ASAHAN – seramai 240 pelajar bersama 15 pensyarah, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia  (UTHM) telah menjalani program Amalan Kejuruteraan Geomatik (AKG) pada 14 Januari hingga 16 Febuari lalu bertempat di Kompleks Majlis Sukan Negara Saujana Asahan, Asahan, Melaka.

Peserta terdiri daripada pelajar tahun dua yang mengikuti kursus Kejuruteraan Geomatik semasa di kampus.

Untuk rekod, FKAAS menjalankan program ini pada pada Januari/Febuari serta Julai/Ogos setiap tahun,dibahagikan kepada empat sesi dengan jumlah pelajar seramai 60 orang. Program ini merupakan sebahagian daripada keperluan kursus sebelum pelajar boleh bergraduan.  Perlaksanaan program adalah sejajar dengan kehendak Institute of Engineers Malaysia (IEM) agar pelajar diberikan pendedahan kepada keadaan sebenar sesuatu projek dijalankan.

Menurut Penyelaras Program AKG, merangkap Ketua Jabatan Kejuruteraan Insfrastruktur dan Geomatik, FKAAS, Profesor Madya Sr. Dr. Mustaffa Anjang Ahmad, Objektif AKG adalah untuk memberi latihan secara intensif mengenai Kejuruteraan Geomatik yang telah dipelajari sebelum ini. Selain itu, ia dapat memberikan pendedahan kepada amalan kerja-kerja lapangan yang biasanya dijalankan dalam projek kejuruteraan awam.

Bagi menambahbaik nilai dalam pembelajaran semasa program AKG dijalankan, beberapa aktiviti seperti pemindahan ilmu dan Corporat Social Responsibility (CSR) telah dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara Malaysia, Smart Driving Research Center UTHM (SDRC) dan Center of Applied Geomatics For Disaster Prevention (CAGeD).

Atas tuntutan tersebut, pihak SDRC telah mengadakan program pemindahan ilmu iaitu KidSafe bertempat di Sekolah Kebangsaan Asahan.

Guru besar Sekolah Kebangsaan Asahan, Haji Muhamad Lasim amat berterima kasih kepada pihak UTHM memilih sekolah tersebut untuk menjalani program seperti ini.

Beliau dalam ucapannya berkata program ini penting dalam menerapkan kesedaran keselamatan terhadap pelajar kerana laluan di kawasan sekolah tersebut menjadi laluan utama yang menghubungkan pekan Jementah dan Asahan sehingga menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas.

Beliau turut berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi setiap tahun bersama dengan peserta kursus AKG.

Selain pemindahan ilmu, pelajar juga melakukan aktiviti khidmat masyarakat dengan menganjurkan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan Air Terjun Asahan dan Masjid Tun Datuk Seri Utama Dr. Mohd Khalil Yaakob. Program ini dapat memupuk kesedaran kepada pelajar bahawa peranan mereka bukan sekadar di sekitar ruang lingkup kuliah malahan sebagai agen penggerak masyarakat dalam kerja-kerja kesukarelawanan.

Melalui program yang mendapat  kerjasama daripada kakitangan Kompleks Majlis Sukan Negara ini pelajar juga dapat menanamkan budaya mencintai sungai bagi memastikan persekitaran Air Terjun Asahan berada dalam keadaan bersih. Keadaan di persekitaran air terjun perlulah berada dalam keadaan yang baik supaya komuniti dapat menikmati alam semulajadi dan menarik minat pelancong untuk datang ke lokasi tersebut.

Turut dilakukan aktiviti pembersihan kawasan masjid dengan kerjasama ahli jawatankuasa. Aktiviti ini pula bertujuan menyemai rasa tanggungjawap dalam kalangan pelajar serta dapat memastikan tempat ibadah umat islam dalam keadaan yang bersih dan selesa untuk digunakan.

Kejayaan pelaksanaan program ini mampu memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman baharu bagi setiap aktiviti yang dilaksanakan. Mereka berpeluang mempelajari cara melaksanakan tugasan secara intelektual dan bersedia mengatasi segala permasalahan yang dihadapi dengan  kritis dan kreatif untuk memastikan program yang dilaksanakan berjalan lancar.

Pihak fakulti berharap program khidmat masyarakat dan perkongsian ilmu ini berupaya memberikan impak positif terhadap kemahiran insaniah pelajar, secara tidak langsung kesedaran sosial dalam kalangan pelajar dapat ditingkatkan sekali gus mendorong mereka untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.