Bayangkan situasi ini, anda sedang melayari aplikasi beli-belah kegemaran. Tiba-tiba, muncul sepasang kasut sukan edisi terhad atau telefon pintar model terbaharu yang sudah lama diidamkan. Harganya? RM1,200. Dompet pula sedang ‘diet’ kerana gaji lambat lagi.
Tiba-tiba, di skrin muncul butang ajaib: “Bayar RM300 hari ini, bawa balik barang!”
Inilah magis Buy Now, Pay Later (BNPL) atau “Beli Sekarang, Bayar Kemudian.” Di Malaysia, fenomena ini bukan lagi sekadar trend, tetapi sudah menjadi gaya hidup, khususnya bagi Generasi Z (Gen Z). Namun, adakah kemudahan ini satu rahmat atau sebenarnya jerat kewangan yang dipasang kemas dengan reben yang cantik?
Revolusi kredit di era digital
Secara teknikal, BNPL adalah satu bentuk kemudahan kredit jangka pendek. Jika dahulu kita perlu melalui proses birokrasi bank yang rumit untuk mendapatkan kad kredit—perlu slip gaji, penyata KWSP, dan menunggu kelulusan, BNPL memecahkan tembok itu. Hanya dengan kad pengenalan dan pengesahan wajah, sesiapa sahaja boleh “berhutang” dalam masa kurang lima minit.
Apa yang menjadikannya sangat “seksi” di mata anak muda? Jawapannya mudah: Tiada faedah (jika bayar tepat pada waktunya). Ia memberikan ilusi bahawa kita mampu memiliki barang mewah tanpa rasa bersalah. Bagi Gen Z yang membesar dengan teknologi di tangan, BNPL adalah penyelesaian segera kepada keinginan yang tidak boleh ditangguh.
Angka yang berbicara: Realiti di Malaysia
Jangan terkejut jika melihat data penggunaan BNPL di negara kita. Menurut angka terbaharu, pengguna berumur 30 tahun ke bawah menyumbang kira-kira 40% daripada keseluruhan transaksi BNPL di Malaysia. Ini bukan jumlah yang kecil. Ia menunjukkan bahawa hampir separuh daripada “hutang moden” ini dipikul oleh bahu golongan muda yang baru sahaja mahu memulakan langkah dalam alam kerjaya.
Pada tahun 2025, statistik menunjukkan lonjakan yang luar biasa dengan 243 juta transaksi direkodkan, bernilai mencecah RM21.3 bilion. Malah, setakat separuh pertama tahun yang sama, nilai transaksi sudah pun mencecah RM9.3 bilion. Dengan 7.5 juta pengguna berdaftar, BNPL kini sudah setaraf dengan penggunaan kad debit atau kredit dalam rutin harian.
Persoalannya, apa yang mereka beli? Jika dahulu hutang ansuran dikaitkan dengan barang besar seperti peti sejuk atau televisyen, kini BNPL digunakan untuk membeli nasi lemak, membayar tambang e-hailing, malah untuk kos perkhidmatan harian. Ini adalah isyarat jelas bahawa BNPL bukan lagi sekadar instrumen membeli-belah, tetapi alat bertahan hidup (survival tool) bagi mereka yang terhimpit dengan kos sara hidup.
Kenapa Gen Z begitu terjebak?
Ada beberapa faktor utama mengapa golongan yang lahir antara 1997 hingga 2012 ini sangat mesra dengan BNPL:
- Tekanan gaya hidup : Perasaan Fear Of Missing Out (FOMO) atau takut ketinggalan membuatkan mereka berasa perlu mengikut trend terkini di media sosial. BNPL memberikan “jalan pintas” untuk kelihatan kaya sebelum masanya.
- Kenaikan kos sara hidup: Dengan gaji permulaan yang statik sementara harga barang melambung, BNPL digunakan untuk membahagikan beban kewangan bulanan.
- Ketidaklayakan kad kredit: Ramai Gen Z bekerja dalam ekonomi gig atau kontrak, menyebabkan mereka sukar mendapat kelulusan bank. BNPL hadir sebagai “hero” yang tidak banyak kerenah.
Antara kemudahan dan musibah
Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Kewangan sentiasa memantau rapat perkara ini. Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, dalam satu kenyataan mengakui bahawa walaupun jumlah hutang BNPL masih terkawal—iaitu sekitar 0.2% daripada keseluruhan hutang isi rumah negara, pertumbuhannya dalam kalangan belia amat membimbangkan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga menegaskan bahawa jumlah pinjaman BNPL setakat pertengahan 2025 adalah sekitar RM3.8 bilion. Angka ini mungkin nampak kecil berbanding hutang perumahan, tetapi impaknya kepada individu boleh menjadi besar jika gagal diuruskan.
Atas sebab itu, kerajaan telah memperkenalkan Akta Kredit Pengguna 2025. Langkah ini bertujuan untuk memastikan penyedia perkhidmatan BNPL tidak “membuli” pengguna dengan caj tersembunyi dan memastikan mereka lebih telus dalam operasi.
Perangkap yang tidak kelihatan
Satu fakta yang mengejutkan ialah lebih 70% pengguna BNPL datang daripada golongan berpendapatan rendah (B40). Di sinilah letaknya risiko paling besar. BNPL mempunyai sisi gelap yang jarang dibincangkan:
- Belanja melebihi kemampuan: Apabila bayaran dipecahkan kepada RM50 sebulan selama empat bulan, otak kita sering “tertipu” dan menganggap barang itu murah. Kesannya? Kita membeli lima barang serentak kerana semuanya nampak murah.
- Hutang Bertindan: Tanpa disedari, komitmen bulanan BNPL boleh melebihi separuh daripada gaji jika kita menggunakan pelbagai platform serentak (seperti GrabPay, Shopee SPayLater, atau Atome).
- Denda Lewat Yang “Mencekik”: Walaupun dipromosikan sebagai “tanpa faedah”, sekali anda terlepas tarikh akhir, caj lewat yang dikenakan boleh mencecah 15% hingga 30% setahun. Ini lebih tinggi daripada kadar faedah kad kredit biasa!
Pesanan untuk Gen Z: Bijak atau terjerat?
Adakah kita perlu memboikot BNPL? Tidak semestinya. Teknologi ini adalah alat kewangan yang sangat berguna jika digunakan dengan otak, bukan dengan emosi. Ia membantu aliran tunai ketika kecemasan dan memudahkan pembelian penting tanpa perlu mengusik simpanan tetap.
Namun, sebelum anda menekan butang “Pay Later,” ajukan tiga soalan ini kepada diri sendiri:
- Adakah ini keperluan atau sekadar kehendak? Jika ia hanya untuk healing atau menunjuk-nunjuk, batalkan niat itu.
- Adakah saya ada bajet untuk bayar ansuran bulan depan? Jangan guna BNPL jika anda pun tidak tahu dari mana datangnya duit untuk bayar ansuran tersebut kelak.
- Adakah saya mampu beli secara tunai sekarang? Jika jawapannya tidak, maka anda sebenarnya tidak mampu memiliki barang tersebut.
Kesimpulannya, fenomena BNPL adalah cerminan perubahan zaman. Ia menawarkan kebebasan kewangan, tetapi kebebasan tanpa disiplin adalah permulaan kepada kehancuran. Bagi Gen Z, cabaran utama bukanlah teknologi itu sendiri, tetapi keupayaan untuk mengawal nafsu di hujung jari.
Ingatlah, hutang tetap hutang walaupun ia dibayar secara ansuran RM10 seminggu. Jangan sampai kerana mahu kelihatan bergaya hari ini, masa depan anda gelap dikelilingi surat tuntutan hutang.
Tanya diri sendiri: “Aku betul-betul mampu beli, atau sekadar mampu tangguh bayar?” Satu klik mungkin nampak kecil, tetapi ia mampu mengubah status kewangan anda daripada “bebas” kepada “terbebas dari simpanan”. Bijaklah berbelanja!

Dr. Adnin Afifi binti Nawi
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Diploma
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Harian Metro (muka surat: 14), 23 April 2026: Perangkap halus Gen Z

2. MyMetro (hmetro.com.my), 23 April 2026: Perangkap halus Gen Z
https://www.hmetro.com.my/rencana/2026/04/1349354/perangkap-halus-gen-z
