30 Ogos 2013– Satu majlis khas menandatangani memorandum persefahaman antara Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) dan Institute of Space Technology (IST), Islamabad, Pakistan telah dianjurkan dengan gemilangnya , bertempat di Dewan Jamuan Perpustakaan, Aras 5, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, UTHM. Majlis yang bermula dengan kunjungan hormat delegasi IST yang diketuai oleh Naib Canselor IST, Brig. Jen. Prof. Engr. Imran Rahman ke Pejabat Naib Canselor UTHM, Y Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin telah berlangsung seawal jam 8.30 pagi. Perbincangan antara kedua-dua Naib Canselor telah dilanjutkan dengan majlis menandatangani memorandum persefahaman yang turut disertai oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Hashim Saim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Wahid Razzaly, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ir. Dr. Amir Hashim Mohd Kassim dan Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Prof. Ir. Dr. Zainal Abidin Ahmad serta pegawai-pegawai kanan universiti.
Menurut kenyataan Naib Canselor IST, Brig. Jen Prof. Engr. Imran Rahman, kolaborasi penyelidikan antara UTHM dan IST bermula pada awal tahun 2008 apabila Dr. Muhammad Yusof Ismail daripada Pusat Wayarles dan Sains Radio, UTHM memperolehi dana penyelidikan Fundamental Skim Geran Penyelidikan (FRGS) bertajuk “Dynamic Phase Control of Reflectarray Antenna Based on Non-Linear Materials” di mana Prof. Dr. Muhammad Amin adalah penyelidik bersama projek. Selain kejayaan kumpulan penyelidik ini dalam penerbitan sejumlah 16 artikel berindeks Scopus dan ISI dan buku bertajuk “Reflectarray Antennas for Strategic Defense Systems”, projek ini juga telah menempa kejayaan menerusi pengiktirafan menggondol pingat emas dan anugerah khas di 2011 British Invention Show dan 2012 Seoul International Inovation Fair (SIIF 2012).  Kumpulan penyelidik ini juga turut menerima penghormatan yang mana Dr. Muhammad Yusof Ismail telah dijemput untuk membentangkan hasil kajian di 2011 International Symposium on Antennas & Propagation di Washington, Amerika Syarikat. Berdasarkan pencapaian projek ini, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah menganugerahkan “Projek FRGS Terbaik” bagi tahun 2012 kepada Dr Muhammad Yusof Ismail sebagai Ketua Projek.
Dalam ucapan berasingan, Naib Canselor UTHM, Y Bhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin mengalu-alukan lawatan delegasi IST ke UTHM dan yakin dengan kerjasama penyelidikan yang dijalankan antara Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS), UTHM dan IST, Islamabad dapat terus dipertingkatkan pada masa akan datang.
Delegasi IST turut mengadakan lawatan ke Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS) di mana perbincangan bersama kumpulan Felo Penyelidik WARAS berhubung potensi kajian penyelidikan antara kedua-dua institusi dalam pelbagai bidang penyelidikan.
Lawatan delegasi IST berakhir di Pejabat Pengurusan Penyelidikan, Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ORICC) di mana Dekan Pusat Inovasi, Pengkomersilan dan Perundingan (ICC), Prof. Hj. Ayob Johari memberi penerangan berhubung pengurusan ORICC di UTHM dan perbincangan kerjasama yang dapat dijalankan antara IST dan UTHM.
999610_568344143226239_2099008687_n
Disediakan oleh :
Hairul Nizam Tukimin
Pusat Wayarles dan Sains Radio (WARAS)