Tidak lama lagi umat Islam akan meraikan Aidiladha yang mana ianya sangat dikenali sebagai hari raya korban. Korban yang diraikan ini sebenarnya membawa maksud dan pengertian yang sangat luas, bukan sahaja dikhususkan kepada korban penyembelihan haiwan ternakan pada bulan Dzulhijjah. Namun sebenarnya jika kita memahami dan menghayati erti pengorbanan sebenar,pengorbanan itu patut sentiasa wujud dalam kehidupan seharian kita.Hamba yang mempunyai iman dan taqwa yang tinggi kepada Allah SWT akan sentiasa ikhlas berkorban tanpa mengira waktu asalkan ianya adalah pengorbanan yang baik dan bermanfaat.
Kita semua perlu menghayati erti pengorbanan sebenar seterusnya melaksanakannya dengan baik. Contohnya pengorbanan kita sebagai umat manusia kepada masyarakat sekeliling. Ada yang mungkin sedang menghadapai masalah kewangan, ditimpa ujian kehilangan ahli keluarga atau tempat tinggal, atau mungkin sedang hilang punca pendapatan dan baharu sahaja bangkit memulakan kehidupan selepas ujian pandemik. Kita sesama manusia perlulah peka dan saling berkorban demi membantu masyarakat yang memerlukan. Maksudnya, berkorban apa sahaja yang mampu dilaksanakan baik dari segi kewangan mahupun semangat.
Dalam hubungan kekeluargaan juga pengorbanan ini dilihat sebagai satu perkara yang amat penting demi menjaga keharmonian sesebuah keluarga. Bayangkan sahaja jika dalam hubungan kekeluargaan, masing-masing tidak mahu berkorban untuk bertolak ansur dan hanya mementingkan diri sendiri, mungkin sesebuah keluarga tidak akan dapat mencapai keharmonian dan kebahagiaan. Seterusnya daripada masalah keluarga di rumah, akan timbul pula masalah sosial dalam kalangan masyarakat. Semuanya saling berkait antara satu sama lain. Justeru itu, setiap ahli keluarga perlu berkorban masa, tenaga, emosi dan segala yang perlu demi memastikan hubungan kekeluargaan harmoni dan terjaga.
Adakalanya kita melakukan sesuatu pengorbanan dalam kehidupan kita dalam keadaan yang terpaksa. Sebagai contoh, dalam beberapa keadaan, diri kita juga berada dalam keadaan yang sangat sukar. Namun, tetap ingin berkorban menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Jika pengorbanan kita ikhlas dan kita sentiasa reda selepas berusaha, secara tidak langsung pengorbanan yang mulanya seakan terpaksa, boleh menjadi ikhlas kerana-Nya. Mohonlah bantuan kepada Allah dan sentiasalah bersangka baik kepada-Nya.
Pengorbanan yang kita lakukan dalam pekerjaan juga boleh menjadi pengorbanan yang bermanfaat. Kadangkala kita merasakan kita seorang yang gagal kerana tidak dapat menyempurnakan tugasan dengan baik dan tepat pada waktunya, walaupun telah cuba sedaya upaya. Namun, kita tetap terus berusaha menguatkan diri berkorban masa, tenaga yang kita miliki demi menyempurnakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan dengan penuh kesungguhan dan keazaman yang tinggi. Kadang kala kita tidak perasan Allah SWT gantikan pahitnya pengorbanan itu dengan manisnya sebuah kejayaan.
“Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (Surah al-‘Ankabut, ayat 69)
Alam kampus juga sudah tentu memerlukan pengorbanan yang banyak dalam melatih diri berdikari membentuk sahsiah diri di samping turut berhempas pulas mencapai kejayaan. Sebagai contoh, ada ketika kita merasakan terlalu banyak wang yang perlu diperuntukkan dalam menyediakan persiapan menuntut ilmu terutamanya pada awal semester. Pelbagai buku dan peralatan yang perlu dibeli untuk kegunaan semasa sesi pembelajaran. Kita mula merasakan semua wang yang kita ada tidak mencukupi untuk menyediakan semua yang diperlukan. Ketika inilah kita perlu berkorban wang ringgit demi melengkapkan persiapan menuntut ilmu.
Usahlah bimbang kerana jika kita berhabis wang ringgit demi kerana perkara yang bermanfaat seperti menuntut ilmu, Allah SWT akan sentiasa membantu kita. Mungkin bukan sekarang kita dapat melihat hasilnya, siapa tahu mungkin nanti kita akan menjadi seorang yang berjaya. Pada ketika itu penulis percaya kita semua akan lebih menghargai kejayaan yang telah dikecapi.
Selain itu juga, ada waktunya jadual seharian kita terlalu padat lebih-lebih lagi ketika mana semua tugasan perlu diselesaikan dalam tempoh masa diberikan. Tidak cukup masa untuk makan, berehat dan tidur. Ketika ini mungkin perasaan kita agak terganggu dan di sinilah kita perlu membuat suatu pengorbanan supaya semuanya dapat diselesaikan dengan teratur. Kita perlu berkorban melawan perasaan dan emosi dengan mencipta motivasi dalam diri sendiri. Teruslah bangkit jangan terlalu lama terjatuh. Semoga apabila kita tenang semua perkara akan lebih mudah dilakukan dengan teratur dan baik.
Menelusuri dan menghayati sirah penting yang berlaku dalam kalendar Islam berkenaan pengorbanan iaitu melalui kisah Nabi Ibrahim AS yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail AS demi ketaatannya kepada perintah Allah SWT. Kisah ini memberi kesan kepada kita semua dalam menghayati erti pengorbanan sebenar yang dilakukan hanya kerana Allah.
Keikhlasan dalam menunaikan ibadah korban adalah kunci utama untuk memastikan ibadah korban kita diterima oleh Allah SWT. Proses korban penyembelihan haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan biri-biri ini diadakan usai solat sunat Aidiladha. Ianya dilakukan secara beramai -ramai saling bantu membantu sebelum pengagihan daging korban dilakukan kepada orang ramai terutamanya golongan fakir miskin dan yang memerlukan.
Semoga Aidiladha kali ini diraikan dengan penuh hikmah dan membawa 1000 manfaat dan nikmat buat semua umat Islam.
Nurulisyazila Othaman
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)