Di atas dasar keprihatinan terhadap isu jenayah yang semakin membimbangkan, Persatuan Silat Seni Gayung Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Kursus Asas Bela Diri (ABADI) 2015 pada 21 November lalu bertempat di Dewan Persidangan, Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ORICC), UTHM.
Kursus Asas Bela Diri ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang awam mengenai teknik asas bela diri yang mudah, ringkas dan mantap untuk diaplikasikan. Seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UTHM, pelajar Universiti Teknologi Malaysia dan masyarakat setempat telah menyertai kursus selama satu hari ini. Menariknya kursus ABADI ini turut menerima penyertaan daripada peserta termuda yang berumur empat tahun.
Kursus ini telah dibimbing oleh Jurulatih yang amat berpengalaman dalam bidang bela diri iaitu Mejar (Rela) Mohd Noor Abd Samad. Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mohd Noor merupakan Gurulatih Tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia yang juga Pemegang Amanah Negeri Johor di dalam Pertubuhan Silat Seni Gayung Malaysia. Beliau berpengalaman mengajar silat gayung lebih dari 40 tahun  iaitu sejak tahun 1973 lagi.
Kursus ini memberi impak kepada peserta dalam memberi keyakinan apabila berhadapan dengan situasi cemas sekiranya diserang penjenayah. Intipati modul yang dibawa oleh jurulatih di dalam kursus ini adalah teknik yang sangat berkesan dan mudah untuk diaplikasi bila diperlukan.
ABADI 2015 mendedahkan kepada setiap ahli peserta mengenai kepentingan mempelajari seni mempertahankan diri. Program ini dapat meningkatkan daya fokus, disiplin, ketahanan mental dan fizikal setiap peserta. ~ Technically Above The Rest

Source: Persatuan Silat Seni Gayung UTHM anjur Kursus Asas Bela Diri