Lima orang pelajar semester satu tahun pertama Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya merangkul tiga anugerah dalam Research and Innovation Festival 2017 yang dianjurkan oleh Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan, dan Perundingan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 22 dan 23 November lalu.

Tiga anugerah yang telah dimenangi oleh mereka bagi produk ‘Ampaian Automatik’ adalah Gold Award, Creative Award, dan Green Award.

Pelajar terbabit adalah Mohd Fadhli Muhaimin Ahmad Fisal, Yoga Arina Misdiyanto, Mohamad Nursiddeq Jamburi, Abdul Muiz Alias dan Nor Asiah Ab Hamid dan diselia oleh Puan Anizam binti Mohamed Yusof.

Menurut Puan Anizam, idea untuk membangunkan ampaian automatik ini adalah berdasarkan isu yang dihadapi oleh pelajarnya yang menghuni di Kolej Kediaman Bestari. Kedudukan kolej kediaman yang jauh dari kampus induk dan jadual kuliah yang padat menyebabkan pelajar tidak dapat mengurus atau mengalihkan pakaian mereka sekiranya hujan turun.

“Bahan ampaian yang diperbuat daripada besi yang mudah berkarat boleh merosakkan pakaian dan dawai yang tidak tahan cuaca serta melendut menyukarkan proses penyidaian pakaian yang sempurna.”

“Atas sebab inilah ampaian automatik telah dicipta oleh mereka menggunakan bahan stainless steel yang tidak berkarat, sistem pengesan air dan dikawal oleh sistem Arduino Mega 2560,” katanya.

Pencapaian seumpama ini dapat memberi impak yang besar dalam menyuntik motivasi khususnya kepada pelajar FPTV untuk bersaing menghasilkan kajian atau produk yang lebih kreatif dan inovatif.

fptv