Perbaiki perabot rosak selepas bencana banjir

Kredit Foto: freemalaysiatoday.com

Bah atau banjir adalah satu keadaan yang mana air menenggelami, menggenangi atau melimpah di sesuatu kawasan yang luas. Ia berlaku saban tahun di Malaysia yang mengakibatkan penduduk yang terjejas kerugian berjuta ringgit. Kelengkapan rumah dan barangan elekrik adalah antara penyumbang kepada kerugian tersebut.

Menurut Utusan Malaysia 24 Disember 2021, nilai kerugian yang dihadapi penduduk di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam, Selangor dianggarkan berjumlah RM396 juta. Manakala penduduk negeri Pahang pula dianggarkan mengalami kerugian RM500 juta kesan dari kejadian banjir baru-baru ini.

Perabot adalah kelengkapan rumah yang paling asas yang ada di setiap rumah. Pemilihan perabot dipengaruhi oleh trend dan stail yang diingini dalam sesebuah rumah. Bahan dan warna juga adalah perkara yang sangat penting dalam memilih perabot.

Perabot yang biasa ada di dalam sebuah rumah adalah kerusi, sofa, meja makan, meja kopi, katil, almari, rak buku dan rak televisyen. Ada juga rumah yang menggunakan konsep perabot yang melekap (built-in furniture) untuk set bilik tidur dan dapur mereka.

Perabot yang bersifat loose (satu persatu) kebiasaanya akan terapung apabila air mulai masuk ke dalam rumah dan perabot built-in akan tenggelam kerana ia melekap di dinding. Kedua-dua jenis perabot ini akan terkesan apabila dilanda banjir. Walau bagaimanapun perabot-perabot ini masih boleh dibaik pulih atau refurbish dan digunakan semula.

Pada asasnya semua perabot mempunyai empat perkara utama semasa proses pembuatan iaitu alatan, bahan, sambungan (jointing) dan kemasan (finishing). Semua perkara ini perlulah dikenal pasti sebelum memulakan proses baik pulih. Semua perabot perlulah dibasuh dan dikeringkan (jemur) sebelum proses mengenal pasti kerosakan dibuat.

Kenal pasti kerosakan dengan cara Duduk – Goyang – Tarik – Ketuk – Angkat (DGTKA) perabot atau bahagian perabot untuk mengenal pasti bahagian yang mengalami kerosakan. Labelkan bahagian mengikut empat perkara utama untuk memudahkan pembelian barangan dan parts baharu. Kenal pasti juga alatan yang perlu digunakan untuk memperbaiki perabot.

Jika proses pembaikan tersebut memerlukan mesin, adalah lebih baik ia dihantar ke pihak yang lebih kompetan dalam menguruskannya. Penggunaan mesin memerlukan latihan yang cukup untuk dikendalikan. Kadangkala ada perabot yang telah hilang salah satu bahagian kerana penyambungan patah atau tercabut. Ia juga boleh dibaik pulih dengan hanya membeli bahagian yang tiada itu.

Proses pembaikan akan sedikit rumit jika ia melibatkan bahan besi dan fabrik. Untuk bahan besi ia mungkin bengkok, patah atau calar pada cat. Ia perlu dibetulkan dengan mengetuk, mengimpal dan semburan anti-rust sebelum membuat kemasan akhir. Kerja kimpalan perlu dilakukan oleh individu yang kompeten untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Perabot berasaskan fabrik memerlukan pertukaran fabrik baharu kerana kesan air banjir kepada span dan fabrik agak sukar dikeringkan dan hilang bau. Pertukaran fabrik baharu masih boleh dilakukan selagi mana carcass iaitu rangka atau struktur perabot itu masih elok dan boleh digunakan. Sudah pasti proses pembaikan semula ini akan dapat menjimatkan daripada pembelian baharu.

 

 

 

Abdullah Al Rashid Ab Hamid

Pensyarah / Pengurus Cft FIT, Teaching Factory UTHM

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan 

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Categories
E-WacanaRencana
Subscribe