BATU PAHAT: Seramai 14 orang mahasiswa bersama empat orang pengiring akan menyertai program mobiliti berkredit UTHM-TUFS anjuran Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula dari 21 hingga 27 Julai 2017.

Objektif utama program adalah untuk memperkenal dan menyebar luaskan nilai-nilai budaya Melayu melangkaui sempadan. Membawa tema “Jerayawara Melayu UTHM-TUFS-CHOFU”, aktiviti utama yang disusun adalah demo dan kelas debat Bahasa Melayu bersama pelajar-pelajar yang mengambil kursus Bahasa Melayu Malaysia di Jabatan Pengajian Bahasa Melayu, Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), manual menulis khat jawi dan tutorial bermain kompang bersama-sama kanak-kanak Sekolah Rendah di Daerah Chofu.

Selain itu, program ini juga bertujuan melatih mahasiswa meneroka dan menggilap nilai kemahiran insaniah diri mereka melalui pembelajaran secara pengalaman (experiental learning). Undangan dari Majlis Daerah Chofu untuk membuat persembahan bermain kompang semasa Majlis Perasmian Pra Olimpik Jepun 2020 dilihat sebagai satu pengiktirafan besar kepada mahasiswa untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman semasa membuat persembahan di hadapan lebih dari 10 000 penonton. Mahasiswa juga mendapat pengalaman baharu apabila berpeluang menikmati pertunjukan bunga api terbesar dalam majlis perasmian tersebut.

Profesor Dr. Azme Khamis, Menjalankan Tugas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dalam ucapan amanatnya berpesan agar mahasiswa yang terlibat menggunakan peluang ini untuk meningkatkan lagi kemahiran dan ketrampilan diri.

Sementara itu Timbalan Dekan (Kokurikulum), Dr. Mohd Khir Mohd Nor yang mewakili Profesor Dr. Rosman Md. Yusoff, Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum berkata, peluang membuat pertunjukan kompang di satu majlis besar bertaraf dunia bukan satu peluang yang mudah diperolehi oleh semua orang. Justeru, mahasiswa yang terpilih seharusnya bersyukur dan cuba memberikan persembahan yang terbaik. Majlis Amanat Program Mobiliti Antarabangsa Jerayawara UTHM-TUFS ini turut dihadiri oleh pihak pengurusan tertinggi Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum sebagai tanda sokongan kepada delegasi mobiliti.

Delegasi yang diketuai oleh Dr. Khairunesa Isa, Ketua Jabatan Kepimpinan, Khidmat Komuniti, Pengucapan Awam dan Kemahiran berharap agar semua aktiviti yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik. Sebagai duta UTHM, mahasiswa diingatkan agar sentiasa menjaga nama baik universiti dan membantu mempromosikan UTHM di mata dunia melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.