Dua gandingan Mohd. Azizan bin Ismail dan Abdullah bin Mat Nawi serta gandingan Norhafizan bin Nezere dan Nur Jannah binti Muhamad mengungguli acara TK2 – Lelaki 200 meter serta TK2 – Campuran 200 meter apabila berjaya memenangi pingat emas bagi Pasukan Kayak UTHM di Kejohanan Kanu Kebangsaan Melaka 2013 yang berlangsung pada 31 Oktober hingga 03 November 2013 bertempat di Taman Rekreasi Air, Ayer Keroh, Melaka. Mohd. Azizan bin Ismail juga turut mengungguli acara perseorangan bagi acara TK1 – Lelaki 200 meter dan berjaya memenangi pingat emas.
Pingat perak juga dimenangi oleh atlit kayak perseorangan UTHM Mohamad Syahid bin Mohammad Saad bagi acara TK1 – Lelaki 200 meter dan Nur Jannah binti Muhamad bagi acara TK1 – Wanita 200 meter pada kejohanan tersebut. Gandingan Muhammad Faiz bin Rahim dan Muhammad Syafiq bin Shahron serta gandingan Nurfarhanim binti Harun dan Siti Afifah binti Abdul Rahman turut mengungguli pingat perak bagi acara TK2 – Lelaki serta TK2 – Wanita 200 meter.
Pasukan Kayak UTHM Paddlers juga berjaya memenangi 1 pingat gangsa dalam acara TK1 – Lelaki 200 meter melalui atlit perseorangan Muhammad Syafiq bin Shahron.
Kejohanan Kanu Kebangsaan Melaka 2013 merupakan program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dengan kerjasama Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) dan disertai oleh 7 buah pasukan IPT tempatan dan 8 pasukan negeri. Kejohanan ini adalah salah satu persiapan untuk Kejohanan SUKMA 2014 dan Kejohanan Sukan Air MASUM 2014 serta kejohanan – kejohanan utama yang lain.
Pegawai pengiring Pasukan Kayak UTHM, Encik Mohd Safiee bin Idris menyatakan bahawa UTHM telah menghantar 16 orang atlit yang terdiri daripada 10 orang lelaki dan 6 wanita ke kejohanan ini. Mereka telah menyertai tujuh acara yang dipertandingkan di kejohanan ini.
Pencapaian tiga pingat emas, empat pingat perak dan satu pingat gangsa ini telah melepasi sasaran dua pingat emas. Pasukan Kayak UTHM juga bertuah kerana berjaya memenangi Piala Juara Keseluruhan bagi pasukan IPT dengan mengumpul 74 mata keseluruhannya.
Kemenangan ini juga merupakan pencetus semangat Pasukan Kayak UTHM terutamanya atlit-atlit pelapis yang baru dalam memburu kejuaraan pada Karnival Sukan Air MASUM 2014 akan datang.
Tarikh: 11 November 2013
Dikeluarkan oleh:
Shafry Salim
Pegawai Perhubungan Awam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
86400 Parit Raja, Batu Pahat Johor
Tel.: 07-453 7025