Batu Pahat – Kekurangan diri yang dialami oleh Siti Aishah Zaid, 22 tidak menghalangnya menamatkan pengajian dengan cemerlang walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda disebabkan kemalangan yang menimpanya di akhir pengajian.
Menyingkap kembali detik hitam dalam hidupnya, Aisyah telah mengalami kecederaan parah ketika kemalangan sehingga kedua-dua kakinya disahkan lumpuh kekal.
Aisyah yang menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh telah memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif 3.14.
Aisyah berkata sepanjang menjalani kehidupan sebagai pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), pihak UTHM sentiasa membantu memudahkan urusan sehariannya termasuk pemberian kerusi roda dan kemudahan bilik untuk pelajar OKU.
Tambahnya lagi, dia pernah terfikir untuk tidak menyambung pengajian kerana kekurangan fizikal yang dialami namun hasrat tersebut dihalang sepenuhnya oleh kedua ibu bapa.
“Saya pernah mahu berhenti belajar namun keluarga, sahabat dan pensyarah yang baik dan penyayang yang tidak putus-putus memberikan saya semangat untuk menyambung semula pengajian sehingga saya layak untuk bergraduat,” katanya.