Musim haji kembali lagi buat tetamu Allah yang telah menanti bertahun-tahun untuk menunaikan rukun Islam yang kelima.  Bagi yang telah berpeluang menjadi Dhuyufurrahman ia menggamit kerinduan untuk bersimpuh di depan Kaabah.  Kebanyakan bakal jemaah haji telah bersedia dari segi hukum ibadah tetapi mungkin terkejut dengan “ujian emosi” apabila tiba di sana.

Kejutan di Tanah Suci

 Menjalani ibadah haji bukan hanya dilihat dari aspek spiritual tetapi juga cabaran kepada ketahanan fizikal dan mental. Situasi baharu ini akan mencetuskan suatu kejutan kepada para jemaah. Perubahan cuaca yang drastik, jarak hotel ke Masjidil Haram yang jauh dan pola tidur yang berubah merupakan cabaran kepada fizikal jemaah. Fizikal yang letih kadang kala boleh mengganggu fokus dalam ibadah.  Dalam melalui perubahan cuaca ini, belajarlah untuk beradaptasi dengan cuaca di Mekah, banyakkan minum air sebaiknya air zam-zam, minum sebelum terasa haus bagi mengelakkan dehidrasi dan sentiasa menggunakan penyembur air untuk menyegarkan muka.  Dari segi tenaga pula simpan tenaga untuk ibadah haji yang sebenar.  Ukur baju di badan sendiri dan jangan samakan keupayaan diri sendiri dengan orang lain dalam melakukan ibadah sunat.  Pakai kasut atau selipar yang selesa dan guna krim pelembap untuk mengelakkan kekeringan dan melecet.  Susun pola tidur mengikut perubahan waktu di Tanah Suci.  Pastikan ada waktu untuk berehat untuk mengecas semula tenaga yang telah digunakan.  Menjaga kesihatan fizikal adalah kunci kepada kestabilan emosi di Tanah Suci.

Kesejahteraan mental diuji apabila jemaah berusaha mengadaptasi cuaca, berdepan dengan kepadatan manusia yang mempunyai pelbagai ragam budaya dan penyesuaian dengan jemaah sebilik.   Jemaah mula dicabar dengan musuh yang tidak kelihatan iaitu keletihan melampau.  Apabila fizikal terganggu, emosi akan menjadi sangat rapuh.  Mengurus emosi adalah sangat penting bagi setiap jemaah haji.  Setkan minda elemen reda bahawa mengerjakan ibadah haji bukan “makan angin” tetapi ibadah yang akan menguji setiap manusia.  Dalam kepadatan manusia jika ditolak, dihimpit, tersesat jalan atau wujud perasaan bimbang, cuba untuk menarik nafas dalam-dalam sehingga rasa tenang dan beristighfar. Jangan biarkan kemarahan menguasai diri.  Jemaah akan berdepan dengan pelbagai ragam manusia dari seluruh dunia.  Jangan habiskan masa untuk menilai atau mengkritik mereka sebaliknya fokus kepada diri sendiri dan matlamat asal jemaah datang ke Tanah Suci.  Berjauhan dengan ahli keluarga akan menerbitkan rasa rindu.  Manfaatkan teknologi yang ada untuk bertanya khabar dan melepaskan rindu.

Ego dan ibadah

Mengurus ego adalah kemahiran utama dalam menentukan kualiti ibadah haji.  Di Malaysia kita mungkin seorang Ketua Jabatan, ketua keluarga, mempunyai pengaruh atau individu yang dihormati.  Tetapi di Mekah kita hanya manusia kerdil yang berada di celah-celah lautan manusia yang memakai pakaian yang sama, berdiri di saf yang sama dengan mengadap Kaabah yang sama.  Anggaplah kita adalah sebahagian daripada keluarga besar semasa berada di Tanah Suci.  Mesejnya jika kita tidak mahu bertolak ansur dalam isu giliran bilik air, beratur untuk mengambil makanan atau penggunaan ruang solat dan ruang tidur ia akan menyebabkan emosi akan cepat meledak. Perbalahan dengan rakan sebilik atau jemaah lain hanya akan membuang tenaga dan masa serta mengurangkan pahala.  Cara mengurus emosi adalah dengan mengamalkan sikap mendahulukan orang lain yang lebih berkeperluan dan berkongsi ruang dengan orang lain supaya semua pihak rasa kekurangan yang sama.

Komunikasi

Semasa berada di Tanah Suci komunikasi adalah kemahiran yang paling penting dan menjadi ujian kesabaran bagi semua jemaah. Cabaran komunikasi yang melibatkan rakan sebilik, perbezaan loghat dan pasangan memerlukan pendekatan yang lebih diplomasi.  Memahami isu ini lebih awal dapat membantu jemaah kekal tenang dan fokus kepada ibadah haji. Rakan sebilik datang dari latar belakang dan tabiat yang berbeza.  Isu yang mungkin timbul tentang ketidakpuasan hati tentang kebersihan, gangguan bunyi melalui perbualan telefon, isu lampu dan penghawa dingin yang tidak diselesaikan secara bersemuka dan harmoni.  Jemaah boleh berbincang secara santai tentang “peraturan” bilik seperti waktu menutup lampu dan giliran bilik air serta giliran mencuci pakaian. Menegurlah secara berhikmah dengan memberitahu secara lembut jika ada yang mengganggu ketidakselesaan jemaah.  Guna ayat dan bahasa yang tidak mengguris hati rakan sebilik dan bertolak ansur bagi isu yang kecil untuk memelihara ketenteraman penghuni bilik.

Di Tanah Suci jemaah datang dari pelbagai negeri dengan loghat yang berbeza.  Salah faham maksud atau nada suara kadang kala boleh disalah anggap sebagai kasar.  Jika jemaah rasa tersinggung atau tidak jelas dengan maksud bertanyalah semula dengan tenang dan elak daripada membuat spekulasi.  Sebaiknya gunalah bahasa yang mudah difahami oleh semua jemaah bagi mengurangkan isu ketidakfahaman.  Sentiasa berlapang dada dengan menganggap bahasa dan nada yang digunakan sebagai keunikan dan kepelbagaian budaya.

Komunikasi dengan pasangan adalah ujian paling besar.  Ada pasangan yang diuji dengan pertengkaran berkait dengan isu yang remeh, pasangan yang romantik di tanah air tetapi kerap bertengkar di Tanah Suci, suami yang sihat fizikal berjalan laju, isteri yang kurang upaya dan saling menyalahkan satu sama lain.  Ambil peluang bersama-sama di Tanah Suci untuk “berbulan madu” sambil mengerjakan ibadah haji dan lakukan perkara yang tidak pernah dilakukan di tanah air seperti berpimpin tangan.  Selalu berbincang lebih awal dengan pasangan apa yang akan dilakukan dan tetapkan masa dan tempat untuk berjumpa.  Amalkan seni mendengar iaitu apabila pasangan merungut kepenatan, jangan diherdik tetapi dengar dengan empati.  Elakkan situasi berdebat jika nampak pasangan mula rasa ingin marah.  Sentiasa ada sifat ingin membantu dan ingat mengingati walaupun di saat keletihan.

Tip tenangkan hati

  1. Henti 10 Saat

Kadang kala emosi dijentik dengan situasi yang tidak dijangka seperti di tolak jemaah lain, bas lewat tiba atau pasangan mula merungut.  Apa yang boleh dilakukan adalah cuba menutup mata seketika sambil menarik nafas dan hembus secara perlahan bagi membolehkan oksigen masuk ke otak dan menurunkan hormon stres.  Tempoh 10 saat adalah ruang untuk jemaah beristighfar dan menenangkan hati.

  1. Ubah sudut pandangan

Melihat sesuatu situasi dengan pemikiran yang negatif akan menjadikan jemaah mudah marah.  Contohnya jemaah melihat jemaah lain menolak atau memotong barisan dianggap sebagai kurang ajar dan akan menimbulkan kemarahan.  Namun jika jemaah menukar lensa pandangan dengan memaksa diri untuk bersangka baik terhadap situasi yang dilalui ia akan menerbitkan pemikiran yang lebih rasional dan menimbulkan rasa kasihan.

  1. Basahkan bibir dengan zikir

Dalam keadaan sesak dan bising, fikiran akan mudah bercelaru.  Fikiran yang bercelaru boleh mengganggu emosi seperti cepat marah dan mudah putus asa. Jemaah perlu lakukan sesuatu untuk menarik semula fokus kepada tujuan asal iaitu beribadah.  Cuba pilih satu zikir pendek yang boleh mengembalikan fokus jemaah.  Membaca zikir tersebut secara berulang-ulang dapat membantu mewujudkan ketenangan yang mengurangkan hati yang sedang panas.  Zikir adalah salah satu meditasi yang membantu memindahkan masalah kepada ketenangan.

Pulang dengan jiwa baharu

Ibadah haji bukan sekadar Rukun Islam tetapi ia adalah tempat untuk membina kemahiran insaniah.  Kemahiran yang dipelajari semasa berada di Tanah Suci kadang kala tidak diperoleh dalam pembelajaran formal.  Belajar untuk hidup dalam komuniti yang pelbagai dan belajar untuk bertoleransi dengan jemaah lain dan pasangan.  Kejayaan sebenar menjadi tetamu Allah adalah apabila jemaah melangkah keluar dari Tanah Suci dengan sekeping hati yang lebih sabar dan penuh ihsan.  Kemahiran yang diperoleh dalam tempoh 40 hari di Tanah Suci adalah bekalan berharga yang akan dibawa pulang ke tanah air untuk menjadi insan yang lebih baik.

 

 

 

Dr. Noraishah Daud

Pengarah

Pusat Kaunseling Universiti

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Harian Metro (muka surat: 15), 21 April 2026: Rahsia tenang di celah jutaan jemaah haji

 

2. MyMetro (hmetro.com.my), 21 April 2026: Rahsia tenang di celah jutaan jemaah haji 

https://www.hmetro.com.my/addin/2026/04/1348463/rahsia-tenang-di-celah-jutaan-jemaah-haji

 

3. the malay tribune (themalaytribune.com), 21 April 2026: Rahsia tenang di celah jutaan jemaah haji 

https://themalaytribune.com/rahsia-tenang-di-celah-jutaan-jemaah-haji/