Berniaga atas talian kurangkan beban sara hidup penuntut IPT

Seringkali media melaporkan kesusahan dialami oleh pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dalam meneruskan pengajian mereka kerana berhadapan dengan masalah kewangan malah saban tahun kes sebegini kerap dilaporkan. Kebanyakan pelajar...
WhatsApp Image 2019-05-12 at 16.22.32

Seringkali media melaporkan kesusahan dialami oleh pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dalam meneruskan pengajian mereka kerana berhadapan dengan masalah kewangan malah saban tahun kes sebegini kerap dilaporkan.

Kebanyakan pelajar yang dilaporkan mengalami masalah ini adalah berasal dari kumpulan keluarga B40. Kemelut kepada pemasalahan ini telah menyebabkan pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh pihak universiti bagi mengurangkan bebanan kewangan pelajar.

Melihat kepada permasalahan yang membelenggu tiada kesudahan ini, maka seharusnya para graduan berani meneroka peluang-peluang lain dan tidak hanya berharap kepada satu sumber sahaja seperti biasiswa, pinjaman serta wang daripada ibu bapa. Sebaliknya mereka perlu cuba mencari alternatif yang boleh membantu menjana kewangan contohnya menceburkan diri dalam bidang keusahawanan dengan meneroka peluang-peluang bisnes yang ada di kampus khususnya untuk dijadikan sumber pendapatan bagi mengurangkan beban sara hidup.

Peranan Universiti

Persiapan graduan berminda bisnes haruslah bermula sewaktu menuntut di kampus lagi. Langkah yang dijalankan oleh universiti khususnya Pusat Teknousahawan Pelajar (PTP) wajar diberi sokongan memandangkan penglibatan pelajar dalam perniagaan semakin meningkat setiap tahun. Asas keusahawanan yang diterapkan sejak dari awal mampu mendedahkan pelajar deal dengan client, pengurusan kewangan: untung-rugi, pengalaman berniaga dan jaringan keusahawanan.

Bisnes hujung jari, gaya baru berbisnes di kampus

Perniagaan ini adalah yang paling ringkas dan boleh dijalankan secara sambilan menerusi laman media sosial. Dengan peningkatan kos sara hidup di kampus hari ini, semakin ramai pelajar yang menjalankan perniagaan atas talian untuk menjana pendapatan sambilan bagi mengurangkan beban kos sara hidup di universiti.

Tanpa memerlukan modal yang besar atau kemahiran canggih untuk mengendalikannya, sesiapa sahaja boleh memulakan perniagaan dengan risiko kerugian sifar atau sangat minimum. Bahkan ada juga yang pada mulanya menjalankan perniagaan ini secara sambilan tetapi akhirnya ia sebagai sumber pendapatan utama.

Mulakan tanpa modal

Sebagai langkah awal, pelajar boleh melakukan ‘Market Survey’ untuk mengenal pasti barangan yang mendapat permintaan atau perhatian ramai. Perniagaan dalam talian boleh dimulakan tanpa kos sekiranya seseorang itu sudah pun memiliki peranti dan capaian internet. Dua cara mudah adalah menjadi ejen ‘dropship’ atau menjual dengan cara mengambil pesanan awal (personal shopper).

Kaedahnya jika tiada produk sendiri untuk dipasarkan, boleh mulakan menjual produk orang lain dahulu dengan hanya buat pemasaran secara online menerusi laman sosial, Facebook atau Instagram, seterusnya mengambil pesanan dari pelanggan dan meminta pengusaha yang membuat pengeposan barang tersebut.

Sebagai contoh jika ada kilang kerepek berdekatan universiti, iklankan produk itu di internet. Jika ada tempahan, minta pelanggan membuat bayaran penuh termasuk kos penghantaran. Dengan duit itu pelajar boleh membeli produk berkenaan secara langsung atau atas talian kepada pengusaha kilang berkenaan dan boleh meminta pengusaha menghantarnya kepada pelanggan. Makanya pelajar boleh menikmati keuntungan daripada kos jualan runcit tersebut. Ini boleh dilakukan untuk produk-produk yang lain contohnya personal shopper barangan tesco , butik baju, consumer product, barangan alat tulis atau barangan jualan langsung yang diketahui mendapat permintaan tinggi di atas talian.

Langkah pertama dicadangkan dengan membuat jualan di laman facebook atau Instagram peribadi dahulu kerana laman ini tidak mengenakan sebarang caj perkhidmatan (zero kos). Sebelum itu cuba cari kaedah yang berkesan untuk tambahkan follower atau friends di kedua-dua platform tersebut dahulu.

Apa yang penting di peringkat ini pelajar perlu meningkatkan kemahiran  kepada aktiviti berkaitan jualan dan perkhidmatan pelanggan kerana mereka tidak perlu memikirkan aspek teknikal seperti pewujudan dan penyelenggaraan laman sesawang yang memerlukan skop kemahiran yang jauh berbeza. Di peringkat ini juga pelajar disarankan supaya tidak melaburkan wang untuk aktiviti promosi seperti Facebook Advertisement dan Google Advertisement kerana ianya memerlukan pemantauan yang rapi apabila melibatkan pelaburan kewangan memandangkan pelajar perlu lebih fokus kepada pengajian.

Kesempatan ini boleh digunakan oleh pelajar untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pemasaran dan operasi, menyusun aliran tunai dan merancang dengan baik sebelum mewujudkan platform e-bisnes pelajar sendiri, selepas bergraduan.

Pengalaman Penulis Berniaga Sambil Belajar

Persepsi setelah tamat belajar akan mendapat pekerjaan serta pendapatan yang lumayan telah tersemat sekian lama sebelum melangkah masuk ke pintu menara gading oleh ibu bapa dan orang sekeliling. Tetapi ianya tidak seperti yang dikhabarkan kerana cabarannya berbeza dengan peningkatan kos sara hidup yang meningkat dari tahun ke tahun ditambah gaji bulanan hanya cukup-cukup makan untuk sampai ke hujung bulan ibarat “kais bulan makan bulan.”

Bermula hanya sekadar mahu mencuba dan melakukannya secara sambilan untuk menampung kos sara hidup dengan pendapatan kedua,  melangsaikan hutang-hutang pinjaman terdahulu selain mahu meningkatkan simpanan bulanan, keinginan ini menjadi ‘turning point’ kepada penulis untuk mengubah ‘mind set’ yang bergantung kepada gaji bulanan semata.

Selepas bergraduan penulis terus berkahwin dan tidak dapat membuat simpanan kerana masih belum bekerja dan hanya mengharapkan wang nafkah daripada suami. Selepas mendapat pekerjaan, keutamaan diberikan kepada anak-anak dan keperluan rumahtangga.

Ketika menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD), penulis terpaksa membawa keluarga bersama dan hidup di bandar besar dengan kos sara hidup tinggi. Bertitik-tolak dari situ, penulis cuba mencari peluang untuk menjana wang tambahan tetapi ianya mestilah yang bersesuaian dengan kekangan masa dan modal selain mampu melakukannya secara sambilan sahaja.

Makanya bisnes atas talian yang menggunakan platform media social Facebook menjadi pilihan yang tepat. Ini kerana biznes ini tidak memerlukan permis untuk disewa, tidak perlu menggajikan pekerja, ianya boleh diuruskan sendiri dan tidak perlu menunggu di kedai. Bisnes ini juga boleh berjalan pada bila-bila masa dan di mana sahaja walaupun sibuk dengan aktiviti kuliah dan pengajian, kedai Online sentiasa boleh beroperasi.

Sememangnya agak kekok pada awalnya, kerana tiada kemahiran berniaga (zero knowledge) apatah lagi pada ketika itu belum ada akaun facebook, tetapi sedikit demi sedikit penulis mula menimba ilmu pemasaran online dan dengan adanya bimbingan mentor akhirnya bisnes yang pada awalnya hanya sekadar cuba-cuba telah membuahkan hasil yang diluar jangkaan.

Dengan pengalaman yang dilalui sendiri, penulis percaya bahawa bisnes atas talian menerusi laman sosial media facebook dan Instagram boleh menjana pendapatan yang lumayan. Setelah lama berkecimpung dalam bisnes ini, kini penulis boleh bernafas lega kerana pendapatan bulanan adakalanya melebihi gaji kerja tetap. Baginya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan,yang penting ada usaha dan keinginan untuk berubah..

 

Artikel oleh:

Dr. Elmy Johana Mohamad

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, UTHM

 

Categories
Rencana

RELATED ARTICLE