BATU PAHAT – Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) berjaya meraih gelaran ‘Juara Keseluruhan’ Kejohanan Sukan Antara Kolej Kediaman (SUKOL) yang berlangsung pada 31 Mei hingga 01 Jun 2024 lalu dengan kutipan 14 pingat emas, sembilan perak dan 12 gangsa.

Manakala tempat kedua pula dimenangi oleh Kolej Kediaman Dalam Kampus (KKDK) dengan kutipan 13 pingat emas, 10 perak dan 12 gangsa.

Sementara itu, Kolej Kediaman Luar Kampus (KKLK) pula berjaya memenangi tempat ketiga kejohanan dengan 10 pingat emas, 18 perak dan 13 gangsa.

Kejohanan anjuran bersama Pusat Sukan Universiti (PSU) dan KKDK pada edisi kali ini mempertandingkan lapan acara iaitu Bola Baling, Petanque, Renang, Ping Pong, Aerodance, Catur, Olahraga dan Futsal.

Majlis Perasmian SUKOL 2024 disempurnakan oleh Sr. Dr. Anuar Mohd Salleh, Menjalankan Tugas Pengarah PSU selaku wakil rasmi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang berlangsung pada 31 Mei 2024 bertempat di Big Stage. Aras 2, Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Manakala majlis penutup yang diadakan pada 1 Jun lalu turut dihadiri oleh Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad.

Kira-kira 450 orang atlet dari tiga kolej kediaman UTHM menyertai pertandingan pada edisi kali ini.

Penganjuran SUKOL merupakan salah satu inisiatif mencari bakat baharu dalam kalangan pelajar UTHM bagi menyertai sukan anjuran MASUM dan KPT akan datang.

PSU mewakili UTHM mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan berharap penganjuran pertandingan sukan dalaman seperti itu dapat diteruskan seiring dengan tujuan menggilap potensi dan bakat baharu dalam arena sukan, selain memupuk budaya bersukan dalam kalangan warga universiti.