Kecemerlangan penyelidik muda diukur dari segi kemampuan penyelidik tersebut memberi sumbangan yang besar kepada bidang keilmuan, kemampanan masyarakat dan kemajuan negara sedang baru mendapatkan ijazah Doktor Falsafah dalam tempoh kurang daripada lima tahun. Golongan ini dilihat sebagai pemangkin atau pelaksana yang memandu perancangan strategik sesebuah universiti.

Di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), komposisi tenaga penyelidik muda adalah seramai 307 orang iaitu mewakili 52.7% daripada kekuatan keseluruhan kepakaran UTHM. Tetapi kekuatan yang sama inilah yang telah menyumbang kepada lebih daripada 166.96% terimaan dana kebangsaan, industri dan antarabangsa di samping menghasilkan 52.3% penerbitan jurnal berindeks Scopus bagi tahun 2018, iaitu lebih separuh daripada hasil keseluruhan penerbitan UTHM pada tahun semasa.

Namun demikian, membudayakan penyelidikan tidak semudah menyuap geran ke mulut penyelidik muda. Kekuatan penyelidikan seseorang penyelidik muda tidak saja tergantung kepada keberjayaan mereka mendapatkan geran tetapi bagaimana mereka menguruskan geran dengan cekap dan berintegriti. Namun demikian, etika dan integriti adalah ciri dalaman seseorang yang tidak boleh dibentuk malah diukur keutuhannya dalam sehari dua.

Dalam penyelidikan, penyelidik berkewajipan untuk memahami tanggungjawab terhadap peranan dan perilaku masing-masing di dalam ekosistem penyelidikan. Oleh itu, konsep nilai adalah sangat penting untuk diterapkan seawal perkhidmatan mereka di universiti supaya dapat membina satu sistem kepercayaan yang bakal mendorong mereka bertindak mengikut pemilihan yang berasaskan nilai-nilai utama penyelidikan seperti ilmu, kebijaksanaan, dan amanah.

Berteraskan nilai-nilai tersebut, penyelidik-penyelidik muda perlu dididik dengan keberanian menyahut cabaran kerajaan menjayakan agenda negara, membangunkan modal insan, serta memperkasakan inovasi. Adalah penting bagi Malaysia untuk mengukuhkan kapasiti sains, teknologi dan inovasi dalam usaha mempromosikan pembangunan ekosistem inovasi nasional dan serantau. Ekonomi berpacukan inovasi dan teknologi yang disokong kukuh oleh jaringan industri mampu memberi impak kepada kesejahteraan rakyat dan masyarakat.

Pemikiran golongan muda ini seharusnya dibentuk ke arah agenda yang lebih besar serta memberi manfaat yang lebih menyeluruh kepada agama, bangsa dan negara. Pemikiran mereka dan hasil kajian mereka mestilah diketengahkan di media massa aliran perdana seperti akhbar, majalah selain daripada jurnal-jurnal ilmiah yang berimpak tinggi.

Dalam dunia Malaysia baru yang mana dana penyelidikan dilihat semakin menyusut, penyelidik muda perlu mendapat pendedahan dan asuhan bagaimana mencari titik persamaan di antara universiti dan industri bagi memberi peluang penyelidikan itu bercambah dalam masa yang singkat. Kebergantungan dana kerajaan seharusnya berkurang seiring dengan kekuatan universiti menarik pelaburan industri melalui kekuatan inovasi dan kompetensi di samping kepakaran penyelidik muda masing-masing.

Dengan peralihan sumber dana penyelidikan, maka pola pemikiran penyelidik juga harus beralih kepada rangka minda yang lebih progresif dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan industri. Bahkan, universiti mestilah memainkan peranan yang besar dalam menyediakan satu sistem sokongan kepada golongan ini agar mereka tidak berputus asa, jauh sekali gagal dalam kolaborasi industri.

Beberapa tahun akan datang, apabila universiti mula beroperasi di dunia maya dan pendidikan dianggap sebagai satu komoditi, universiti teknikal seperti UTHM mesti mengenal pasti kompetensi teras yang membezakan universiti teknikal daripada universiti penyelidikan. Di sinilah letaknya titik tumpu bagi pengurusan universiti mengharmonikan penyelidikan, meningkatkan kolaborasi merentas disiplin dan memastikan kelestarian universiti melalui rangka strategi pembudayaan penyelidikan di kalangan penyelidik muda.

Namun demikian, umum di mana-mana universiti, pengurusan sering dipersalahkan kerana meletakkan sasaran kerja yang terlalu tinggi di samping memberikan amanah jawatan pentadbiran sebaik sahaja golongan penyelidik muda ini menamatkan pengajian di peringkat Phd. Hal ini akan memberi tekanan kepada mereka untuk mengimbangi tugas-tugas pentadbiran tetapi dalam masa yang sama ingin membangunkan profil penyelidikan sendiri dengan memohon geran, menyelia pelajar-pelajar siswazah dan pasca-siswazah serta keluar menjalankan kolaborasi bersama industri.

Pada akhirnya, bakat-bakat ini akan kehilangan arah dan tidak mampu menghasilkan penerbitan berimpak tinggi serta diketengahkan menjadi pakar rujuk negara. Selain daripada mengejar H-indeks melalui self-citation, penerbitan jurnal berwasit juga sering dijadikan batu loncatan untuk tujuan mendapatkan insentif penerbitan yang boleh mencecah ribuan ringgit.

Usaha membina kualiti penyelidikan generasi muda khususnya seharusnya ditempa dengan cara mempelajari pola pemikiran saintis di negara maju, bukannya dipandu oleh agenda luar seperti pengiktirafan dan penarafan semata-mata. Bakat-bakat ini seharusnya diberi keutamaan membangunkan penyelidikan sendiri dan dipastikan berada dalam ekosistem penyelidikan yang mantap lengkap dengan infrastruktur dan modal insan.

Untuk menjadi universiti bertaraf dunia, sesebuah universiti hendaklah melabur masa dan infrastruktur demi membangunkan kepakaran dalaman untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi. Pendek kata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sekiranya salah percaturan, penyelidik muda kita kelak menjadi enau dalam belukar, hanya sekadar melepaskan pucuk masing-masing.

 

Artikel ditulis oleh:

Prof. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim,Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan Prof. Madya Dr. Aida Mustapha, Timbalan Pengarah (Pengurusan Geran Penyelidikan), Pusat Pengurusan Penyelidikan,UTHM.