Projek Youth Environment Symbiosis (YES) di bawah kendalian belia Kolej Kediaman Perwira, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah berjaya meraih Anugerah Projek Paling Popular dalam “Your Action Project Competition” (YAPC) pada 8 Ogos lalu yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,500.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia bersempena Festival Makanan dan Kebudayaan ASEAN 2014 serta Rumah Terbuka Aidil Fitri Majlis Belia Malaysia bertempat di Taman Pudu Ulu Cheras, Kuala Lumpur.
Menyedari peranan universiti yang seharusnya berupaya menjadi pemangkin kepada kecemerlangan komuniti yang lestari, Projek YES yang diketuai oleh Muhammad Shafiq Nizar dengan bimbingan Pengetua, Dr. Afandi Ahmad merupakan kesinambungan kejayaan kajian rintis yang telah dilaksanakan dalam kursus Kreativiti dan Inovasi (BEE31202) bersama kumpulan 29 orang pelajar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (FKEE).
Dengan membawa jenama The Royal Creek – YES, konsep yang dicadangkan merupakan idea inovatif ke arah membentuk perubahan positif dalam komuniti tempatan. Dengan konsep “trash to cash”, idea ini mengembangkan sumber asas kain rentang terpakai sebagai faktor pengganda dalam pembangunan sosial, ekonomi dan alam sekitar. Lebih menarik lagi, dengan kekuatan penggeraknya yang juga merupakan para belia, impian menjadikan komuniti Parit Raja sebagai komuniti lestari contoh bukan lagi halangan.
YAPC merupakan pertandingan yang dianjurkan oleh Majlis Belia Malaysia dan terbuka kepada seluruh belia di Malaysia. Projek YES telah berjaya melepasi beberapa halangan dan disenarai pendek untuk sesi penilaian dan temubual pada 10 Jun 2014.
Kejayaan ini diharapkan menjadi motivasi kepada seluruh belia KK Perwira khususnya dan warga UTHM amnya dalam usaha meningkatkan lagi kemahiran insaniah (KI) dalam diri mahasiswa serta membawa jenama cemerlang UTHM ke peringkat yang lebih tinggi.
yes