Kumpulan Rytma Melody-Peace Buskers, Unit Kebudayaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjuarai Pertandingan Akustik Karnival Perumahan dan Harta Tanah Negeri Johor 2018 yang diadakan pada 25 November lalu bertempat di Plaza Angsana, Johor Baru.

Kumpulan Rytma Melody-Peace Buskers yang terdiri daripada Junlloyd Egano, Asmawi Md Yunos, Mohd Ikhwan, Syafiq Mohd Razali, Ferderick Maldini Anak Disen, Muhammad Taqiuddin Abdul Rahman dan Zharif Waqiyuddin Zulkifli ini dibimbing oleh Artis Budaya Muzik, Mohd Nazri Mohd Nawi dari Unit Kebudayaan UTHM.

Mereka telah membawa lagu “Berita Dari Rantau” dan “Magis Negaraku” ciptaan lirik oleh Rosdi Abdullah juga dari Unit Kebudayaan manakala melodinya oleh Mohd Nazri.

Menurut Rosdi, lagu bertajuk “Magis Negaraku” yang menceritakan tentang negara Malaysia yang aman harmoni dengan kepelbagaian bangsa mampu hidup bersatu padu telah membawa tuah apabila berjaya menarik perhatian juri.

“Sebelum ini kumpulan busking ini juga telah memenangi Naib Juara di pertandingan Music Festival & Busking Challenge Charity MAKUM, Lagu Terbaik 2018 serta anugerah Naib Juara dan Persembahan Terbaik bagi Pertandingan Buskers Jcorp 2018,” tambahnya lagi.