Seramai 204 pelajar baharu program Pasca Siswazah mendaftar diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bagi kemasukan Semester II, Sesi 2013/2014.Daripada jumlah tersebut, seramai 176 orang terdiri daripada pelajar tempatan manakala 28 lagi merupakan pelajar antarabangsa. Jumlah ini dijangka akan bertambah dari masa ke semasa sepanjang sebulan proses pendaftaran berlangsung.Pendaftaran yang bermula sejak 26 Januari ini melibatkan tiga mod pengajian iaitu secara Penyelidikan, Kerja Kursus dan Mod Campuran. UTHM telah menawarkan lebih 600 tempat untuk sesi kemasukan kali ini dan melibatkan 28 program pengajian peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah yang ditawarkan oleh Sembilan fakulti. Kesemua program ini bukan sahaja diiktiraf oleh kerajaan malahan menepati piawaian pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPM) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Sebelum memulakan pengajian, kesemua pelajar baharu tersebut diwajibkan menyertai taklimat berkaitan kursus yang membabitkan program-program yang ditawarkan oleh fakulti sepanjang tempoh pengajian di UTHM.

Pihak universiti merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu kelancaran urusan pendaftaran sekaligus membantu mencapai misi universiti untuk melahirkan sarjana bertaraf dunia melalui program siswazah yang berkualiti berteraskan sains dan teknologi.