Program “SULAM: SUSTAINABLE GREEN COMMUNITY” galak penduduk Panchor pelihara alam sekitar

PANCHOR – Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA) telah menganjurkan Program “University for Society” (SULAM) di Mukim Panchor selama...
Gambar beramai-ramai

PANCHOR – Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA) telah menganjurkan Program “University for Society” (SULAM) di Mukim Panchor selama 10 minggu bermula pada 15 September sehingga 23 November lalu.

Program SULAM yang bertemakan “Sustainable Green Community” telah melibatkan 95 orang pelajar tahun dua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam bagi kursus Pengenalan kepada Kejuruteraan Alam Sekitar bersama 13 orang pensyarah serta masyarakat sekitar Panchor.

Menurut Pengarah Program, Puan Nor Maizzaty Abdullah program ini adalah hasil kerjasama antara UTHM, Majlis Perbandaran Muar (MPM), Southern Waste Management (SWM) dan Pejabat Penghulu Mukim Jorak/Panchor yang melibatkan lima kampung iaitu Kampung Jawa, Kampung Pengkalan Bukit, Kampung Terus, Kampung Melayu & Sri Tanjung dan Kampung Berohol/Melini.

Jelasnya lagi program ini diadakan bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat setempat tentang kepentingan memelihara kelestarian alam melalui pelaksanaan aktiviti seperti melakukan ujian penentuan kualiti air di Sungai Panchor, penghasilan baja kompos daripada sisa makanan dan aktiviti plogging dan recycle.

“Penganjuran program ini juga bertujuan untuk memberi maklumat berkaitan tahap kualiti air di Sungai Panchor selain memberi pendedahan kepada penduduk kampung tentang kemahiran dalam memanfaatkan sisa makanan untuk dijadikan baja kompos melalui demostrasi yang dilakukan,” tambahnya.

Tambahnya lagi program ini menjadi platform kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam menggalakkan masyarakat memelihara alam sekitar.

Turut diadakan, pameran hasil penyelidikan oleh para pelajar serta ceramah Pengasingan Sisa Pepejal Dipunca dan Amalan Kitar Semula oleh Muhamad Bakhtiar Azni, Pegawai Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan, SWM Enviroment Sdn. Bhd.

Majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Norshuhaila Mohamed Sunar, Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Awam (JTKA).

Beliau dalam ucapannya berkata program sebegini mampu mengetengahkan lagi peranan UTHM Pagoh khususnya dalam menyumbangkan ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang ingin jadikan universiti sebagai “University for Society.”

“Pelaksanaan aktiviti sebegini juga turut memberi ruang kepada pensyarah dan pelajar FTK berkongsi informasi dan kepakaran dalam bidang kejuruteraan alam sekitar,” katanya.

“Selain itu, para pelajar juga akan turut mendapat manfaat melalui pengalaman mengurus program dan berinteraksi dengan masyarakat sebagai latihan dalam memantapkan lagi kemahiran insaniah dan keyakinan diri untuk berhadapan dengan cabaran dunia pekerjaan sebenar,” ujarnya lagi.

Beliau juga berharap program komuniti sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memperkasakan lagi peranan mahasiswa dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang membawa manfaat kepada masyarakat setempat.

Categories
Sosial , Kebajikan dan Masyarakat

RELATED ARTICLE