Kursus Hoki Seksyen 1 dengan kerjasama Pusat Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Klinik Hoki berkonsepkan “Sehari Bersama Bintang” pada 5 Jun lalu bertempat di Padang Hoki, UTHM.
UTHM menjemput pemain hoki negara, Mohd Fitri Saari sebagai fasilitator jemputan untuk mengendalikan program klinik hoki ini. Selaku pemain muda kebangsaan dan juga merupakan penuntut ijazah sarjana dalam jurusan Pengajian Sukan Universiti Malaya, Fitri Saari dijadikan ikon terutamanya bagi golongan atlet muda.
Klinik hoki yang berlangsung selama satu hari ini dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 70 peserta terdiri pelajar sekolah rendah dan menengah sekitar Batu Pahat.
Antara pengisian yang diterapkan dalam program ini adalah asas senaman ,peraturan dan undang -undang terbaru serta kemahiran asas sukan hoki. Program seperti ini memberi impak yang sangat tinggi khususnya kepada peminat sukan hoki di negeri Johor.
Penganjuran program ini juga telah mendapat sokongan dan kerjasama yang sangat baik dari Pusat Kokurikulum UTHM sekaligus memberi kepercayaan kepada kursus Hoki Seksyen 1 dalam menjayakan program seperti ini.

Source: Klinik Hoki “Sehari Bersama Bintang” jemput Fitri Saari kongsi pengalaman