Penyertaan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mendapat pengiktirafan dunia apabila kesemua penyertaannya telah meraih tiga anugerah Grand Final Double Gold Award iaitu Double Gold Award dan Gold Medal dalam pertandingan The British Invention Show (BIS) yang telah berlangsung di Barbican Exhibition Center, Barbican, London pada 22 hingga 25 Oktober lalu.

Tiga Anugerah Grand Final Double Gold Award tersebut dimenangi melalui tiga hasil penyelidikan  iaitu Antibac Membrane oleh Profesor Madya Dr. Zawati Harun (AMMC/FKMP), A Novel Squeegee Coater and Liquid Crystal Substrate For Producing 3D Cell Culture oleh Dr. Soon Chin Fhong (MiNT-SRC/FKEE) dan Biosorbent For Heavy Metal Removal oleh Profesor Madya Dr. Norzila Othman (FKAAS).

BIS merupakan penganjuran pameran peringkat antarabangsa yang mempamerkan 130 produk daripada pelbagai negara  seperti United Kingdom, Turkey, Bahrain, Taiwan, Italy, Romania dan juga Malaysia. Selain UTHM, program tersebut turut mendapat penyertaan daripada universiti dan agensi daripada Malaysia adalah seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Produk Malaysia yang telah dipertandingkan adalah berjumlah 51 unit mengikut pengkelasan kluster seperti Innovation-industrial, Invention-industrial dan Natural Earth.Penyertaan dalam BIS pada kali ini merupakan kali ke-empat bagi UTHM yang mana kejayaan yang diraih merupakan bukti penerimaan industri antarabangsa terhadap penyelidikan universiti yang berteraskan industri.

Pejabat Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan, Pengurusan Perundingan (ORICC) dan seluruh warga UTHM ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada semua pemenang anugerah dalam pameran BIS’14 pada kali ini. Pihak ORICC juga merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyumbangkan idea dan tenaga dalam usaha memilih dan menyediakan produk yang telah membawa kejayaan yang membanggakan kepada pihak universiti khususnya, dan negara umumnya.