Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menganjurkan Perarakan Town and Gown yang akan disertai oleh puluhan kontinjen yang terdiri daripada mahasiswa dan kakitangan UTHM termasuk beberapa agensi luar pada 28 September 2013 ini bertempat di sekitar bandar Batu Pahat, Johor.
Perarakan yang akan diadakan jam 8.30 malam ini bermula dari jalan Rahmat menuju ke Dataran Penggaram bertujuan untuk memberitahu seluruh penduduk di daerah Batu Pahat akan penganjuran Majlis Konvokesyen ke-13 UTHM yang akan berlangsung pada 5 hingga 7 Oktober ini, selain merupakan simbolik hubungan erat di antara warga UTHM dengan penduduk di daerah ini.
Perarakan Town and Gown yang juga dikenali sebagai ’Communiversity Celebration’ seperti ini merupakan satu amalan turun temurun beberapa universiti ternama di luar negara seperti Universiti Princeton, Universiti Charles Stuart, Universiti St. Andrews dan Universiti Michigan Ann Arbor. Di semenanjung Malaysia, UTHM merupakan institut pengajian tinggi pertama yang mengadakan perarakan seperti ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dijangka akan menyempurnakan upacara perasmian Perarakan Town and Gown pada kali ini. Selain perarakan, pelbagai acara diadakan bagi memeriahkan suasana seperti persembahan kebudayaan, pertunjukan bunga api dan nyanyian daripada artis jemputan Ainan Tasneem. Manakala tetamu kehormat pula diarak menuju pentas lintas hormat di Jalan Rahmat dan ke Dataran Penggaram menaiki kereta Antik.
Sebelum itu beberapa aktiviti sampingan turut diadakan seawal jam 8.00 pagi lagi pada hari yang sama seperti acara Senamrobik, Klinik Bola Sepak, Pameran Kereta Antik dan Vespa, Konvoi Berbasikal dari kampus UTHM ke Dataran Penggaram serta Konvoi Kereta Antik dan Vespa dari Terminal Bas Ayer Hitam menuju ke Dataran Penggaram
Kemuncak perarakan pula menyaksikan upacara pembacaan pengisytiharan Konvokesyen UTHM oleh Pendaftar UTHM sebelum Skrol Konvokesyen diserahkan kepada Pegawai Daerah Batu Pahat, Tuan Haji Ab. Wahab Ridwan.
Perarakan Town and Gown ini merupakan kali ke lima dianjurkan oleh UTHM setelah mendapat sambutan yang sangat baik pada tahun-tahun yang terdahulu. Perarakan sempena konvokesyen ini juga dijadikan produk pelancongan unik daerah ini dan dimasukkan dalam kalender aktiviti pelancongan bagi daerah Batu Pahat. Keunikan acara ini bukan sahaja berjaya boleh menarik minat masyarakat menyaksikannya malah ia sebenarnya membantu mempromosikan pelancongan di daerah ini.
Untuk maklumat lanjut, hubungi
SHAFRY SALIM
PEGAWAI PERHUBUNGAN AWAM
UNIVERSITI TUN HUSSEIN ONN MALAYSIA
07-4537025 , 019-7571007