjuran persidangan berkaitan biodiversiti.

Pihak universiti berharap usaha Jabatan Teknologi & Sumber Semulajadi, FAST bersama Pejabat Antarabangsa, Pejabat Pengurusan Akademik, Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pejabat Perumahan dan Pengangkutan Pelajar dan Kolej Kediaman Pagoh ini dapat memberi banyak manfaat di samping mampu mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua universiti ini.