Pasukan Futsal Pelajar Lelaki dan Wanita, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah muncul Juara dalam Sirkit berasingan di Kejohanan Futsal IPT Piala Menteri Pendidikan 2014 yang berlangsung sekitar September dan Oktober lalu .
Pasukan Wanita di bawah bimbingan Encik Osman Abdul Rahman membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500.00 di Sirkit Tengah dengan menewaskan pasukan pilihan UiTM 2-1 di perlawanan akhir dalam pertandingan yang berlangsung pada 18 hingga 21 September lalu. Lebih membanggakan apabila pemain UTHM Nurul Hamira Yusma pula telah dipilih sebagai Pemain Wanita Terbaik Sirkit Tengah.
Manakala Pasukan Lelaki di bawah bimbingan Encik Mohd Asrul Nizam yang muncul Juara di Sirkit Sarawak membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000.00 dalam pertandingan yang berlangsung pada 7 hingga 13 Oktober lalu. Status pasukan bukan pilihan tidak menghalang untuk membuat kejutan dengan menewaskan UiTM 3-2 di Separuh Akhir dan KPTM Bangi di Akhir dengan jaringan 4-3 di masa tambahan.
Sementara itu, pemain UTHM Mohd Nazmi Norrizal pula dinobat sebagai Pemain Lelaki Terbaik Sirkit Sarawak. Kejayaan ini sekaligus melayakkan kedua-dua Pasukan Lelaki dan Wanita UTHM untuk beraksi di Grand Final Kejohanan Futsal IPT Piala Menteri Pendidikan 2014 yang akan berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kuantan. Kejohanan yang menghimpunkan semua IPTA, IPTS, Politeknik dan Kolej Komuniti ini merupakan platform terbaik pemilihan pemain untuk pasukan kebangsaan sekaligus mampu melahirkan ‘The Thinking Athlete’ dalam arena sukan.

Source: Pasukan Futsal Lelaki dan Wanita raih kejayaan di Kejohanan Futsal Piala Menteri Pendidikan